Oleh pada 23 Jan 2019 kategori

Tetel merupakan bahagian daging lembut yang bercampur dengan urat, tulang dan lemak. Kebiasaannya, daging tetel sudah siap dipotong kecil-kecil oleh penjual.

Asam pedas daging tetel dimasak bersama-sama dengan kesemua bahagian tadi dan menghasilkan kuah asam pedas yang sangat kaya dengan rasa daging.

Bahan asas asam pedas daging tetel lebih kurang sama seperti asam pedas ikan. Cuma terdapat beberapa bahan yang ditambah untuk menghilangkan dan mengurangkan rasa daging yang kuat.

Namun, rasa kuah asam pedas daging tetel sangat berlainan dengan asam pedas ikan kerana mempunyai rasa pedas bercampur dengan sedikit masam. Kuahnya juga sangat pekat dan amat sesuai dijamah bersama nasi panas.

Kebanyakan orang yang berasal dari Melaka gemarkan asam pedas ini. Ia akan menjadi lebih terangkat jika dimasak pada waktu malam dan dimakan pada keesokan paginya kerana kuahnya telah pekat dan sebati ramuannya.

 

Asam Pedas Daging Tetel

Kredit foto: Siti Fatimah & Zaimah Zakaria (Gambar pertama bukan menggunakan resepi dibawah)

 

Bahan-bahan:

  • Daging tetel (1kg)
  • Cili kering (15/20 tangkai)*
  • Bawang merah kecil (4 biji)*
  • Bawang putih (5 ulas)*
  • Halia (1 inci)*
  • Lengkuas (1 inci)*
  • Kunyit hidup (1 inci)*
  • Belacan (1 inci)*
  • Lada hitam (1 sudu kecil)*
  • Jintan manis (1 sudu kecil)*
  • Jintan putih (1 sudu kecil)*
  • Air asam jawa (1 mangkuk)
  • Gula melaka - pemilik resepi guna sedikit sahaja, tidak suka terlalu manis
  • Garam secukupnya
  • Daun limau purut (dibuang tulang tengah)
  • Serai (3 batang) - diketuk

 

Caranya:

1. Rendam cili kering, jintan dan lada hitam dalam air panas.

2. Kisar bahan-bahan berhuruf condong sehingga halus.

3. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan yang dikisar tadi sehingga garing.

4. Masukkan daging tetel. Masak sehingga keluar air daging tadi.

5. Masukkan air asam jawa, serai yang diketuk dan daun limau purut.

6. Rasakan dengan garam dan gula melaka. Masak sehingga daging empuk.

7. Boleh juga jika mahu rebus daging tetel dahulu. Air rebusan jangan dibuang kerana boleh masukkan dalam kuah nanti.

 

Resepi Bonus: Daging Perapan Susuk Kasturi

daging perapan susuk kasturi 232

 

Bahan-bahan perapan:

  • Daging
  • Garam
  • Limau kasturi

 

Cara perap:

  • Basuh daging dahulu. Kemudian, hiris nipis.
  • Gaul daging dengan garam.
  • Susun daging dalam bekas. Kemudian, perah limau kasturi atas daging.

Nota: Pemilik resepi gemar perah sehingga memenuhi bekas daging tersebut.

 

Bahan-bahan untuk memasak:

  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Halia
  • Cili merah
  • Cili hijau

Nota: Garam tidak perlu diletak lagi. 

 

Tips:

✔ Daging lebih enak jika diperam selama 2 hari ke atas. Jika tidak, boleh goreng sahaja.

✔ Daging perapan susuk kasturi ini boleh disimpan dalam peti ais. Jika terdesak tiada lauk, boleh masak daging ini dalam kuali.

 

Nota:

➡ Resepi ini bukan sahaja mudah, malah boleh dibuat stok dalam peti ais terutamanya untuk golongan ibu yang sibuk.

➡ Kenapa namanya ada 'susuk'? Menurut pemilik resepi, daging ini selepas diperap dengan limau, ianya akan membuat anda awet muda.

 

Sumber:

1. Zaimah Zakaria [1, 2]

2. Sofia Sarlinie Primadona [1, 2]

3. Mohd Zarin (mohdzarin.com) [12]

4. Ku Mahu Kau Tahu (linanor-azdin.blogspot.com) [12]

5. Inmyheart (inmyheart-aznie.blogspot.com) [12]




Hakcipta iluminasi.com (2017)