Puteri Margaret, seorang yang sangat ceria dan lantang bersuara serta adik kepada Ratu Elizabeth II, adalah salah seorang kerabat diraja England yang pertama yang berani melawan apa yang diharapkan darinya.

Sesetengah sumber sehinggakan melabelkan beliau sebagai perintis yang memodenkan kerabat diraja itu sendiri.

Sememangnya, Puteri Margaret telah "memecahkan acuan" yang selama ini tertanam dalam keluarga diraja dalam hampir setiap cara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Beliau tidak mengikuti protokol diraja seperti yang dilakukan oleh kakaknya dan memaksa keluarga diraja Britain menentang tradisi untuk memihak kepada keperluannya sendiri.

Puteri Margaret menjadi individu yang menetapkan bagaimana cara Istana Buckingham patut mengendalikan hubungan dan skandal sehingga hari ini.

Namun di sebalik tingkahlaku yang riang dan seperti tidak kisahkan apa-apa, terpendamnya kemarahan, kesakitan dan kekecewaan dengan kedudukannya sebagai kerabat diraja yang dibayangi kakaknya, yang mana ditabalkan sebagai Ratu pada usia 25 tahun.

Hal ini dikatakan telah menghantui sepanjang hayat Puteri Margaret.

Walaupun Puteri Margaret bergelut dengan tekanan menjadi seorang kerabat diraja, semangatnya yang memberontak membawa keluarga diraja ke era modern, sama ada untuk kebaikan atau keburukan.

Kekecewaan dan ketidaktaatan

puteri elizabeth dan puteri margaret pada tahun 1942

Ketika dilahirkan pada 21 Ogos 1930, Puteri Margaret dianggap sebagai satu kekecewaan yang besar, sesuatu yang mana tidak dapat dikawal olehnya. 

Orang awam dan keluarga diraja Britain berharap untuk menimang pewaris lelaki ke takhta kerana pada masa kelahirannya, tidak ada pewaris lelaki.

Walaupun mengharapkan bayi lelaki, namun orang awam dan keluarga diraja terpaksa menerima Puteri Margaret, yang menjadi puteri kedua dalam keluarga selepas Ratu Elizabeth II.

Ratu Elizabeth II menjadi bakal pewaris pertama manakala Puteri Margaret berada di belakangnya.

Rasa kekecewaan semakin meningkat selepas bapa saudaranya, Raja Edward VIII menyerahkan takhta untuk menikah dengan Wallis Simpson, seorang sosialit Amerika Syarikat yang pernah bercerai sebanyak 2 kali.

Ketika itu, adalah menjadi larangan bagi ahli keluarga diraja untuk berkahwin dengan seorang janda sedangkan bekas suami masih hidup.

Hakikat bahawa Wallis Simpson bukan sahaja mempunyai seorang bekas suami yang masih hidup tetapi 2 orang, menyemarakkan lagi skandal tersebut. 

Hasrat Raja Edward VIII untuk menikahi Wallis Simpson hampir menyebabkan krisis perlembagaan utama di England dan Raja Edward VIII terpaksa melepaskan gelarannya serta semua kelebihan yang diterima, untuk meneruskan perkahwinannya dengan Wallis. 

Berikutan penyingkiran tersebut, Putera George VI, bapa Elizabeth dan Margaret, tanpa disangka-sangka menaiki takhta dan seterusnya, kedua anak perempuannya menjadi puteri, dengan Elizabeth II menjadi pewaris tahta.

Kehidupan di sebalik bayangan Ratu

puteri elizabeth dan puteri margaret pada tahun 1946

Di usia 6 dan 10 tahun, kehidupan Puteri Margaret dan Puteri Elizabeth II telah berubah dengan begitu hebat, selama-lamanya.

Kebanyakan mata orang awam memfokuskan kepada Elizabeth kerana beliau menjadi ahli waris kepada takhta Britain dalam sekelip mata.

Puteri Elizabeth II diajar dan dibentuk untuk menjadi seorang ratu manakala adiknya Puteri Margaret digalakkan untuk memainkan peranan seorang puteri muda yang remeh dan kelihatan seperti tidak bernilai.

Sebelum penyingkiran Raja Edward, Puteri Elizabeth II dan Margaret tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya.

Kedua-dua adik-beradik ini kadang-kala diberikan pelajaran mengenai mata pelajaran asas seperti matematik, membaca, menulis, dan sebagainya, tidak lebih daripada itu. 

Tetapi ini semua berubah terhadap Puteri Elizabeth selepas menjadi pewaris dan beliau mula mendidik dirinya dalam semua mata pelajaran yang diperlukan untuk mempersiapkan diri dalam memegang takhta sebagai Ratu England di masa hadapan.  

Puteri Margaret tidak begitu bernasib baik seperti kakaknya kerana gelarannya tidak seperti melayakkannya untuk mendapatkan pendidikan yang sama.

Pengecualian ini sangat mengganggu Puteri Margaret dan perasaan pengecualian ini kelihatan menghantui sepanjang hayatnya.

Apabila kedua-dua adik beradik ini semakin membesar, perbezaan antara Puteri Elizabeth dan Puteri Margaret dari segi peranan mereka dalam masyarakat semakin bertambah.

Ketegangan antara puteri-puteri ini sampai ke kemuncak setelah Raja George VI tiba-tiba meninggal pada tahun 1952, dan Elizabeth diangkat menjadi Ratu pada 6 Februari 1952 di usia 25 tahun.

Pemberontakan dan percintaan pertama Puteri Margaret

peter townshend dan puteri margaret

Lama sebelum Putera William dan Putera Harry memilih untuk berkahwin dengan orang kebanyakan, atau panggilan satu ketika dulu sebagai "orang biasa", Puteri Margaret adalah yang mencipta sejarah dengan menjadi anak perempuan raja yang pertama yang menikahi orang biasa dalam tempoh 400 tahun.

Puteri Margaret seolah-olah memanfaatkan peranannya sebagai puteri yang kurang dipublikasikan dalam kehidupan romantisnya.

Walaupun Ratu Elizabeth II dijangka akan berkahwin pasangan yang sesuai untuknya mengikut taraf kerajaan, Margaret lebih memilih jalan yang lebih mencabar.

Hubungan pertamanya adalah dengan Kapten Kumpulan Peter Townshend. Kedua-dua mereka bertemu pertama kali ketika Margaret masih seorang remaja selepas Raja Edward VI menemuramah Peter jawatan sebagai pembantu keluarganya.

Semakin membesar, Puteri Margaret menjadi semakin tergila-gilakan Peter  Townshend dan hubungan romantik di antara mereka berputik.

Pada mulanya, keluarga diraja memejamkan mata mereka melihat hubungan ini. Peter Townshend dianggap pasangan yang tidak layak untuk puteri. Dia berusia 16 tahun lebih tua, pernah bercerai dan bapa kepada 2 orang anak.

Tetapi Margaret telah jatuh cinta dan tidak peduli apa yang dikatakan keluarganya atau Gereja England tentang perkara itu.

peter townshend dan puteri margaret 2

Peter Townshend seolah-olah setuju, dia pernah menulis bahawa cinta mereka "tidak mengendahkan kekayaan dan kedudukan dan semua halangan konvensional yang memisahkan kita."

Margaret bertekad untuk berkahwin dengan Peter Townshend. Tetapi Akta Perkahwinan Kerajaan 1772 memerlukan ratu untuk meluluskan perkahwinan Puteri Margaret sebelum ia diteruskan, dan hanya sehingga Margaret mencapai umur 25 tahun.

Margaret menjelaskan kepada kakaknya bahawa dia dan Peter berhasrat untuk berkahwin, tetapi Ratu England tersebut meminta mereka menangguhkannya disebabkan penobatan beliau sebagai ratu yang akan datang dan lawatan selama 6 bulan Komanwel.

kecantikan puteri margaret

Ratu Elizabeth II dilaporkan meminta Princess Margaret menunggu setahun sebelum keputusan mengenai perkara itu dibuat.

Malangnya untuk Istana Buckingham, isyarat kecil dari Puteri Margaret memberi isyarat kepada seluruh dunia tentang hubungan di antara mereka berdua, membuatkan pihak media menjadi gila. 

Di upacara penobatan Elizabeth II sebagai Ratu England pada tahun 1953, Margaret menyapu bahu Peter untuk membersihkan debu, yang menandakan keintiman antara keduanya.

Pihak media dan tabloid mempublikasikan hubungan mereka dan cerita itu menjadi hangat dalam sekelip mata. 

Puteri Margaret Vs Ratu England

puteri margaret dan ratu elizabeth ii ketika lawatan ke afrika selatan

Agak mengejutkan, sebahagian besar daripada orang awam merestui hubungan Puteri Margaret dengan Peter Townshend, yang menimbulkan keretakan antara orang awam dan keluarga diraja serta kerajaan British.

Ratu Elizabeth II terjebak di tengah-tengah keadaan bermasalah ini.

Sebagai ketua Gereja England, Ratu Elizabeth dikehendaki melarang perkahwinan, namun beliau ingin menolong adiknya perempuannya dan membuatnya gembira, jadi Ratu Elizabeth cuba berusaha menyatukan tradisi diraja dan agama. 

Ketegangan antara Puteri Margaret dan Ratu Elizabeth II menjadi titik plot utama dalam musim pertama siri popular Netflix iaitu The Crown.

Ratu, yang dilakonkan oleh Claire Foy, berada dalam situasi sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah dan kesetiannya kepada adiknya. 

Dalam siri ini, selepas berita cinta mereka tersebar, seorang penasihat kepada ratu mencadangkan agar beliau menghantar Peter ke luar negeri untuk meredakan skandal cinta itu.

Perdana Menteri Britain Winston Churchill mengatur agar Peter Townshend untuk dipindahkan ke Belgium di mana dia akan menunggu selama 2 tahun sehingga Margaret berumur 25 tahun, di mana mereka dapat berkahwin tanpa kelulusan ratu.

puteri margaret dan the beatles

Apabila Puteri Margaret berusia 25 tahun pada tahun 1955, dia dan Peter Townshend bersatu semula dan bebas untuk berkahwin.

Namun, tidak semudah itu.

Untuk menenangkan Parlimen dan orang-orang yang menghargai tradisi, Puteri Margaret perlu melepaskan gelaran dan elaun dirajanya dan meninggalkan negara itu untuk sekurang-kurangnya 5 tahun sebagai pertukaran untuk perkahwinan itu.

Pada tahun 2004, Arkib Negara mengeluarkan dokumen yang menunjukkan bagaimana ratu dan perdana menteri pada masa itu, Anthony Eden, bekerja bersama untuk cuba memberikan Margaret apa yang dia mahukan.

Mereka menggubal rancangan di mana Puteri Margaret dapat mengekalkan hak milik dan senarai elaun awam, dibenarkan tinggal di England dan bahkan dibenarkan untuk terus memenuhi tugas diraja jika orang awam meluluskannya, yang mana mungkin berlaku memandangkan sokongan padu oleh rakyat terhadapnya. 

Satu-satunya perkara yang perlu dilepaskan oleh Margaret adalah kedudukannya dan kedudukan masa depan anak-anaknya dalam barisan keturunan diraja.

Akhirnya, Margaret memilih untuk tidak berkahwin dengan Peter Townshend kerana tugas dirajanya dan penghormatannya kepada Gereja England. 

Walaupun Perdana Menteri seolah-olah berada di pihak Margaret, masih ada beberapa anggota Parlimen yang sangat menentang perkahwinan itu.

Apapun yang benar-benar berlaku, Puteri Margaret selama-lamanya menjadi mangsa undang-undang lama monarki British di mata masyarakat England.

Hubungan baru dan perkahwinan Puteri Margaret

puteri margaret dan billy wallace

Selepas perkahwinan ditolak, Peter Townshend kembali ke Brussels untuk memulakan kehidupan baru.

Walaupun keputusan muktamad tersebut dibuat oleh Margaret, namun kesakitan kehilangan orang tercinta memberikan kesan yang mendalam kepadanya.

Menghadapi tekanan sosial untuk mencari suami, Puteri Margaret memutuskan untuk bertunang dengan Billy Wallace, seorang kawan kepada keluarganya yang telah dikenali sejak bertahun-tahun.

Billy juga umumnya dianggap cukup sesuai untuk seorang puteri. Lebih setahun selepas pengumuman Margaret berpisah dengan Peter Townsend, dia dan Billy Wallace bersedia untuk memberitahu berita tentang pertunangan mereka kepada orang awam.

Walau bagaimanapun, Billy sangat yakin bahawa pertunangan itu sudah ditetapkan dan pergi bercuti ke Bahamas di mana dia mempunyai hubungan sulit yang singkat.

Dia memberitahu Princess Margaret mengenai apa yang berlaku, dan Margaret serta merta memutuskan pertunangan itu.

puteri margaret dan antony armstrong jones 2

Reputasinya sebagai kerabat yang liar semakin menjadi-jadi. Dia sering berpesta sehingga pagi, sering minum, merokok, dan semua ini diketahui oleh orang ramai. 

Margaret juga terkenal dengan rutinnya yang mewah.

Pada pertengahan 20-an, puteri itu memulakan hari-harinya dengan sarapan pagi di tempat tidur yang diiringi mandian mewah. Ini kemudian diikuti oleh makan tengahari 4 hidangan.

Semangat yang memberontak itu membawanya ke pangkuan Antony "Tony" Armstrong-Jones, seorang jurugambar selebriti bohemian yang bakal menjadi suaminya yang pertama dan satu-satunya.

Tempat dan bagaimana mereka bertemu tidak diketahui.

Dikatakan bahawa Antony memperlakukan Margaret sama seperti orang lain, walaupun hakikat bahawa Margaret adalah seorang kerabat diraja. Kedua-dua mereka menyimpan rahsia perhubungan sehingga mereka mengumumkan pertunangan mereka.

puteri margaret dan antony armstrong jones

Margaret dilaporkan mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa dia tidak lagi cintakan Peter Townshend dan dia meneruskan kehidupannya.

Pertunangan mereka diumumkan secara rasmi kepada orang ramai pada Februari 1960 berikutan kelahiran anak ketiga Ratu Elizabeth, Putera Andrew.

Pada 6 Mei 1960, Princess Margaret dan Antony Armstrong-Jones menjadi suami dan isteri di Westminster Abbey, dalam perkahwinan diraja pertama dalam sejarah yang ditayangkan di televisyen.

Pernikahan itu dilangsungkan semewah yang boleh dan menelan belanja sekitar RM460,000. 

Keretakan perkahwinan

puteri margaret dan antony armstrong jones 3

Antony Armstrong-Jones menjadi Earl of Snowdon pada tahun 1961 dan pasangan itu berpindah ke apartment di Kensington Palace.

Tidak lama selepas perkahwinan, mereka dikurniakan anak sulung, David, dan anak perempuan Sarah dilahirkan 3 tahun kemudian. 

Mereka menjadi pasangan paling popular di London, dan menghadiri acara masyarakat yang tinggi serta menikmati populariti mereka bersama-sama.

Tetapi perkahwinan mereka dilanda masalah yang agak serius. 

Antony Armstrong-Jones terus terlibat dalam hubungan seksual dengan wanita lain, seperti pelakon Jacqui Chan dan Gina Ward, dan Margaret juga mempunyai masalah sendiri.

Khabar angin tentang hubungan sulit mereka ini tersebar begitu cepat. Margaret dilaporkan dikaitkan secara romantik dengan "godfather" anak perempuannya, Anthony Barton dan selebriti terkenal seperti Mick Jagger serta Peter Sellers.

keluarga puteri margaret

Tetapi apa yang menghancurkan perkahwinan Margaret adalah hubungannya dengan Roddy Llewellyn.

Roddy berusia 17 tahun lebih muda daripada Margaret. Mereka diperkenalkan pada tahun 1973 dan tahun berikutnya, Margaret menjemput Roddy ke rumah percutiannya di pulau tropika peribadi, Mustique.

Pada tahun 1976, sekeping gambar Margaret dan Roddy diterbitkan di halaman depan News of the World dan orang ramai memberikan reaksi yang sangat buruk.

Pada 11 Julai 1978, perceraian Princess Margaret telah dimuktamadkan, mengakhiri satu lagi bab dalam kehidupan dramatiknya. Ia adalah kali pertama seorang kerabat diraja British telah bercerai sejak Raja Henry VIII pada abad ke-16.

Kehidupan di hujung hayat

puteri margaret kelihatan masih merokok di usia tua

Puteri Margaret tidak pernah berkahwin semula dan sepanjang hayatnya diselubungi komplikasi kesihatan yang akhirnya tidak dapat pulih.

Margaret adalah perokok tegar yang bermula pada usia 15 tahun di mana ia dikatakan sebagai pemberontakan awal terhadap permahkotaan dan perhatian yang diambil dari kakaknya.

Tabiat merokoknya itu telah memberikan kesan teruk di mana Margaret terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian daripada paru-paru kirinya. 

Margaret berhenti merokok pada tahun 1991 tetapi dengan tabiat minumnya. Pada tahun 1993, dia mengalami masalah radang paru-paru dan mengalami strok ringan pada tahun 1998.

Puteri Margaret akhirnya meninggal dunia pada 9 Februari 2001, selepas strok menyebabkan dia diserang sakit jantung. 

Warisan yang ditinggalkan oleh Puteri Margaret benar-benar ikonik.

Jika bukan kerana usahanya, dunia tidak akan pernah melihat orang-orang seperti Kate Middleton dan Meghan Markle berkahwin dengan keluarga diraja British.




Hakcipta iluminasi.com (2017)