Kuih loyang atau juga dipanggil sebagai kuih ros, kuih bunga durian kuih cap dan kuih goyang adalah sejenis kuih tradisi India yang diperbuat dari tepung beras yang digoreng dalam minyak masak.
Kuih ini datangnya daripada kuih tradisional yang berasal dari India, khususnya selatan India (Tamil Nadu dan Kerala), dimana kuih ini dipanggil sebagai 'Achu Murukku' atau 'Achappam', rasanya turut manis.
Di Malaysia, kuih ini disebut kuih goyang disebabkan setelah acuannya dicelup dalam adunan tepung cair, kuih ini dicelup ke dalam minyak yang panas dan digoyang-goyangkan supaya tanggal.
Sementara itu, nama ros pula kerana bentuknya menyamai bunga. Nama loyang pula barangkali disebabkan acuannya diperbuat daripada logam loyang.
Warna asal kuih ini adalah keemasan, namun sekarang terdapat kuih goyang pelbagai warna.
Kuih ini lazimnya dihasilkan ketika musim perayaan Hari Deepavali, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Kuih Loyang atau Rose
Bahan-bahan:
- Tepung beras (3 cawan) - cap Teratai/1 Gajah
- Telur ayam (2 biji)
- Gula (1/2 cawan) - boleh dikurangkan, jika manis ia tidak jadi
- Santan (1/2 cawan) - boleh dikurangkan, terlalu lemak pun tidak jadi juga
- Air (3 cawan) - lebih atau kurang perlu agak-agak juga
Nota: Resepi orang dahulu, agak-agak sahaja namun menjadi.
Cara penyediaan:
1. Sebatikan tepung dengan gula dan masukkan telur yang dipukul dahulu.
2. Masukkan santan dan air. Bancuhan jangan pekat sangat atau pun tidak cair sangat. Tapiskan.
3. Panaskan kuali dan masukkan acu ke dalam minyak. Apabila minyak telah panas, celup acu dalam bancuhan.
Nota: Agak-agak jangan terlalu lama, nanti tidak mahu tanggal pula dalam kuali tersebut. Ketika mahu tanggal kuih dari acu tersebut, perlu goyang-goyang manja sahaja.
4. Perlu selalu kacau bancuhan agar ia sekata. Gunakan api tahap sederhana.
Tips: Untuk tidak membuatkan acu lekat, rendam acu semalaman dalam bekas yang berisi air dan asam keping.
Sumber: