Kredit foto: Instagram @nadyasyahera
Restoran The Golok Cafe, milik pelakon Nadya Syahera dan suaminya, Fizul Nawi terbakar di Seksyen 7, Shah Alam kira-kira jam 10.15 malam tadi.
Menurut pelakon berkenaan, ia dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.
Sehubungan itu, Nadya berkata, salah seorang pekerjanya telah melecur di tapak tangan selepas berusaha membawa keluar tong gas daripada premis berkenaan .
Dalam pada itu, tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.
Nadya dan suaminya turut berkongsi rakaman kejadian di laman sosial masing-masing.
Difahamkan, pasangan ini juga telah mendapatkan rawatan buat para pekerja yang cedera di hospital berdekatan.
Mengakui masih terkejut dan trauma, Nadya bagaimanapun memanjatkan kesyukuran kerana tiada kemalangan jiwa, malah kediaman penghuni di atas kedainya juga tidak terlibat.
Ini kenyataan penuh Nadya kepada portal Mstar:
Kredit foto: Instagram @nadyasyahera
"Kejadian berlaku ketika pekerja saya mahu menukar tong gas baharu. Apabila dia buka penutup tong, tiba-tiba gas menyembur keluar dan terus menyambar api dari kawasan dapur.
"Suami saya dan pekerja lain cuba untuk memadam api yang sedang marak tapi tak berjaya sebab gas terlalu banyak. Ada pula seorang pekerja saya ini jenis melatah dan apabila dia dengar orang jerit suruh tarik tong gas, dia pun terus berlari masuk ke dalam untuk tarik.
"Akibat daripada itu, tapak tangan kanannya melecur teruk. Nasib baik juga gas itu tak meletup ketika dia cuba tarik keluar.
"Saya masih lagi terkejut dan trauma sebab kebakaran itu berlaku betul-betul depan mata saya tapi apa-apa pun saya bersyukur semua pelanggan yang ada ketika itu tidak mengalami kecederaan.
"Nasib baik juga bomba sempat memadam api, sebelum marak ke rumah atas kedai makan kami. Kerosakan hanya di ruang masak di hadapan kedai sahaja".
Sementara itu, menerusi ruangan komen laman Instagram aktres itu, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mendoakan urusan mereka dipermudahkan.
Terdahulu, pasangan ini terlibat dalam konflik rumah tangga apabila peakon Setelah Terlafaznya Akad itu mendakwa suaminya menjalinkan hubungan cinta dengan adik kepada seorang usahawan kosmetik.
Bagaimanapun mereka memilih untuk berdamai dan meneruskan perkahwinan.
Sumber berita: Mstar & Astro Gempak