Pakar perubatan telah menjelaskan tentang satu perkara - kaedah utama penyebaran virus Covid-19 berlaku adalah melalui kaedah sentuhan sesama manusia, dari satu individu ke satu individu lain.
Beberapa situasi lain turut sama disebut sebagai punca penyebaran virus Covid-19, antaranya berlakunya pertukaran titisan air dari individu dijangkiti kepada individu sihat disebabkan oleh perbuatan seperti bersin dan juga melalui sentuhan dengan objek yang telah dicemari virus tersebut.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, kes-kes jangkitan disebabkan oleh sentuhan manusia dengan objek tidak dianggap sebagai punca utama kerana jumlah kes sebegitu agak rendah - tetapi tetap boleh berlaku. Persoalannya di sini, sekiranya virus itu telah mencemari sesuatu objek atau permukaan; berapa lama virus itu mampu hidup di situ?
Hidup di luar tubuh
Laporan kajian bertarikh 17 Mac 2020 dalam New England Journal of Medicine oleh sekumpulan penyelidik dari National Institute of Allergy and Infectious Disease yang terletak di Montana, Amerika Syarikat cuba menjawab persoalan ini.
Dalam kajian tersebut, dua jenis virus iaitu SARS-CoV-1 yang menyebabkan jangkitan SARS sekitar awal era 2000 dahulu dan SARS-CoV-2 iaitu virus penyebab jangkitan Covid-19, penyelidik menjadikan lima jenis permukaan serta ruangan aerosol sebagai lokasi kajian bagi mengenal pasti tahap tahap reput virus tersebut (decay rate).
Lima situasi yang dijadikan ujian adalah ruangan aerosol, plastik, keluli tahan karat, tembaga dan kertas tebal.
Bagaimana hasil kajian mereka? Mereka mendapati Covid-19 mampu hidup stabil pada permukaan seperti plastik dan keluli tahan karat berbanding tembaga dan kertas tebal. Pada plastik, virus didapati masih wujud walaupun selepas 72 jam aplikasinya. Apabila diuji pada permukaan keluli tahan karat, virus didapati masih belum reput selepas lebih 48 jam dalam bilangan yang berkurangan.
Dalam ujian melibatkan permukaan tembaga dan kertas tebal, tidak ada sebarang kesan kewujudan Covid-19 pada permukaan tembaga selepas 4 jam dan kertas pula, selepas 24 jam.
Ujian bentuk aerosol yang dilakukan selama 3 jam mendapati Covid-19 mampu kekal dalam bentuk tersebut sepanjang ujian dijalankan, namun tahap kepekatan virus menurun sedikit. Walau bagaimanapun kita tidak perlu bimbang, satu lagi kajian telah mendapati peluang untuk Covid-19 merebak melalui udara dalam bentuk aerosol agak rendah.Jika virus ini mampu merebak dalam bentuk aerosol, itu satu situasi yang memang patut kita risaukan.
Kajian lebih awal yang dijalankan
Satu kajian yang hampir serupa telahpun dijalankan melibatkan kadar reput virus pada permukaan barangan hospital mendapati beberapa variasi hasil tempoh diperolehi.
Dengan mengambil kira semua jenis permukaan barangan serta peralatan yang perlu digunakan di hospital melibatkan 13 jenis permukaan - kumpulan penyelidik berjaya mengeluarkan satu senarai anggaran kadar reput virus corona dalam situasi hospital sebenar.
Coronavirus mempunyai jangka hayat yang singkat apabila jatuh pada permukaan getah seperti peralatan sarung tangan, hanya bertahan kurang 8 jam. Aluminium mampu menyebabkan coronavirus reput dalam jangkamasa 2 ke 8 jam. Bagaimanapun malangnya - untuk permukaan lain jangka hayatnya didapati agak tinggi.
Virus-virus diramalkan mempunyai jangka hayat lebih 5 hari pada permukaan keluli, 5 hari pada permukaan kaca, 2 ke 6 hari pada permukaan plastik, 5 hari pada permukaan PVC dan 5 hari pada permukaan silikon, seramik dan teflon. Harus diberitahu, suhu bilik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan jangka hayat virus ini.
Daripada kajian ini, penyelidik meramalkan dalam keadaan yang sesuai suhunya - Covid-19 mampu berada di sesuatu permukaan tertentu dengan anggaran maksima 9 hari.
Bagaimanapun, dengan peningkatan suhu sesuatu ruangan dinaikkan melebihi 30 darjah celcius suhunya, jangka hayatnya akan menurun dengan mendadak. Tahap kelembapan juga memainkan peranan, dengan kadar kelembapan bilik pada tahap 50% mampu memanjangkan hayat Covid-19 berbanding bilik yang mempunyai kadar kelembapan 30%.
Apa yang kita perlu lakukan?
Berdasarkan kepada artikel ini, jelas sekali tatacara kebersihan melibatkan pembasuhan tangan yang menjadi tabiat paling penting sekarang - perlu disertakan sekali dengan usaha untuk membersih dan mengenyah kuman permukaan-permukaan di rumah kita; yang dirasakan berisiko tinggi.
Barangan seperti plastik yang banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita mampu menjadi perumah sementara Covid-19 dalam tempoh yang mencukupi untuk menjangkiti kita.
Matawang kertas yang kita gunakan juga mampu menjadi ejen pemindahan, kerana permukaannya turut sama mampu menempatkan virus itu secara sementara jadi cuba minimakan sebaik mungkin transaksi dengan wang kertas.
Seperti pesan Perdana Menteri kita dalam perutusan khas beliau pada 18 Mac 2020, tabiat paling mudah dalam mengawal penyebaran wabak ini adalah dengan duduk di rumah diam-diam. Ada baiknya kita akur dengan arahan/rayuan itu untuk sementara.