Tiada siapa yang mahu tinggal di penjara. Ia adalah satu tempat yang sangat menakutkan, berbahaya dan boleh membuatkan ramai orang menjadi gila. Namun, apa yang sangat mengejutkan adalah terdapat di antara mereka yang meminta agar hakim, polis dan pihak berkuasa untuk memasukkan mereka ke dalam penjara.
Lebih mengejutkan, terdapat segelintir manusia yang sengaja melakukan jenayah dengan harapan mereka dapat hidup di sebalik tirai besi. Ini mungkin dilakukan kerana tertekan dengan kehidupan dunia luar.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 7 kisah pelik individu meminta diri mereka dipenjarakan.
7. Remaja bosan dengan Xbox
Pada tahun 2013, seorang remaja dari New Zealand berusia 19 tahun meminta polis menghantarnya ke penjara kerana sudah penat bermain permainan video Xbob.
Remaja tersebut ketika itu sedang menjalani tahanan rumah selama 11 bulan bagi kesalahan yang tidak dinyatakan.
Dia telah menjalani 10 bulan hukuman tahanan tanpa keluar rumah dengan bermain Xbox sehingga menghabiskan kesemua permainan video yang ada.
Dia tidak bermain permainan video yang baru atau mengulangi permainan yang telah dihabiskan, sebaliknya meminta pihak berkuasa untuk menghantarnya ke penjara.
Pihak berkuasa bersetuju dengan permintaannya itu dan membenarkan dia menghabiskan baki sebulan tahanan di penjara, berjauhan dengan Xbox nya.
6. Eric Torpy minta hukuman penjara ditambah
Pada Oktober 2005, mahkamah Oklahoma menjatuhkan hukuman 30 tahun terhadap Eric Torpy di atas jenayah rompakan dan cubaan membunuh.
Tidak melakukan rayuan, Eric sebaliknya meminta hakim untuk menambah 3 tahun tambahan kerana dia mahu memadankan jumlah hukuman tersebut dengan nombor jersi pemain bola keranjang, Larry Bird.
Hakim bersetuju dan menambahkan hukumannya kepada 33 tahun. Enam tahun kemudian, Eric berkata dia menyesal dengan permintaannya yang bodoh itu disebabkan realiti hidup di penjara pastinya membuatkan Eric tertekan.
Dia kemudiannya bergurau dengan menyalahkan hakim yang tidak menolak permintaannya itu. "Tiga tahun yang ditambah itu bukannya perkara main-main," kata Eric.
Dia dibenarkan untuk dibebaskan dengan syarat pada tahun 2033.
5. Banduan peminat setia Francesco Totti
Pada tahun 2018, bekas pemain bola sepak kebangsaan Itali dan AS Roma, Francesco Totti mengeluarkan autobiografinya, "Un Capitano".
Dalam buku itu, beliau mendedahkan tentang pertemuannya dengan seorang tahanan yang ditemui semasa lawatan penjara pada tahun 2006.
Ketika itu, Totti melawat beberapa penjara selepas pasukan kebangsaan Itali menjuarai Piala Dunia 2006.
Di satu penjara, dia bertemu seorang banduan yang menjerit dengan bersungguh-sungguh, "Saya! Saya! Saya!" sambil berasak-asak untuk bertemu dengan Totti dan mengambil gambar.
Kemudian Totti mendapat tahu bahawa banduan tersebut telah dijadualkan untuk dibebaskan seminggu lebih awal. Namun, dia meminta supaya dibenarkan untuk terus menjalani hukuman penjara selama seminggu tambahan agar dapat bertemu dengan Totti.
Warden penjara terpaksa bersetuju dengan pemintaan itu kerana dia mengancam untuk melakukan sesuatu yang "gila" untuk dihantar kembali ke penjara, jika permintaannya tidak ditunaikan.
4. James Verone rompak bank demi penjagaan kesihatan
Pada tahun 2011, James Verone berusia 59 tahun telah merompak sebuah cawangan Royal Bank of Canada (RBC) di North Carolina sebanyak USD1 bersamaan RM4.10.
Dia memasuki bank dan memberi juruwang sebuah nota yang tertulis: "Ini adalah rompakan bank. Tolong berikan saya satu dolar".
Juruwang tersebut takut dan mungkin terkejut dengan permintaan yang aneh, tetapi memberikan wang yang diminta kepada James.
Kemudian, sama seperti kes Lawrence Ripple, James memberitahu juruwang tersebut bahawa dia akan duduk di lobi dan menunggu polis tiba.
Siasatan menunjukkan bahawa James melakukan rompakan tersebut untuk menerima penjagaan kesihatan percuma di penjara.
Dia mempunyai benjolan di dadanya dan kecederaan di belakang serta kaki. Sebelum itu James kehilangan pekerjaannya dan telah menghabiskan simpanan hidupnya akibat masalah kesihatan.
Dia merompak bank sebagai usaha terakhir untuk menyelamatkan nyawanya.
3. Timothy Dean Alsip rompak bank $1
Pada tahun 2013, 2 tahun selepas rompakan oleh James Verone, Timothy Dean Alsip melakukan rompakan serupa untuk mendapatkan akses penjagaan kesihatan percuma di penjara.
Pada 23 Ogos 2013, Timothy berjalan ke cawangan Bank of America di Portland, Oregon, di mana dia melakukan tindakan yang serupa dengan James, memberikan notis meminta wang sebanyak $1.
Selepas menerima wang tersebut, dia menunggu di lobi untuk diberkas oleh pihak polis. Siasatan mendedahkan bahawa Timothy telah cuba mendapatkan bantuan perubatan sebelum memutuskan untuk merompak.
Dia pada mulanya meminta bantuan daripada orang secara rawak sebelum menelefon 911 beberapa kali, dengan mendakwa bahawa dia telah dilanggar oleh kereta atau overdose dadah, namun tidak berhasil.
Buntu dengan situasinya, Timothy akhirnya memilih untuk merompak bank.
2. Lelaki Itali menyampah dengan isteri
Pada tahun 2014, Walid Chaabani yang berusia 32 tahun, sedang menjalani hukuman tahanan rumah atas jenayah dadah.
Namun, dia mula menghadapi masalah dengan isterinya semasa menjalani hukuman di rumah mereka di Livorno, Itali.
Pada satu hari, Walid sudah tidak tahan lagi dengan keadaan itu dan melarikan diri dari rumahnya, sekaligus melanggar syarat tahanan rumah.
Walid memberitahu polis bahawa dia berbuat demikian kerana dia mahu menyelesaikan hukumannya di penjara di mana dia boleh berjauhan dari isterinya, dengan yang hidup digambarkan sebagai "sangat sukar dan tidak dapat ditanggung".
Polis bersetuju dan membenarkan dia untuk menghabiskan hukumannya di penjara.
Dalam insiden yang tidak berkaitan yang berlaku pada tahun yang sama, seorang lelaki Itali yang tidak dinyatakan namanya juga meminta dipenjara kerana dia ingin melepaskan diri dari isterinya.
Lelaki itu sering berkelahi dengan isterinya semasa menjalani hukuman tahanan rumah selama 8 bulan di rumah mereka di Rom.
Pergaduhan mereka kadang-kala menjadi sangat panas sehingga didengari oleh jiran-jiran dan melibatkan pihak polis.
Selepas 3 bulan menjalani hukuman tersebut, dia meminta pihak berkuasa membenarkannya untuk menghabiskan keseluruhan hukuman di penjara.
Dia memberitahu pegawai polis bahawa pertengkaran dengan isterinya boleh berakhir dengan dahsyat jika mereka menolak permintannya, membuatkan ia ditunaikan.
1. Lawrence John Ripple rompak bank untuk berjauhan dengan isteri
Pada tahun 2017, Lawrence John Ripple dari Kansas yang berusia 70 tahun merompak sebuah bank kerana dia mahu dipenjarakan.
Sebab dia berbuat demikian adalah supaya boleh berjauhan dengan isterinya. Pada pagi kejadian, Lawrence bertengkar dengan isterinya dan meninggalkan nota bahawa dia lebih rela tinggal di penjara berbanding di rumah.
Dia kemudiannya pergi ke sebuah bank yang terletak di jalan yang sama dengan ibu pejabat polis Kansas City.
Lawrence menyerahkan nota kepada juruwang yang menyatakan bahawa dia memiliki pistol, dan mahukan wang.
Juruwang tersebut menyerahkan RM12,000 kepada Lawrence yang kemudiannya menunggu di lobi bank sehingga polis tiba. Jenayah yang dilakukannya boleh membawa hukuman maksimum 37 bulan penjara.
Walau bagaimanapun, Lawrence terlepas daripada hukuman selepas hakim memutuskan bahawa dia mengalami masalah mental. Dia menderita kemurungan dan menjalani pembedahan jantung 2 tahun sebelum ini.
Sebaliknya, hakim memerintahkan Lawrence untuk menjalani 50 jam khidmat masyarakat dan membayar RM410 kepada badan amal dan RM935 kepada pihak bank, yang diberikan kepada pekerja bank selepas diarahkan pulang ke rumah akibat insiden tersebut.
Hakim juga memerintahkan Lawrence menjalani hukuman tahanan rumah selama 6 bulan, yang mungkin harus dijalaninya dengan kehadiran isteri yang "tercinta".
Rujukan:
1. Telegraph
2. Huffpost
3. Verlis
4. ABC News