Oleh pada 17 Dec 2018 kategori

Chicken chop merupakan antara masakan Barat yang amat popular di seluruh dunia. Ia dihidangkan dengan sos biasa atau bercampur cendawan butang. Kebiasaannya, ia dijamah bersama kentang goreng (fries), potongan sayur-sayuran iaitu kubis, bawang, lobak merah bercampur mayonis (coleslaw) dengan hiasan daun salad.

Bahagian ayam yang sesuai untuk chicken chop ialah paha dan pangkalnya. Anda perlu mengeluarkan tulang bahagian ini namun hujungnya (anggaran 2 cm) hendaklah dibiarkan. Ini bererti, anda mesti memotong tulang yang selebihnya.

Kulit ayam juga perlu dibuangkan supaya bahan salut dapat melekat dengan sempurna. Tambahan pula, kulit ayam mengandungi lemak yang tidak baik untuk kesihatan.

Terdapat juga potongan chicken chop yang dijual dimana tulangnya telah dibuangkan. Perapkan dengan serbuk lada sulah dan sedikit garam selama sejam. Pastikan ia dilap kering-kering dengan kitchen towel terlebih dahulu.

Fried Chicken Chop Paling Mudah

Kredit foto: Kak Wan (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan untuk sos blackpepper:

  • 1 sudu marjerin / mentega
  • 2 sudu tepung gandum
  • 1/2 kiub pati ayam
  • 3 sudu sos blackpepper
  • 1 sudu serbuk blackpepper
  • 1 sudu kicap pekat
  • 1 cawan air

Cara memasak:

  1. Cairkan marjerin atau mentega.
  2. Masukkan tepung gandum.
  3. Gaulkan sehingga sebati dan tidak berketul.
  4. Masukkan air sedikit demi sedikit.
  5. Masukkan kiub pati ayam, sos blackpepper, serbuk blackpepper dan kicap pekat.
  6. Kacau sehingga sos masak.

Tips: Jika kuah pekat, boleh tambah air mengikut kepekatan yang diinginkan.

Bahan ayam:

  • Ayam untuk chicken chop
  • 1 biji telur
  • Tepung Bestari

Cara penyediaan:

  1. Ayam diperap dengan telur.
  2. Kemudian, salutkan ayam dengan tepung Bestari.
  3. Goreng.

Hiaskan dengan lobak merah dan brokoli yang dicelur, tomato dan kentang goreng. Siap.

fried chicken chop

Tips:

➡ Membuat adunan salut atau batter lebih senang menggunakan pemutar belon. Ini akan menghasilkan adunan yang halus dan tidak berketul. Caranya adalah meletakkan semua bahan kering di dalam mangkuk. Dengan sebelah tangan menuangkan air, sebelah lagi mengacau campuran tersebut. Pastikan ia tidak terlalu cair. Apaila kepekatannya elok, pukul dengan kuat selama beberapa saat kemudian biarkan selama 10 minit.

➡ Celup potongan ayam dengan memegang dua bahagian jika ia besar. Ini supaya potongan itu ‘leper’ dan boleh menyalut seluruh ayam. Kemudian, salut dengan serbuk roti yang diletakkan di atas pinggan leper. Pastikan setiap bahagian bersalut dengan serbuk roti tersebut. Anda boleh sediakan beberapa keping sebelum mula menggoreng.

➡ Amat senang menyediakan serbuk roti di rumah. Hanya letak reja roti atau kepingan yang tidak dimakan di atas rak peti sejuk. Anda tidak perlu membungkusnya. Biarkan selama 3 atau 4 hari dan roti akan menjadi keras. Pecahkan menjadi kepingan kecil. Kemudian, kisar sehingga halus. Simpan di dalam bekas bertutup. Letak di bahagian bawah peti ais kerana ia tahan lama.

➡ Anda juga boleh beli serbuk roti di kedai. Terdapat dua jenis. Serbuk roti yang berwarna kuning akan menghasilkan kulit chicken chop kuning keemasan. Serbuk roti jenis ini amat rangup kerana ia mempunyai campuran tepung jagung. Untuk lebih wangi, campurkan serbuk roti dengan kelapa parut yang sudah digoreng kekuningan. Anda akan dapati chicken chop anda juga rangup. 

➡ Gorenglah di dalam minyak yang banyak supaya senang masak. Sebaik-baiknya gunakan deep-fryer yang berbakul khas. Jadi, amat senang apabila mahu mengangkatnya. Untuk menggoreng dengan sempurna, pastikan api tidak terlalu kuat. Tetapi, minyak perlu panas ketika anda memasukkan ayam tersebut. Jangan goreng terlalu banyak pada suatu masa. Suhu minyak akan turun mendadak dan ini menyukarkan ayam menjadi garing.

➡ Apabila ayam nampak keemasan, bolehlah diangkat dan ditoskan minyaknya. Keluarkan serdak yang masih ada di dalam minyak sebelum memasukkan potongan lain. Serdak yang terlalu lama digoreng akan menjadi hitam dan melekat pada ayam. Ini pastinya tidak menarik dipandang. Untuk mengurangkan serdak ini, pastikan minyak tidak terlalu panas ketika anda mula menggoreng. Anda juga mesti meletakkan ayam ke dalam minyak dengan cara yang lembut dan tidak ‘mencampakkannya’ begitu sahaja.

➡ Untuk membuat sos, perlukan batang salderi atau celery. Sebaik-baiknya gunakan bawang besar jenis putih (Holland). Bawang besar jenis merah pula hanya sesuai untuk membuat gulai dan sebagainya. Ini kerana rasanya yang lebih kuat dan boleh digandingkan dengan rempah atau cili.

➡ Bahan paling penting apabila membuat sos adalah mentega. Jangan gunakan marjerin kerana ia tidak sesuai. Kacau mentega dan tepung sehingga hampir keemasan. Kemudian, tuangkan air dan masukkan semua bahan lain. Jika menggoreng terlalu lama, campuran boleh menjadi hangus dan pahit. Jadi, langkah pertama itu amat penting. Ia akan menentukan samada sos lazat atau sebaliknya.

➡ Ramai orang keliru tentang air rebusan ayam atau chicken stock. Air rebusan yang asli atau tulin diperbuat dengan merebus salderi, bawang, lobak merah, biji lada sulah dan rangka ayam selama beberapa jam. Kemudian, biarkan semalaman. Buangkan lemak yang mengeras di permukaan. Masak sehingga mendidih semula lalu ditapiskan.

➡ Sekiranya anda tiada masa untuk membuat air rebusan ayam, campurkan 1 kiub pati ayam dengan air panas secukupnya. Anda turut boleh menggunakan 1 camca besar stok pekat di dalam botol. Jika tidak memasukkan kiub, rasa sos kurang sedap. Jangan letak terlalu banyak garam kerana kiub sudah agak masin.

➡ Salah satu bahan penting adalah herba Italy (Italian herbs) yang dijual di dalam botol-botol kecil. Selain itu, boleh gunakan herba campuran (mixed herbs). Ia merupakan campuran herba kering oregano, rosemary, thyme dan dill. Campuran ini menghasilkan aroma masakan Barat yang sangat menyelerakan.

➡ Bagi yang suka pedas, campurkan sedikit serbuk cili ke dalam adunan salut. Anda turut boleh menambah serbuk lada hitam ke dalam sos. Jika mahukan sos berwarna gelap, campurkan lebih banyak kicap pekat atau kicap hitam. Sos ini boleh disimpan beberapa hari di dalam peti sejuk dan dipanaskan apabila mahu dimakan.

Sumber:

1. Akiss Ibrahim [1, 2]

2. Norzailina Nordin (norz-masakan.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)