Kebanyakan peminat bola sepak kini mungkin menganggap Ronaldinho adalah individu yang mencipta gerakan yang sangat berseni dan rumit, 'Elastico' adalah satu skil dalam bola sepak yang tidak ramai pemain berjaya menguasainya. Willian, Cristiano Ronaldo, Ibrahimovic dan beberapa lagi nama besar dalam bola sepak pernah mempraktikkan tipu helah ini namun Ronaldinho tetap dilihat sebagai pemain yang betul-betul berjaya mempraktikkannya dengan baik.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun tahukah anda bahawa gerakan ini sebenarnya telah lama wujud dan dipelopori oleh pemain yang berasal dari negara yang terkenal dengan melahirkan ramai bintang bola sepak, Brazil, iaitu Rivellino yang ketika zaman kegemilangannya adalah rakan seperjuangan 'Raja Bola Sepak', Pele. Disebabkan status bintang yang dimiliki Pele menyebabkan nama Rivellino tidak begitu dikenali namun beliau sebenarnya antara pemain yang sangat disegani ketika itu.
Elastico, adalah salah satu gerakan 'pemusnah' pemain bermisai tebal yang penuh tipu helah, Roberto Rivellino - pemain bintang untuk Brazil dalam tiga edisi Piala Dunia dan telah diangkat sebagai pencipta kepada skil yang menarik ini. Kemudian ia telah dipopularkan oleh The Phenomenon, Ronaldo Nazario, dan The Magician, Ronaldinho.
Ia mungkin adalah skil terbaik di antara semua skil yang dipunyai oleh pemain Brazil. Mungkin hanya pemain Brazil mampu melakukan aksi ini dengan baik, yang seolah-olah gerakan seekor ular, dengan bola seperti melekat di kaki, mengubah arah gerakan bola dengan hanya satu ayunan kaki yang sangat pantas.
Dan Rivellino merupakan orang pertama yang menyempurnakannya. Beliau sentiasa berjaya menewaskan dan memalukan pemain pertahanan lawan. Pemain kidal yang genius ini biasanya menggunakannya untuk membuat umpanan dan juga cubaan ke arah gol. Biasanya pemain pertahanan akan tersalah arah dan masih terpinga-terpinga ketika beliau sudahpun mengatur gerakan yang seterusnya.
Namun sebenarnya elastico bukanlah dicipta sepenuhnya oleh Rivellino, malahan bukan juga pemain Brazil yang lain, tetapi sebaliknya ialah ciptaan Sergio Echigo . Pasti ramai yang tidak pernah mendengar nama ini, jadi siapakah beliau?
Dilahirkan dalam keluarga Jepun yang berimigrasi di Sao Paolo, Echigo memulakan aktiviti bola sepaknya di jalanan di Brazil. Beliau seterusnya berjaya menempatkan diri ke dalam pasukan Corinthians ketika usianya yang masih muda remaja pada tahun 1963. Dikenali dengan kepantasan kaki, gelecekan yang penuh helah, dan larian yang pantas, beliau dengan pantas memahat namanya di kelab tersebut. Sehingga hari lahirnya yang ke-20, beliau telah melakukan sedozen penampilan untuk Corinthians.
Legasinya yang terbaik hadir di Corinthians ketika bersama rakan sepasukannya, tidak lain tidak bukan ialah Rivellino.
Mereka berdua mempunyai banyak persamaan. Umur yang sama, kedua-dua ibu bapa mereka berimigrasi, dan kedua-duanya menguasai skil yang tidak pernah dilakukan pemain lain, iaitu elastico. Tiada siapa pernah melihatnya sebelum itu.
Walaupun secara keseluruhannya Rivellino adalah pemain bola sepak yang lebih baik, Echigo adalah orang pertama yang menggunakan skil ini.
"Saya belajar gerakan ini daripada pemain yang bernama Sergio Echigo, yang bermain bersama saya dalam pasukan remaja Corinthians pada tahun 1964. Beliau yang mencipta gerakan itu. Saya melihat beliau melakukannya sekali dan saya bertanya, 'Echigo, gerakan apakah itu?' Beliau menjawab, 'Senang saja, Rive, saya akan ajar kamu caranya,' dan beliau berkata beliau yang menciptanya, tetapi saya yang menyempurnakannya", jelas Rivellino lagi.
Dan akhirnya gerakan itu menjadi gerakan trademark beliau.
Apabila jurulatih pasukan kebangsaan Mario Zagallo mengubah Rivellino ke posisi sayap kiri untuk mewujudkan 4 pemain serangan bersama Jairzinho, Pele dan Tostao pada Piala Dunia 1970, elastico mula menjadi terkenal. Rivellino akan selalu menggunakan skil tersebut untuk menewaskan pertahanan lawan pada kejohanan itu. Malahan ketika aksi perlawanan akhir yang sukar menentang Italy, beliau berjaya melakukan gerakan tersebut dengan sempurna.
Secara jelas, kebanyakan pemain pertahanan akan ditewaskan oleh gerakan yang sangat menakjubkan itu. Sememangnya ia adalah 'senjata utama' bagi Rivellino sehingga menyebabkan beliau dianggap sebagai pencipta gerakan itu. Malahan Pele turut menyatakan, "Gerakan itu adalah ciptaan Rivellino... helah yang hanya mampu dilakukan oleh beliau."
Melihat kepada dunia bola sepak masa kini, nama Echigo tidak pernah dikenang sebagai pengasas kepada gerakan ini. Banyak video di You Tube yang boleh mengajar sesiapa sahaja untuk melakukan gerakan yang turut dipanggil sebagai flip-flap ini, seperti Cristiano Ronaldo. Kita pernah menonton aksi Ronaldo The Phenomenon menggunakan skil ini untuk memperkotak-katikkan Alessandro Nesta dalam perlawanan akhir Piala UEFA pada tahun 1998.
Dan semestinya, kita pernah menonton banyak video aksi Ronaldinho, individu yang kita semua sangka sebagai pengasas flip-flap, menyebabkan pertahanan lawan kebingungan setiap kali beliau melakukannya dengan sangat cepat.
Tetapi malangnya nama Sergio Echigo jarang sekali dikenang sebagai pencipta asal gerakan yang unik ini.