Kredit foto: Instagram @pu_rizz
Pencetus Ummah (PU) Rizz menerusi akaun laman sosial miliknya meluahkan rasa terkejut apabila ada ustaz selebriti meminta harga bayaran ceramah hingga mencecah ribuan ringgit.
Menurut Rizz yang juga merupakan seorang pelakon itu, harga tersebut tidak masuk akal hanya bersandarkan tugasan sebagai seorang pendakwah.
"Semalam ada salah seorang dari produksi hubungi saya dan bertanya 'ustaz berapa ribu ustaz letak harga kalau nak jemput datang tempat/TV saya?'.
"Saya macam eh kenapa beribu. Ingat dia macam main-main saja. Lepas tu dia balas bukan main-main la kita tanya sebab ustaz ** harga dia RM3,000 tanpa diskaun.
"Sepanjang saya hidup duk buat dakwah ni tak pernah lagi seumur hidup letak harga untuk bagi ilmu agama," tulisnya.
Katanya lagi, sikap pendakwah itu membuatkannya berasa malu dan sedih kerana seolah menampakkan para pendakwah seperti menjual ilmu.
Menurut Rizz, ia juga secara tidak langsung telah mengundang fitnah kepada golongan yang ikhlas menyebarkan agama.
Kredit foto: Instagram @pu_rizz
"Dia kata tiada diskaun, malu kita mendengarnya. Kita hadir sebagai pendakwah bukan nak buat duit jual ilmu.
"Kita berharap Allah balas dengan ilmu yang tak banyak ni. Sedih bila ada di antara mereka yang menampakkan begitu.
"Bukan Allah suruh kita minta bayaran mahal-mahal faham tak? RM3,000 ni tak masuk akal untuk masjid kuliyyah subuh atau di rumah anak yatim.
"Jangan jadi fitnah pada agama. Jadilah logik. Apa yang anda lakukan selepas itu, minta banyak-banyak sebab anda popular untuk apa?" katanya.
Begitupun, Rizz berharap apa yang diperkatakannya dapat menjadi peringatan kepada diri sendiri bersama para ustaz selebriti, meskipun tidak menghalang jika seseorang pendakwah itu turut mengambil kira kos minyak dan tol sebagai bayaran, selagi tidak melupakan niat sebenar.
"Ini peringatan yang baik untuk diri saya dan semua yang bergelar 'ustaz selebriti' ke apa sahaja yang anda gelar! Ia tidak haram untuk anda dapatkan sedikit duit.
"Betul lah nak bayar minyak, tol dan sebagainya tapi kena ingat tujuan anda, apa tujuan anda belajar dan sebar ilmu agama. Niat untuk siapa?" katanya.
Sumber berita: Mstar