"Sati" atau "suttee" pada asalnya bermaksud seorang wanita yang melakukan pengorbanan dirinya setelah kematian suaminya. Perkataan ini berasal dari kata Sanskrit "asti", yang berarti "suci atau benar". Sejauh mana sati dipraktikkan dalam sejarah tidak diketahui dengan jelas.
Akan tetapi, pada awal zaman Mughal moden, riual ini terkait dengan puak Hindu Rajput elit di barat India, menandakan salah satu titik perbezaan antara orang Rajput Hindu dan Mughal Muslim yang melarang praktik ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada awal abad ke-19, Syarikat India Timur yang ketika itu dalam proses memperluas pemerintahannya ke sebahagian besar India pada awalnya bertolak ansur membenarkan amalan tersebut.
Sejarah sati
Catatan sejarah menyatakan bahawa sati pertama kali muncul antara tahun 320CE hingga 550CE, semasa pemerintahan Empayar Gupta. Kejadian sati pertama kali dicatatkan di Nepal pada tahun 464CE, dan kemudian di Madhya Pradesh pada tahun 510CE.
Ritual ini kemudian merebak ke Rajasthan, di mana sebilangan besar kes sati berlaku selama berabad-abad. Pada mulanya, ritual sati terbatas pada keluarga kerajaan kasta Kshatriya dan kemudian kemudian menyebar ke kasta rendah, menjadi amalan yang meluas di semua kelas sosial.
Sati berada di kemuncak antara abad ke-15 dan ke-18. Dalam tempoh ini, seramai 1000 janda dibakar hidup-hidup setiap tahun dan paling banyak terjadi di India dan Nepal. Namun, catatan menunjukkan bahawa amalan ini juga popular dalam tradisi lain di negara-negara seperti Rusia, Fiji dan Vietnam.
Pada tahun 1803, William Carey, pengarang Dictionary of the Bengali Language dan anggota Serampore Mission di Calcutta melakukan 'bancian' terhadap amalan Sati dan mencatatkan sekurang-kurangnya 438 kes pada tahun tersebut dalam radius 30 batu di bandar itu.
Malah, dia bukan satu-satunya orang Eropah dari abad ke-19 dan ke-20 yang memperhatikan kelaziman amalan ini pada zaman kolonial India.
Daripada sukarela kepada paksaan
Benar, pada peringkat awal amalan sati ini hanyalah amalan yang dilakukan secara sukarela oleh si isteri yang kematian suaminya. Menurut adat Hindu kuno, sati melambangkan penutupan kepada sesebuah perkahwinan. Ia dianggap tindakan sukarela sebagai tanda menjadi isteri yang taat, simbolik seorang wanita mengikuti suaminya hingga akhirat.
Oleh itu, ia dianggap sebagai bentuk pengabdian tertinggi seorang isteri terhadap suaminya yang telah mati. Namun, lama kelamaan amalan ini telah mnjadi paksaan dalam kalangan masyaakat. Wanita yang tidak mahu mati seperti ini dipaksa melakukannya dengan cara yang berbeza.
Secara tradisinya, seorang janda tidak mempunyai peranan penting dalam masyarakat dan dianggap sebagai beban. Jadi, jika seorang janda tidak mempunyai anak yang masih hidup yang dapat menolongnya, dia akan dipaksa untuk melakukan amalan sati.
Walau bagaimanapun, terdapat peraturan tertentu yang mengecualikan beberapa wanita dari amalan ini. Peraturan sati pertama menyatakan bahawa mana-mana janda yang hamil, haid atau mempunyai anak yang sangat kecil, tidak boleh mengambil bahagian dalam ritual ini.
Perlaksanaan sati
Wanita yang melakukan sati dikatakan telah mati suci, yang menurut kepercayaan Hindu berarti dia akan memiliki karma dan kehidupan yang lebih baik pada kelahirannya yang akan datang. Berbagai sumber menyatakan terdapat berbagai cara di mana ritual sati dilakukan. Sebilangan besar sumber mendakwa wanita yang membuat ritual ini akan duduk di atas kubur pengebumian suami mereka atau berbaring di sebelah mayat.
Ada juga yang mengatakan bahawa wanita akan melompat atau masuk ke dalam timbunan kayu untuk membakar mayat si suami setelah dinyalakan, sementara terdapat sumber yang lain melaporkan bahawa wanita akan duduk di atas kayu-kayu tersebut dan kemudian menyalakannya sendiri.
Amalan ini juga berbeza-beza antara daerah dan daerah. Di beberapa tempat, sebuah pondok kecil dibina untuk janda dan suaminya yang sudah mati. Di beberapa wilayah lain, mayat suami ditempatkan di sebuah lubang bersama dengan bahan mudah terbakar dan kemudian wanita tersebut diminta untuk masuk setelah api dinyalakan.
Beberapa kaedah pelaksanaan yang kurang menyakitkan juga dilaporkan pada masa itu. Sebagai contoh, sebelum diletakkan di atas kubur pengebumian, seorang wanita boleh mengambil racun atau ubat-ubatan, membolehkannya mati perlahan-lahan atau sekurang-kurangnya menjadi tidak sedarkan diri.
Larangan mengamalkan sati
Amalan sati dilarang berkali-kali antara abad ke-15 hingga ke-18. Pada tahun 1582, Empayar Mughal Akbar pernah melarang sati. Bahkan Portugis, Perancis dan Inggeris yang datang ke India pada zaman penjajahan Eropah juga berusaha menghentikan sati.
Pada tahun 1850, pihak British mengetatkan peraturan mereka terhadap amalan ini. Sir Charles Napier memerintahkan untuk menggantung sampai mati mana-mana Pujari, iaitu ketua agama Hindu yang menyokong dan memaksa ritual sati. Malah, pemerintah negeri-negeri di India pada masa itu juga ditekan untuk menolak sepenuhnya sati.
Pada tahun 1987, di kampung Deorala di Rajasthan, seorang wanita berusia 18 tahun bernama Roop Kanwar telah dipaksa melakukan sati setelah suaminya meninggal dunia hanya setelah lapan bulan berkahwin. Wanita tersebut bagaimanapun menolak pemintaan tersebut.
Akibatnya, sekumpulan lelaki dari kampung itu memaksa dan telah membunuhnya. Polis menyiasat kes itu dan lelaki-lelaki itu ditangkap. Akibat kejadian ini, pemerintah India telah membuat Undang-Undang Pencegahan Sati, menjadikannya haram untuk memaksa atau mendorong seorang wanita untuk melakukan sati dan siapa pun yang melakukannya akan dihukum mati.
Namun, sebilangan janda masih memilih untuk melakukan amala kuno ini. Sekurang-kurangnya empat kes seperti itu direkodkan antara tahun 2000 dan 2015.
Kredit: