Siapa di antara pembaca iluminasi.com yang merupakan pasangan kembar? Pasti seronok kan mempunyai pasangan kembar, bermakna anda mempunyai rakan sejak lahir. Pasangan kembar adalah sesuatu yang sangat unik di mana mereka boleh menjadi begitu serupa, dan juga sebaliknya.
BESARKAN TEKS A- A+
Terdapat banyak kajian yang dilakukan terhadap pasangan kembar, dan iluminasi.com ingin kongsikan 10 fakta pelik dan menarik mengenai pasangan kembar yang mungkin ramai tak tahu.
1. Ibu yang lahirkan mungkin hidup lebih lama
Wanita yang melahirkan bayi kembar adalah seorang yang sangat kuat dan sihat, membuatkan kemungkinan besar untuk hidup lebih lama, secara adatnya. Ia berdasarkan sebuah kajian yang diterbitkan dalam jurnal "Proceedings of the Royal Society B" yang fokus terhadap populasi wanita pada 1800-an di Utah.
Selain itu, bayi kembar juga mungkin merupakan satu penyesuaian evolusi dimanan ibu yang sihat mengambil peluang untuk menggandakan genetiknya secara serentak. Namun, penemuan ini dikatakan tidak muktamad kerana data yang digunakan adalah berdasarkan ibu-ibu yang melahirkan bayi kembar secara semulajadi sahaja, tanpa mengambil kira kelahiran kaedah lain seperti IVF.
2. Wanita makan produk tenusu lebih cenderung lahirkan kembar
Menurut kajian yang dijalankan oleh Dr. Gary Steinman (Ph.D) dari Long Island Jewis Medical Center, wanita yang mengambil diet dari produk tenusu yang lebih mungkin dapat meningkatkan peluang hamil bayi kembar.
Kajian yang diterbikan dalam Journal of Reproductive Medicine itu dilakukan dengan membandingkan kadar penghasilan bayi kembar daripada ibu-ibu vegetarian dan ibu-ibu yang tidak.
Ibu-ibu yang makan produk tenusu adalah 5 kali ganda lebih cenderung untuk hamil bayi kembar. Ini kerana haiwan seperti lembu juga menghasilkan IGF sebagai respon kepada hormon tumbesaran dan melepaskan ke dalam darah lembu tersebut.
Ia kemudiannya bergabung ke dalam susu yang diminum.
3. Kembar seiras tak semestinya mempunyai genetik sama
Walaupun pasangan kembar seiras berasal dari satu telur yang disenyawakan yang mempunyai sat set genetik yang dikenali sebagai genom, namun masih terdapat kebarangkalian untuk pasangan tersebut mempunyai perbezaan ketara dari segi genetik.
Carl Bruder, seorang ahli Genetik dari Universiti Alabama telah mengkaji genom bagi 19 pasangan kembar seiras. Beliau mendapati bahawa dalam beberapa pasangan, salah seorang daripada mereka mempunyai perbezaan pada bilangan genetik.
Setiap individu biasanya membawa 2 salinan bagi setiap gen, satu daripada ibu dan lagi satu daripada bapa. Namun terdapat bahagian genom yang menyimpang daripada asas (2 salinan genetik), dan bahagian ini mampu membawa dari 0 hingga 14 salinan genetik.
4. Pasangan kembar boleh mempunyai dua bapa berlainan
Adik beradik yang mempunyai bapa berlainan adalah satu perkara biasa. Namun, bagi kembar, amat jarang berlaku untuk pasangan kembar mempunyai bapa berlainan, namun ia tidak mustahil.
Kembar bipaternal adalah istilah bagi kembar yang mempunyai bapa yang berlainan. Satu kajian dijalankan mendapati bahawa 1 daripada setiap 400 kembar adalah bipaternal.
Bagaimana ia boleh berlaku? Dalam erti kata mudah, dua telur daripada ibu yang sama disenyawakan oleh dua bapa yang berbeza dalam tempoh ovulasi yang sama.
5. Kembar mempunyai ciri asimetri terbalik
Bagi bayi kembar di dalam rahim, lebih kurang 25% daripada kembar seiras membesar secara berhadapan di antara satu sama lain. Ini bermakna bayi tersebut menjadi refleksi yang serupa kepada kembarnya.
Menurut About.com, ia berkemungkinan besar menjadi sesuatu yang bertentangan, seperti seorang dominan tangan kanan dan dominan tangan kiri bagi kembarnya, mempunnyai tanda lahir di bahagian badan yang bertentangan, mahupun mempunyai pusar rambut yang bertentangan arah.
Ini berlaku apabila kembar ini terpisah daripada satu telur yang disenyawakan lebih daripada seminggu selepas persenyawaan.
6. Kembar seiras tak memiliki cap jari yang sama
Pasti ramai yang menyangkakan pasangan kembar mempunyai cap jari yang sama. Ini disebabkan oleh persepsi orang ramai bahawa pasangan kembar sepatutnya mempunyai DNA yang sama.
Tidak sama sekali. Pembentukan cap jari tidaklah bergantung sepenuhnya oleh DNA. Ya, cap jari pasangan kembar pada mulanya adalah sama, iaitu di dalam kandungan.
Namun ketika bayi-bayi ini mula bergerak iaitu bermula dari minggu ke-6 sehingga minggu ke-13, mereka akan menyentuh kantung amniotik, jaluran dan garisan yang unik terbentuk pada jari mereka yang memberikan cap jari yang berbeza.
7. Pasangan kembar berinteraksi sejak dalam rahim
Video-video 3D pasangan kembar di dalam rahim ibu telah dikaji oleh saintis di Umberto Castiello di Universiti Padova, Italy pada tahun 2011. Menurut kajian itu, pasangan kembar dilihatkan cuba mencapai antara satu sama lain ketika tempoh hamil minggu ke-14.
Masing-masing menyentuh pasangan kembar sendiri lebih kerap daripada menyentuh badan sendiri. Analisis kinematik daripada rakaman tersebut menunjukkan pasangan kembar membuat isyarat yang berbeza terhadap satu sama lain dan bertindak lebih lembut terhadap bahagian mata pasangan masing-masing.
8. Rupa paras kembar seiras boleh berubah
Ya, terdapat kembar seiras yang terlalu serupa dari hujung rambut hingga hujung kaki, sehinggakan ada ibu bapa yang tidak dapat membezakan rupa dan wajah anak kembar mereka, melainkan melihatkan perangai dan kelakuan pasangan tersebut.
Namun, persamaan itu boleh berubah dan tak akan kekal selamanya. Persamaan rupa paras dan tubuh badan pasangan kembar akan semakin berkurangan jika kedua-duanya mempunyai diet pemakanan dan gaya hidup yang berbeza.
Mungkin betul apa yang dikatakan, "You are what you eat".
9. China dengan kadar kelahiran kembar terendah
Dengan populasi seramai 189 juta penduduk pada tahun 2016, Nigeria merupakan negara dengan kadar kelahiran bayi kembar tertinggi di dunia. Sebuah kajian pada tahun 2008 menunjukkan kadar kelahiran bayi kembar di negara ini adalah sebanyak 40.2 bagi setiap kelahiran.
Dan nasib baik, negara yang mempunyai kadar kelahiran bayi kembar terendah di dunia adalah China. Walaupun begitu, China masih mendahului carta populasi tertinggi di dunia dengan 1.379 billion penduduk.
10. Wanita berusia lebih cenderung lahirkan pasangan kembar
Sebuah kajian yang dijalankan di Vrije University Medical Centre di Belanda menunjukkan bahawa wanita yang lebih berusia (30 tahun ke atas) lebih cenderung melahirkan bayi kembar.
Mereka mendapati bahawa wanita lebih berusia mempunyai kadar hormon yang dikenali sebagai FSH, yang lebih tinggi berbanding wanita muda. Perubahan hormon yang berlaku apabila wanita semakin berusia ini meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat bayi kembar.
Rujukan:
1. Web MD