Oleh pada 24 Dec 2018 kategori

Cara membuat cucur atau jemput-jemput sememangnya sangat senang. Bahan asasnya ialah tepung, air dan garam. Selain itu, ia boleh ditambah udang hidup, udang kering, ikan bilis, bawang, jagung, cili merah, sayur kucai, daun bawang atau taugeh.

Kali ini kami akan berkongsi resepi untuk membuat cucur jagung. Cucur jagung memang enak jika dimakan semasa masih panas. Bertambah terangkat apabila dicicah dengan sos.

Selebihnya, anda boleh ikut kreativiti sendiri untuk memenuhi selera anda atau keluarga. Bagi yang belum pernah mencampurkan hirisan daun sup, anda boleh cuba untuk menambah dan mendapat sedikit kelainan dari segi rasa.

Cucur Jagung Jenis Pedas

Kombinasi kemanisan jagung, kemasinan ikan bilis dan kepedasan cili cukup mempesonakan

Bahan-bahan:

  • 4-5 tongkol jagung manis
  • Segenggam ikan bilis
  • Sebiji bawang merah
  • 5-6 tangkai cili kering (digunting dan direndam air panas)
  • Tepung gandum secukupnya
  • Air sedikit secukupnya
  • Garam secukup rasa

Cara penyediaan:

1. Tumbuk bawang separuh bersama ikan bilis dan cili kering yang telah lembut sehingga lumat.

2. Separuh lagi bawang dihiris nipis.

3. Hiris jagung dan campurkan bersama bahan tumbuk, hirisan bawang dan perasakan dengan garam.

4. Tambahkan sedikit air dan tepung. Gaul rata dan pastikan anda masih nampak butir jagung.

5. Goreng dengan cara menggunakan tepi sudu. Cucur akan jadi memanjang-manjang.

6. Sudukan dalam minyak panas. Apabila atas sudah kering, baru terbalikkan. Cucur akan rangup di luar dan lembut di dalam.

7. Toskan dan siap untuk dimakan.

Resepi Bonus: Cucur Udang Jagung Rangup

cucur udang jagung

Kredit foto: Zaidazukhi Zaidalias (Gambar bukan menggunakan resepi dibawah)

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 6 sudu besar tepung beras (rahsia kerangupan)
  • 2-3 cawan air (anggaran - perlu masukkan sedikit-sedikit dan adjust kepekatan)
  • 15 ekor udang
  • 1/2 cawan isi jagung atau lebih
  • 1 cawan tauge
  • 1/2 cawan daun kucai
  • 1 ulas bawang besar (dipotong dadu kecil)
  • Sedikit gula (pemilik resepi suka bagi manis sedikit)
  • Sedikit garam

Cara penyediaan:

1. Campur kesemua bahan di atas dan kacau rata. Peram sebentar dalam 1-2 jam. Kemudian, barulah digoreng.

2. Goreng (deep fry) dalam minyak panas.

3. Selepas goreng, potong kecil-kecil dan hidangkan dengan kuah kacang atau sos cili.

 

Tips untuk mendapatkan cucur yang enak dan lembut:

➡ Tepung memainkan peranan. Tepung gandum dari jenama yang lain dari cap Sauh, cucur menjadi sedikit keras. Anda disarankan untuk menggunakan tepung cap Sauh kerana sangat sesuai untuk cucur jenis ini.

➡ Bawang juga boleh menghasilkan cucur yang lembut, terutamanya bawang Holland. Masukkan bawang lebih untuk mendapatkan cucur yang lebih lembut.

➡ Jika masukkan jagung, memadai sedikit sahaja. Terlalu banyak boleh menjadikan cucur sedikit keras.

➡ Campurkan sedikit minyak masak dalam bancuhan tepung menjadikan cucur lebih lembut.

➡ Boleh juga gantikan minyak dengan mentega untuk lebih lemak.

➡ Telur juga merupakan antara bahan yang dapat memainkan peranan untuk menghasilkan cucur yang lembut.

➡ Boleh juga masukkan separuh sukatan tepung dengan tepung cucur Adabi. Maksudnya, jika guna 2 cawan tepung yang digunakan, pastikan 1 cawan tepung gandum dan 1 cawan tepung cucur Adabi.

➡ Buat ‘ibu’/kanji. Ambil 3 camca besar tepung gandum, tuang sedikit-sedikit air panas yang baru lepas mendidih, kacau sebati dan lembut. Kemudian, baru masukkan bahan lain untuk digaul. ‘Ibu’/kanji akan menjadikan cucur tersebut kekal lembut walaupun ia sudah sejuk.

➡ Boleh juga masukkan serbuk penaik, sodium bikarbonat atau yis mauripan. Tetapi, kebiasaannya bahan ini menjadikan cucur anda naik yang secara tidak langsung teksturnya akan menjadi lembut.

Sumber:

1. Suzie Saufi [1, 2]

2. Eny Yusnizar Abdullah [1, 2]

3. FHA Selemak Santan (intai-intaidapurfha.blogspot.com) [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)