Harga minyak Argan boleh mencecah RM1,200 seliter, sekaligus menjadikannya sebagai minyak yang boleh dimakan termahal di dunia.

Namun sekitar 20 tahun yang lalu, pengeluaran minyak argan terasing dan hanya dihasilkan di kampung-kampung tempatan di Maghribi. Malah, penjualan di peringkat antarabangsa hampir tidak wujud.

Sejak itu, pembentukan koperasi yang dikendalikan oleh wanita Maghribi telah mengubah pengeluaran minyak argan menjadi industri bernilai berbilion dolar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi, apa yang membuatkan minyak argan menjadi sangat popular dan apa yang membuatkan ia tersangat mahal?

Minyak Argan banyak digunakan dalam produk kosmetik mewah dan masakan di Maghribi.

pokok argan di maghribi 550

Minyak ini berasal dari biji pokok argan yang hanya boleh ditemui di kawasan separa gurun yang sempit antara pantai Atlantik di Maghribi dan Pergunungan Atlas.

Orang Amazigh atau Berber dari Afrika Utara telah menggunakan biji argan selama berabad-abad dan kaedah untuk membuat minyak mahal ini kekal sejak dahulu lagi.

Buah argan yang diperlukan untuk menghasilkan minyak adalah buah yang matang, dan ia tidak boleh dipetik dari pokok begitu sahaja.

Mereka perlu menunggu buah-buah tersebut gugur dari pokok dan menjadi warna coklat sebelum dipungut.

buah argan

Sebaik sahaja dipungut, buah-buah argan akan dijemur sebelum dikupas dan dihancurkan menggunakan tangan untuk membuang lapisan luar.

Kacang argan yang tersisa kemudian perlu dipecahkan bagi mendapatkan bahagian dalam yang kaya dengan minyak.

Proses memecahkan buah argan ini adalah yang paling sukar kerana bukan semua orang boleh melakukannya.

Teknik yang rumit diperlukan untuk memecahkan buah bagi mengekalkan strukturnya.

Penghasilan minyak argan sebanyak 1 liter memerlukan 40 kilogarm buah argan, atau sekitar 20 kilogram kacang argan.

Proses seterusnya adalah mengisar yang mana ia juga biasanya dilakukan menggunakan tangan.

proses mengisar buah argan yang mengambil masa

Mereka mengisar inti argan tersebut menggunakan cara tradisional yang dipelajari dari nenek moyang dan ia dilakukan dengan begitu perlahan sekaligus mengambil masa yang sangat lama.

Untuk menghasilkan 1 liter minyak argan, teknik mengisar ini mengambil masa 2 jam.

Minyak argan dengan kualiti terbaik dipanggil sebagai "emas merah" kerana ia tersangat mahal.

Ini kerana seorang wanita Amazigh memerlukan sekitar 24 jam untuk menghasilkan 1 liter minyak argan.

Sisa-sisa yang dikeluarkan dari buah ini dijual sebagai makanan haiwan, terutamanya untuk kambing yang mana mempunyai kaitan secara semulajadinya dengan pokok argan.

kambing panjat pokok argan

Di sesetengah kawasan, adalah menjadi tradisi untuk membenarkan kambing-kambing memanjat pokok untuk memakan buah sesuka hati.

Biji argan kemudiannya dikumpulkan dari najis haiwan ini yang mana menjimatkan masa kerana kacang tersebut tidak lagi perlu dibuka secara manual menggunakan tangan.

Tetapi pada hari ini, aktiviti pelik oleh kambing-kambing di kawasan ini menjadi tarikan pelancong.

Secara tradisional, wanita Amazigh telah menghasilkan minyak argan terutama untuk tujuan masakan menggunakan kaedah yang diwarisi sejak turun-temurun.

Minyak buatan ini kadang-kala dijual di tepi jalan dalam botol kitar semula dengan harga hanya RM12 seliter.

"Kami mendapati bahawa wanita-wanita yang menghasilkan minyak ini dengan cara tradisional memiliki kulit yang sangat lembut dan tanpa sebarang kedutan, namun kami tiada bukti saintifik," kata Zoubida Charouff, Profesor Kimia di Universiti Mohammed V.

Zoubida Charrouf pertama kali mengkaji pokok argan untuk pengajian Ph.D nya pada akhir 1980-an dan pada ketika itu, pokok ini sedang merosot dengan begitu teruk.

zoubida charrouf sejarah di sebalik minyak argan maghribi

(Profesor Zoubida Charrouf)

Setelah melakukan penyelidikan saintifik untuk menyokong manfaat sifat pelembab dimiliki minyak argan terhadap rambut dan kulit, Zoubida merancang untuk mengubah masalah persekitaran tersebut menjadi penyelesaian ekonomi.

Objektif Zoubida bukanlah untuk pengajiannya semata-mata, tetapi untuk turun padang dan menguruskan sektor berkenaan melihatkan wanita-wanita tersebut dikatakan tidak terurus kerana menghasilkan minyak argan secara tradisional di rumah.

"Mereka tidak tahu apa itu kerjasama dan pada ketika itu, mereka tidak keluar rumah," kata Zoubida.

Zoubida memulakan usaha beliau dengan 16 wanita dan sebaik sahaja wanita lain melihat hasil kerjasama itu, mereka memutuskan untuk menyertainya dan mendapat manfaat dari pemasaran minyak argan.

Terbukti, peningkatan populariti minyak argan ini bukan sahaja memberikan keuntungan kepada wilayah tersebut, tetapi juga menghidupkan semula keseluruhan ekosistem.

Malah, nilai pokok ini yang semakin meningkat telah memastikan kestabilan spesis dan ini sekaligus memberikan manfaat kepada masyarakat serta hidupan liar di situ.

penghasilan minyak argan di maghribi

Pokok argan yang dikenal sebagai "pohon kehidupan" di wilayah tersebut menyediakan makanan, tempat tinggal, dan melindungai kawasan tanah di situ daripada menjadi gurun.

Bukan itu sahaja, akarnya yang sangat dalam ke tanah mencegah hakisan tanah dan membolehkan rumput-rumput tumbuh menjadi makanan kepada haiwan ternakan.

Dianggarkan sekitar 90% daripada ekonomi di wilayah ini berpunca daripada pokok argan.

Sekitar 3 juta orang mendapat manfaat daripada pokok argan kerana ia memberikan pekerjaan kepada warga tempatan.

Pengekstrakan minyak argan sahaja menyediakan hampir 1 juta hari bekerja, tetapi peranan yang paling penting adalah terhadap persekitaran.

Ini kerana pokok argan adalah lapisan hijau terakhir di kawasan gurun tersebut.

Hanya dalam satu generasi, pasaran antarabangsa minyak argan telah meningkat dari hanya 200 liter menjadi 4.000 metrik tan pada tahun 2019, peningkatan sebanyak 20,000 kali ganda.

cara hasilkan minyak argan

Menjelang tahun 2025, mereka berharap dapat menjual lebih dari 10,000 metrik tan minyak argan.

Untuk membolehkan kemajuan ini berlaku, kawasan penghasilan minyak argan telah berkembang lebih dari 160 kilometer di selatan Essaouira dan dijangka berkembang ke utara.

Dan seperti mana-mana bahan yang bernilai tinggi, pengeluaran minyak argan sering kali dipalsukan. 

Kedua-dua minyak argan yang digunakan untuk tujuan kosmetik dan masakan sering kali dilabel sebagai "tulen" walaupun peratusan inti minyak argan tidak diketahui sama ada dicampurkan dengan pelbagai sebatian kimia.

Dan minyak argan yang diesktrak secara mekanikal yang lebih murah mula muncul di pasaran dengan harga serendah RM88 seliter, sekaligus mengancam kestabilan kerjasama tempatan.

penghasilan minyak argan di maghribi 2

Walau bagaimanapun, beberapa syarikat gergasi kosmetik seperti L'Oréal telah memberikan komitmen terhadap program perdagangan yang adil untuk membantu memastikan kestabilan minyak argan mereka dan pemeliharaan biodiversiti hutan.

Dengan bantuan kerjasama ini, kemahiran tradisional yang dimiliki oleh wanita Amazigh telah mewujudkan industri yang berkembang pesat.

Tetapi walaupun pendapatan ini memberikan kebebasan kewangan dalam masyarakat yang dikuasai oleh lelaki, wanita-wanita tersebut biasanya memperoleh kurang dari RM880 sebulan iaitu di bawah gaji minimum nasional yang disyorkan oleh Maghribi.

Rujukan:

1. Mengapa Minyak Argan Sangat Mahal?

2. Penghasilan Minyak Paling Mahal Di Dunia

3. Kebenaran Tentang Minyak Argan




Hakcipta iluminasi.com (2017)