Oleh pada 09 Apr 2017 kategori

Pablo Emilio Escobar Gaviria. Satu nama yang pada satu ketika dulu, sangat digeruni oleh kerajaan Colombia dan pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana keganasan dan sifat tidak berperikemanusiannya, yang telah menjadikan Colombia sebuah negara yang bermasalah dan Amerika sebagai lubuk kokain. Impian dan kekejaman raja kokain dunia ini telah menjadikan Pablo Escobar penjenayah yang terkaya dan paling ganas di atas muka bumi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

wajah ketika muda

Lahir di Rionegro, Antioquia pada 1 Disember 1949, Pablo dan keluarganya kemudian berpindah ke pinggir kota Envigado. Berasal dari keluarga berstatus sosio-ekonomi rendah, bapa Pablo bekerja sebagai petani kecil manakala ibunya merupakan seorang guru sekolah. Sejak kecil lagi, Pablo memberitahu keluarga dan rakan-rakannya bahawa dia ingin menjadi presiden Colombia satu hari nanti. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya apabila dia terlibat dalam kancah dadah.

Membesar dalam persekitaran yang dipenuhi dengan jenayah, Pablo bermula sebagai pencuri jalanan dan mencuri kereta. Pablo kemudiannya berjinak-jinak menjadi seorang penyeludup, penculik dan pemeras ugut. Pablo pada mulanya terkenal ketika "Perang Marlboro", yang mana dia menjadi watak utama dalam mengawal pasaran rokok seludup di Colombia. Pengalamannya ini adalah sebagai sebuah latihan baginya untuk menjadi raja dadah dikemudian hari.

Mula berkuasa

pablo dan rakannya

Perdagangan kokain yang didominasi oleh Colombia bukanlah satu kebetulan. Bermula pada awal 1970-an, Colombia menjadi tapak utama penyeludupan ganja. Namun selepas pasaran kokain semakin berkembang, lokasi geografi Colombia membuktikan bahawa ianya adalah aset terbesar negara itu. Terletak di hujung utara Amerika Selatan, di antara Peru dan Bolivia yang merupakan pusat penanaman pokok koka yang sedang berkembang pesat, Colombia mula mendominasi perdagangan kokain secara global bersama Amerika Syarikat. Amerika Syarikat ketika itu adalah merupakan pasaran terbesar kokain.

serbuan gudang pablo

Sebagai penyeludup yang berpengalaman dan berkuasa, dengan falsafah "plata o plomo" ("duit atau peluru") yang digunakan untuk mengugut pihak berkuasa, Pablo Escobar dengan cepat mengambil alih penyeludupan kokain. Pada 1975, pengedar dadah di Medellin, Fabio Restrepo telah dibunuh. Pembunuhannya itu dikatakan diarahkan oleh Pablo, yang seterusnya merampas takhta dan mengembangkan operasi Fabio, sehingga menjadi sesuatu yang tak pernah terjadi dalam sejarah dunia.

jelingan pablo

Dibawah kepimpinan Pablo Escobar, pes koka (daun koka dimasak dan dilumatkan menjadi pes) dibeli dengan jumlah yang sangat banyak dari Bolivia dan Peru, diproses menjadi kokain, dan diseludup masuk ke Amerika untuk dipasarkan. Pablo bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan kecil yang akhirnya bergabung menjadi penyeludup kokain terbesar dunia yang digelar "Medellin Cartel".

Bermula dengan menyeludup masuk ke Amerika Syarikat dalam jumlah yang kecil, penyeludupan tertinggi yang telah dicatatkan dalam hanya satu urusan adalah sebanyak 51,000 paun (23,000 kilogram) kokain yang bernilai $690 juta USD (RM3 billion).

seludup 13 600 kg sehari

Menjelang pertengahan tahun 1980, merupakan pencapaian tertinggi dalam karier Pablo sebagai seorang raja dadah apabila 80 peratus daripada kokain yang diseludup masuk ke Amerika Syarikat adalah kokain Pablo. Dianggarkan lebih daripada 15 tan (13600 kilogram) kokain dilaporkan diseludup masuk ke Amerika Syarikat setiap hari, yang memberikan pulangan sebanyak $420 juta USD (RM1.86 billion) seminggu. Ianya hampir $22 billion USD (RM96.8 billion) setahun. 

Kekayaan yang melampau-lampau

tersenarai dalam majalah forbes

Oleh kerana proses pemindahan wang dari Amerika Syarikat ke Colombia hasil daripada penjualan kokain menjadi satu kelaziman bagi Pablo Escobar, dia telah membeli sebuah pesawat "Learjet" semata-mata untuk memudahkan urusan tersebut.

Dengan anggaran kekayaan sebanyak $30 billion USD (RM133 billion), Pablo Escobar telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 10 manusia terkaya di atas muka bumi oleh majalah Forbes selama 7 tahun berturut-turut dari 1987 hingga 1993.

jet peribadi

Dengan kekayaannya, Pablo membina rumahnya di Medellin yang dilengkapi dengan kolam renang dan zoo dipenuhi haiwan seperti badak sumbu, gajah, zirafah, serta macam-macam lagi. Badak sumbu Pablo masih hidup sehingga kini dan menjadi kumpulan badak sumbu yang terbesar di luar Afrika.

Kerana wang tunai yang terlalu banyak dan tidak dapat dikawal dengan baik, diceritakan bahawa 10 peratus daripada wang tunainya telah rosak akibat dimakan oleh tikus.

Pada suatu ketika dimana Pablo dan keluarganya bersembunyi daripada buruan pihak berkuasa, Pablo telah membakar wang kertas bernilai $2 juta USD semata-mata untuk memanaskan badan anak perempuannya, Manuela, yang demam. Pablo membelanjakan $2,500 USD (RM11,000) sebulan untuk membeli getah bagi mengikat wang tunai miliknya.

Oleh kerana perniagaan kokainnya yang terlalu besar dan berkembang pesat, ia membuatkan Pablo bukan sahaja menggunakan kereta, trak, helikopter, kapal terbang, dan bot, malah dia juga mempunyai 2 buah kapal selam untuk tujuan penyeludupan.

rumah pablo dinamakan hacienda napoles

Pablo juga pernah menawarkan kepada kerajaan Colombia untuk melangsaikan hutang negara bernilai $10 billion USD dengan balasan dia mahukan undang-undang ekstradisi dihapuskan.

Menyertai politik

Ketika berumur 26 tahun, Pablo telah ditangkap bersama kokainnya seberat 17.7 kilogram. Itu adalah kali pertama dan terakhir Pablo ditangkap disebabkan dadah. Jika orang lain, itu mungkin menjadi satu penghabisan bagi mereka, namun tidak bagi Pablo Escobar. 9 orang hakim telah menolak untuk mendengar pendakwaan ke atasnya selepas mereka diugut bunuh. Anggota polis yang menangkapnya itu telah dibunuh secara misteri, dan akhirnya Pablo tidak didakwa.

pablo dikhalayak umum

Untuk mengelakkan perkara tersebut berulang lagi, Pablo perlu membuatkan dirinya berkredibiliti. Satu-satunya cara adalah dengan menyertai politik. Tujuan lain Pablo menyertai politik adalah untuk mengelakkan dirinya diekstradisi, dengan impian ingin merubah undang-undang itu.

Pada tahun 1982, Pablo telah dilantik sebagai ahli kongres Colombia dan telah memberikannya akses yang lebih besar bagi memudahkan urusan perniagaan kokainnya.  Ketika inilah Pablo meraih sokongan rakyat yang sangat padu daripada komuniti yang selalu dilawatinya, kerana dia bertanggungjawab membina rumah-rumah untuk orang miskin, gereja, padang bola, hospital, dan rumah untuk gelandangan.

Namun, dia tidak lama dalam kancah politik. Menteri Keadilan, Rodrigo Lara telah mengumumkan kepada umum bahawa Pablo Escobar terlibat dengan penghasilan dan penyeludupan dadah yang besar, yang telah sekaligus memalukan dan menamatkan impian Pablo sebagai ahli politik.

Pablo telah dilucutkan jawatan dari kongres dan visa Amerika Syarikatnya dibatalkan. Aset-asetnya seperti beberapa ratus buah kapal terbang serta hartanah telah dibekukan oleh kerajaan. Berang dengan kejadian itu, Pablo telah mengarahkan konconya untuk membunuh Rodrigo Lara pada 1984.

pablo sangat meminati bola sepak

Kemuncak karier jenayah

Ketika Pablo berada di kemuncak karier jenayahnya, dia merasakan dirinya tidak dapat disentuh oleh sesiapa, dan dia langsung tidak takut dan hormat kepada kerajaan Colombia. Namun apa yang menggerunkan Pablo adalah undang-undang jenayah narkotik Amerika Syarikat. Dengan menggunakan keganasan, Pablo cuba untuk mempengaruhi ahli politik Colombia ke arah menghapuskan undang-undang ekstradisi ke Amerika Syarikat (menyerahkan Pablo kepada negara Amerika) dan pemberian pengampunan kepadanya.

mahkamah persekutuan colombia diserang

tentera colombia menyerang balaa

Beberapa cubaan untuk mengubah undang-undang itu namun tidak berjaya. Baginya, jika dia tidak dapat mengubah undang-undang ekstradisi itu, dia akan cuba membunuh pihak yang melaksanakan undang-undang tersebut.

Pada 6 November 1985, Mahkamah Persekutuan Colombia telah diserang dan dibom dengan teruknya oleh kumpulan M-19, yang diupah oleh Pablo Escobar yang telah meragut nyawa 12 orang hakim. Segala rekod jenayah berkenaan penyeludupan dadah telah dihapuskan. Dengan pembunuhan kejam ini, kerajaan telah nekad dan mengarahkan pemburuan ke atas Pablo, yang mana menjadi satu pemburuan manusia yang terhebat dalam sejarah.

Pengisytiharaan perang

Pada Ogos 1989, presiden Colombia ketika itu Virgilio Varco Vargas mewakili kerajaan Colombia, mengisytiharkan perang terhadap Pablo Escobar. Beribu-ribu anggota polis dikerahkan membuat serbuan demi serbuan untuk mencari dan menangkap Pablo. Pablo terpaksa melarikan diri bagi mengelakkan dirinya ditangkap.

Beberapa bulan berlalu, kerajaan Colombia telah berjaya menyita kebanyakkan daripada harta Pablo seperti rumahnya dan hartanah yang lain serta rakan-rakan kongsinya telah ditangkap, dan dia berada di dalam persembunyian.

kesan kekejaman pablo

Terasa dirinya seperti dikepung, Pablo memberikan respon kepada kerajaan. Kali ini, keganasannya lebih mengerikan. Pablo melancarkan serangan keganasan selama 5 bulan, bermula dengan pembunuhan calon presiden Colombia, Luis Carlos Galan ketika Galan sedang berkempen dalam pilihanraya. Pembunuhan Luis Galan menyebabkan pengurus kempennya, Cesar Gaviria terpaksa menggantikan tempatnya, yang mana kemudian menjadi presiden Colombia. Pembunuhan itu menyemarakkan lagi kemarahan kerajaan Colombia, yang kemudian mengarahkan gandaan anggota polis dalam memburu Pablo. Hadiah sebanyak $1 juta USD akan diberikan kepada sesiapa yang dapat menangkap Pablo.

poster pencaria pablo

Sebagai serangan balas, Pablo menawarkan bayaran kepada sesiapa yang membunuh anggota polis di seluruh Colombia. Menurut sumber, remaja semuda 15 dan 16 tahun, telah senyap-senyap menyelinap ke belakang seorang anggota polis, dan meletakkan pistol di telinganya. Anggota polis itu kemudiannya ditembak, dan remaja tersebut pergi ke sebuah rumah dan dibayar sebanyak $500 USD.

Selepas Cesar Gaviria mengambil tempat Luis Galan sebagai calon presiden, membuatkan Pablo Escobar tidak senang duduk dan cuba untuk membunuh Cesar. Pada 27 November 1989, Cesar Gaviria dijadualkan untuk menaiki pesawat komersial Avianca Airlines 1803 dari Bogoto ke Cali. Salah satu daripada orang kanan Pablo telah diarahkan untuk menaiki pesawat itu berbekalkan sebuah bag, yang dikatakan Pablo mengandungi alat curi dengar. Tanpa pengetahuannya, beg tersebut mengandungi bom. Kapal terbang tersebut meletup dan jatuh di atas gunung di luar Bogota. Ia telah meragut 107 nyawa orang tidak bersalah, termasuk 3 orang warga Amerika Syarikat. Namun, Cesar Gaviria tidak berada di dalam pesawat tersebut.

sisa kapal terbang avianca airlines

Selepas pengeboman pesawat komersial itu, kerajaan Colombia telah meminta bantuan Amerika Syarikat untuk membantu mereka dalam misi mencari dan menangkap Pablo Escobar. Kerajaan Amerika Syarikat menghantar unit pengawasan rahsia yang diberi nama "Centra Spike", yang mempunyai kepakaran mencari individu dengan mencuri dengar perbualan mereka melalui alat elektronik.

Keganasannya telah membuatkan rakyat yang dahulu menyokongya, telah berpaling arah. Oleh itu, untuk serangan seterusnya, Pablo hanya mensasarkan kepada kerajaan Colombia sahaja. Ibu pejabat DAS Colombia (setaraf FBI Amerika) telah dibom oleh Pablo dengan menggunakan bas berisi dinamit yang dibawa ke tingkat 11 bangunan tersebut, bertujuan membunuh General Miguel Maza Marquez iaitu direktor DAS, namun tidak berjaya. Pengeboman bangunan 11 tingkat itu telah meragut nyawa 70 orang.

pengeboman bangunan das

Kempen yang dilancarkan oleh Pablo telah mengorbakan beribu nyawa, termasuk ahli politik, penjawat awam, wartawan, dan rakyat biasa. Keganasan itu juga telah menyebabkan terbunuhnya 2 calon presiden Colombia yang lain. Pablo dikatakan telah menyebabkan kematian hampir 4,000 orang sepanjang hidupnya, termasuk 200 orang hakim dan 1000 orang anggota polis.

Penyerahan diri dan melarikan diri

Perang yang tercetus bagaimanapun telah memberikan kelebihan kepada kerajaan Colombia apabila berjaya merampas harta Pablo di Colombia dan Amerika Syarikat.

Pada June 1991, Pablo Escobar telah menyerah diri kepada kerajaan Colombia yang diterajui oleh President Cesar Gaviria. Sebagai balasan, ancaman untuk ekstradisi terhadapnya dihapuskan dan dibenarkan untuk membina penjara mewahnya yang diberi nama "La Catedral". 

la catedral di atas bukit

Penjara ciptaanya yang mewah itu dikawalselia oleh pengawal-pengawal yang dipilihnya di kalangan konco-konconya dan dilengkapi dengan kasino, jakuzi, padang bola, spa dan kelab malam. Kehidupannya di dalam La Catedral tidak ubah seperti kehidupannya sebelum ini. Keluarganya dibawa untuk melawatnya 3 hingga 4 kali seminggu. Pablo juga selalu membawa masuk pemain bola sepak professional Colombia ke dalam La Catedral untuk bermain bola sepak dengannya.

la catedral penjara ciptaan pablo

Namun, Pablo telah melebihi had sekali lagi. Mengetahui 2 orang kanannya, Galiano dan Montada menyeleweng wang hasil jualan kokainnya, Pablo mengarahkan mereka untuk berjumpa dengannya di La Catedral. Mereka lalu dibunuh dengan kejam serta dikerat bahagian badan supaya tidak dapat dikesan. Berita ini bagaimanapun sampai ke pihak berkuasa Colombia, yang kemudiannya membuat keputusan untuk menarik balik apa yang Pablo sedang nikmati ketika itu. .

Pada June 1992, Pablo telah berjaya melarikan diri daripada penjaranya apabila pihak berkuasa membuat cubaan untuk memindahkan Pablo ke pusat penahanan biasa. Ketika proses pembinaan La Cathedral, Pablo dengan bijaknya terlebih dahulu membuat persediaan melarikan diri dengan mencipta laluan keluar melalui pintu belakang yang membolehkannya meloloskan diri dengan mudah. Pemburuan yang dilancarkan terhadap Pablo berpanjangan sehingga 16 bulan.

Ketika itu, pasaran kokain yang sebelum ini dimonopoli oleh Medellin Cartel, yang menjadi rapuh ketika Pablo berada di dalam penjara hasil daripada serbuan oleh pihak polis, telah merosot dengan teruknya.

Kematian

Selepas meloloskan diri dan berada dalam persembunyian, satu kumpulan yang diberi nama "Los Pepes" telah ditubuhkan oleh bekas-bekas pekerja Pablo yang berang terhadapnya. Mereka telah melakukan usaha pencarian Pablo dan juga memerangi dan membunuh semua konco-konco Pablo . Pablo akhirnya keseorangan, sehinggalah dia berjaya dijejaki oleh pihak polis.

kumpulan los pepes

"Saya mahukan orang ramai mengingati perkara-perkara baik yang telah dilakukan oleh Pablo, kerana dia tidak melakukan apa-apa kesalahan. Dia telah membina hospital, rumah untuk orang miskin, padang bola, gereja dan juga rumah perlindungan untuk gelandangan. Tiada siapa yang bercakap mengenai perkara baik, semua bercakap tentang perkara tidak baik,"

- Hermilda Gaviria (Ibu Pablo)

2 Disember 1993, sehari selepas ulangtahun kelahirannya yang ke-44, raja kokain dunia, yang telah mengejutkan seluruh dunia dengan kekejamannya, telah ditembak mati dalam insiden tembak-menembak ketika cuba melarikan diri dari tempat persembunyiannya. Namun, sehingga kini kesahihan cerita bagaimana Pablo Escobar mati belum terjawab. Ada yang mengatakan Pablo tertembak dirinya sendiri dan ada juga yang mengatakan dia membunuh diri sendiri. Seorang agen DEA, Steve Murphy, mengaku dia yang menembak Pablo sehingga mati.

pengebumian pablo

Kematian Pablo Escobar telah mempercepatkan proses menghapuskan Medellin Cartel dan peranan Colombia sebagai pusat perdagangan kokain. Kematiannya telah diraikan oleh kerajaan Colombia dan pihak polis serta beberapa bahagian dunia. Namun, ramai juga yang meratapi kematian Pablo. Lebih daripada 25,000 orang hadir ketika majlis pengebumian Pablo.

"Dia telah membina banyak rumah dan mengambil berat tentang orang miskin," kata salah seorang yang hadir di majlis pengebumiannya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)