Oleh pada 21 Dec 2021 kategori

Pada Jun 2010, dunia bola sepak Brazil menjadi begitu kecoh. Namun, ia bukanlah disebabkan Brazil dan Portugal yang berada dalam Kumpulan H bergelut untuk tidak mahu bertemu pasukan pilihan Sepanyol dalam pusingan kalah mati Piala Dunia Afrika Selatan 2010.

Keadaan kecoh itu disebabkan oleh seorang penjaga gol profesional Brazil bernama Bruno Fernandes de Souza yang juga merupakan kapten bagi pasukan Flamengo FC. Walaupun tidak mewakili Brazil dalam Piala Dunia 2010, Bruno adalah salah seorang penjaga gol terbaik Brazil ketika itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seluruh negara gempar apabila pihak polis mengeluarkan kenyataan bahawa Bruno adalah suspek utama kehilangan dan kematian seorang pelakon serta model bernama Eliza Samudio.

Hubungan Bruno dan Eliza

Menurut rakan-rakan terdekat penjaga gol dan model itu, Bruno dan Eliza bertemu sekitar bulan Mei 2009 dan mempunyai hubungan intim bersama buat jangka waktu yang singkat.

Pada bulan Ogos tahun yang sama, Eliza memberitahu bahawa dia mengandungkan anak penjaga gol itu. Bruno mengarahkan Eliza untuk menggugurkan kandungan itu tetapi wanita itu enggan. Model itu turut memfailkan saman nafkah anak terhadap Bruno tidak lama kemudian.

eliza samudio

Bruno dan Eliza Samudio

Bruno ketika itu dilihat sebagai calon penjaga gol nombor satu Brazil untuk Piala Dunia yang berikutnya dan dikhabarkan sedang mengadakan perbincangan untuk perpindahannya ke kelab AC Milan. 

Pada Oktober 2009, Eliza membuat laporan polis bahawa Bruno dan beberapa rakannya telah menculik dan memaksanya untuk memakan ubat menggugurkan kandungan. Dia turut didakwa dipukul secara fizikal, malah Bruno turut mengacukan pistol ke kepalanya.

Bruno membalas tuduhan itu dengan mengatakan ia bukan kali pertama Eliza berbohong untuk membuat dirinya dalam masalah.

Sudah terlambat

Siasatan telah dilakukan dan pihak berkuasa meminta agar Bruno dikenakan sekatan untuk tidak menghampiri Eliza. Namun, hakim telah menolaknya kerana ketiadaan bukti kukuh. Pihak forensik pula mengambil masa terlalu lama untuk memproses bahan bukti.

eliza samudio saman

Akhirnya pada Ogos 2010, keputusan forensik didedahkan. Memang terdapat bukti bahawa "berlakunya kekasaran fizikal" terhadap Eliza. Namun, segalanya sudah terlambat apabila Ezila telah hilang selama dua bulan. 

Sebelum kehilangannya, Eliza telahpun melahirkan seorang bayi lelaki pada Februari 2010 di Sao Paulo. Bruno bagaimanapun tidak mengaku bahawa itu adalah anaknya dan enggan mengambil ujian DNA.

Namun, Bruno tiba-tiba berubah fikiran. Dia bersetuju untuk menyara bayi itu malah menyewa sebuah suite di sebuah hotel mewah untuk Eliza dan anaknya pada 11 Mei 2010. Bruno hanya meminta agar Eliza tidak lagi mengeluarkan kenyataan media.

Realitinya, penjaga gol itu hanya "membeli" masa untuk menjalankan rancangannya. Pada 5 Jun 2010, Eliza dan bayinya dilaporkan hilang.

Suspek utama kehilangan Eliza

Pada hari yang sama, Bruno bermain buat kali terakhir untuk Flamengo ketika menentang Goias. Siasatan pihak polis mendapati bahawa rakan baik Bruno bernama Luiz Henrique Ferreira dan sepupu penjaga gol itu, Jorge Sales, terlibat dalam penculikan model itu dan bayinya.

luiz henrique ferreira

Luiz Henrique Ferreira a.k.a Spaghetti ditahan pihak berkuasa

Jorge Sales akhirnya mengaku kepada pihak berkuasa apa sebenarnya berlaku terhadap Eliza Samudio. Setelah menculik model itu, seorang bekas anggota polis bernama Marcos Aparecido telah diupah untuk membunuhnya. Tubuh wanita malang itu kemudian dikerat-kerat dan diberi makan kepada anjing.

Pembunuhan Eliza itu berlaku sehari sebelum perbicaraan mahkamah untuk menentukan nafkah anak dan ujian DNA Bruno iaitu pada 11 Jun.

Bayi Eliza pula telah diserahkan kepada bekas isteri Bruno bernama Dayana Rodrigues untuk disembunyikan. Namun, bayi bernama Bruninho itu akhirnya berjaya dikesan di kawasan setinggan di Belo Horizonte.

Masih menjadi pilihan kelab

Pada 7 Julai 2010, Bruno menyerah diri ke balai polis. Pihak berkuasa ketika itu sudahpun mempunyai bukti kukuh terhadap penjaga gol itu. Bruno didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 22 tahun.

bruno

Namun, penjaga gol itu kembali menjadi perhatian media. Kelab Montes Claros dari negeri kelahirannya  mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani penjaga gol itu pada Februari 2014 tetapi mahkamah menolak pemindahan Bruno ke penjara negeri itu. 

Tiga tahun kemudian, Bruno diringankan hukuman oleh Mahkamah Agung Brazil untuk menjalani hukuman tahanan rumah. Dia kemudian ditandatangani pula oleh kelab Boa Esporte.

Pada waktu siang, dia akan menjalani latihan di kelab dan terpaksa berada di rumah pada waktu yang ditetapkan. Beberapa kelab lain turut menunjukkan minat terhadap penjaga gol itu berikutan kelonggaran yang diperolehinya.

bruno penjaga gol

Namun, ia menjadi topik hangat di Brazil apabila beberapa NGO mendesak agar kelab bola sepak tidak mengambil penjenayah itu sebagai pemain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)