Secara purata, dalam setiap 200,000 kelahiran, akan berlaku satu kembar siam.
Dan hanya 5% daripada kelahiran kembar siam ini berakhir dengan kedua-dua bayi dilahirkan hidup, menjadikan kebarangkalian kembar siam yang dilahirkan hidup tersangat lah rendah.
Selain itu, 70% daripada kembar siam adalah perempuan. Jadi, bagi kembar siam Ronnie dan Donnie Galyon dilahirkan dengan selamat sudah menjadi satu keajaiban.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun mereka bukan sahaja menyangkal kebiasaan ini, tetapi juga menjadi kembar siam yang paling lama hidup dalam sejarah, yang kini telah berusia 66 tahun.
Kelahiran yang mengejutkan
Wesley dan Eileen Galyon tidak menyangkakan mereka akan menimang bayi kembar siam. Namun pada 28 October di Ohio, Amerika Syarikat, Eileen melahirkan Donnie yang mana kepalanya keluar terlebih dahulu diikuti dengan Ronnie yang keluar kaki dahulu.
Kedua-dua bayi ini dilahirkan dengan jantung dan perut yang berasingan.
Mereka juga memiliki sepasang kaki dan tangan sendiri. Namun bermula dari tulang dada sehingga pangkal paha, kedua-dua mereka bersambung menyebabkan berlakunya perkongsian organ pencernaan.
Dan untuk 66 tahun yang lalu, kedua-dua mereka hidup bersemuka antara satu sama lain.
Selepas kembar ini dilahirkan, para doktor menahan Ronnie dan Donnie di hospital selama 2 tahun.
Mereka ingin mengenalpasti sama ada terdapat cara untuk memisahkan kembar siam ini dengan selamat.
Akhirnya mereka memutuskan bahawa tiada pembedahan yang dapat memastikan kedua-dua individu ini akan terus hidup jika dibedah, membuatkan Wesley dan Eileen tidak membenarkan pembedahan dilakukan.
Mula membuat persembahan di karnival
Tidak dipisahkan, Ronnie dan Donnie Galyon menarik perhatian ke mana sahaja mereka pergi.
Apabila kembar ini berusia 4 tahun, mereka mula mengikut bapanya membuat persembahan di karnival di seluruh Amerika Syarikat dengan tema, "Bersemuka secara langsung bersama Kembar Siam Galyon".
Walaupun pertunjukan seperti ini dianggap sebagai pantang dan menyinggung perasaan pada hari ini, namun ia merupakan perkara biasa di kebanyakan karnival di Amerika Syarikat ketika tahun 1960-an.
Bagi individu tertentu yang berasakan mereka pelik dan lain daripada yang lain, pertunjukan atau sarkas ini menjadi syurga kepada mereka, satu komuniti bagi mereka yang tidak diterima masyarakat.
Dan sudah tentunya yang tidak diterima adalah kembar siam Ronnie dan Donnie.
Apabila mencapai usia sekolah, pihak berukasa tidak membenarkan mereka untuk bersekolah kerana akan menyebabkan gangguan kepada pelajar-pelajar lain.
Namun di karnival, Ronnie dan Donnie bertemu dengan komuniti mereka sendiri. Mereka berkarwan dengan Little Pete, yang digelar sebagai "manusia paling kecil di dunia" dan Johan gergasi Viking.
Mereka juga rapat dengan ahli karnival yang lain serta pekerja-pekerja yang menjual makanan di gerai-gerai karnival.
"Apabila kami mengembara membuat persembahan, ia dirasakan seperti sebuah keluarga yang besar," kata Ronnie.
Sementara itu, kembar ini juga menjana pendapatan yang cukup untuk menyara seluruh keluarga mereka. Wesley dan Eileen mempunyai 9 orang anak termasuk Ronnie dan Donnie.
"Ia merupakan satu-satunya pendapatan kami. Mereka (kembar Ronnie dan Donnie) adalah pencari nafkah bagi keluarga kami," kata adik bongsu, Jim Galyon.
Apabila pertunjukan karnival mula merosot di Amerika Syarikat menjelang tahun 1970-an, kembar Galyon berhijrah ke Amerika Selatan dan Tengah di mana mereka membuat persembahan utama dan menggabungkan silap mata ke dalam persembahan mereka.
"Mereka dilayan dengan begitu berbeza di sini. Mereka dilayan seperti bintang rock," jelas Jim.
Namun hanya disebabkan mereka mendapat kemahsyuran sebagai penghibur tak bermakna hidup mereka mudah.
Jatuh bangun Ronnie dan Donnie Galyon
Selain daripada dilarang untuk bersekolah, kembar ini berhadapan dengan gangguan panggilan telefon pada lewat malam.
Apabila mereka bersara daripada pertunjukan pada tahun 1991 dan membeli rumah di Dayton, Ohio dengan wang hasil titik peluh mereka, remaja-remaja tempatan mengintai jendela mereka dan meludah pada tingkap.
Ronnie dan Donnie berasa takut sehinggakan pada satu tahap ia melibatkan pihak polis.
Pihak polis hadir ke sekolah berdekatan dan memberikan amaran bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan diterima dan akan dihukum.
Ia dirumitkan lagi dengan perbalahan di antara kedua-dua kembar siam ini. Walaupun mereka sudah "pakar" dalam berkompromi, namun pertengkaran mulut tidak dapat dielakkan lebih-lebih lagi hidup bersemuka 24 jam sehari, 7 hari seminggu.
Kembar ini juga tidak terlepas daripada terlibat dalam pergaduhan fizikal namun selepas mereka mengambil ubat untuk mengelakkan darah beku, Ronnie dan Donnie menyedari bahawa pergaduhan fizikal boleh membawa maut.
Kebimbangan yang paling dahsyat berlaku pada tahun 2009 dan 2010 apabila Ronnie mengalami darah beku di bahagian paru-parunya akibat daripada jangkitan tular.
Ia turut menjangkiti Donnie melihatkan kedua-duanya menjadi lemah. Mereka dimasukkan ke hospital dan memerlukan penjagaan yang berterusan.
Namun suka duka dan waktu sukar juga diselang-selikan dengan detik kemanusiaan yang tulen.
Kor Pemuda Kristian membina tambahan kepada rumah Jim dan isterinya, Mary, untuk menempatkan kembar ini apabila mereka dibenarkan pulang daripada hospital.
Dalam masa yang sama, orang ramai juga telah mula untuk mengenali kembar ini. Kadang-kala seseorang menawarkan untuk membayar bil mereka di restoran.
Walaupun mereka bertengkar antara satu sama lain, pasangan kembar ini juga merupakan rakan baik. Ronnie dan Donnie telah menolak kesemua tawaran pembedahan untuk memisahkan tubuh badan mereka.
Memecahkan rekod
Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, kembar ini mengalami kesukaran untuk bergerak berbanding sebelum ini.
Mereka memerlukan rehat ketika berjalan dan menjalani pemakanan yang lebih sihat kerana masalah pencernaan boleh membuatkan mereka terlantar di hospital untuk tempoh seminggu.
Walau apa pun, mereka tetap berazam untuk kekal sihat dan cergas seboleh mungkin.
Rakan baik kepada kembar ini iaitu Glenn Kwiat berkata pada tahun 2009, "Matlamat mereka adalah untuk terus hidup dan menjadi kembar siam tertua yang pernah hidup,".
Dan pada tahun 2014, Ronnie dan Donnie Galyon berpesta meraikan kejayaan mencapai impian mereka.
Apabila mereka mencapai usia 62 tahun 8 bulan dan 8 hari, kembar siam ini telah mengatasi Chad dan Eng Bunker untuk bergelar sebagai kembar siam tertua dalam sejarah.
Ia merupakan satu pencapaian yang sangat besar bagi dua saudara yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk mati ketika dilahirkan.