Kredit foto: mohdrohaizad.com & Instagram Lan Kristal

Gitaris kumpulan Kristal, Rody bakal mencari vokalis baru kumpulan rock itu untuk merehatkan penyanyi asal, Lan yang kini bertanding di Gegar Vaganza 4 (GV4).

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin berkata, hasrat itu timbul selepas dia mendapat nasihat daripada orang-orang lama.

"Kami akan buat uijbakat mencari penyanyi baru. Insya-ALLAH pengumuman akan dibuat. Semoga Lan berjaya dengan hajatnya nak jadi penyanyi solo.

"Takkan nak biarkan Kristal diam tanpa penyanyi dan kami nanti tak ada show pula," tulis Rody di Instagram.

Rody memberitahu pihaknya akan mengumumkan tarikh dan lokasi ujibakat selepas mengadakan perbincangan.

"Kami akan bersidang dulu dengan pengasas/pengurus Kristal Pak Din. Mungkin juga akan jumpa Awie," jelasnya menurut portal Sinar Harian.

Rody berkata, inisiatif untuk mencari vokalis baru itu untuk menepis tanggapan sesetengah peminat tentang kumpulan Kristal yang dianggap berkubur selepas penyertaan solo Lan di GV4.

"Sebenarnya senang saja, satu kumpulan perlu berbincang. Masuk GV pun tak bincang. Tahu-tahu nak buat solo. Janganlah buat kami macam tunggul.

"Ada kawan-kawan beritahu sebelum ni Lan rekod solo tapi malas percaya, sekali betul. Dia nak cuba benda baru, kita kena cuba benda baru jugalah.

"Kalau rezeki die dalam solo, kita tak ada masalah. Cuma kena cari penyanyi barulah. Faham-faham sajalah nanti show nak kena ada penyanyi. Kalau tak, maka terkontang-kanting kami," luah Rody.

Ditanya adakah Kristal tiada masalah jika Lan terus menggunakan nama Lan Kristal dalam kerjaya solonya, Rody berkata:

"Kalau dia dah kuat rasanya pakai Lan GV pun orang kenal."

Kumpulan Kristal mula aktif sejak tahun 1999 dan pernah popular dengan beberapa lagu berhantu, antaranya Seragam Hitam, Resam Pak Belalang dan Delaila.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)