Setiap kali penulis ke klinik swasta, sudah semakin kerap penulis dikenakan caj yang di luar dugaan.

Jika 4 ke 5 tahun dahulu kos rawatan di klinik biasanya sekitar RM30 ke RM45 lengkap dengan caj konsultasi, kini kadar RM70 ke RM100 sudah jadi norma yang dikenakan. Penulis tidak tahu apa pengalaman anda, tetapi itulah yang penulis lalui.

Kami yakin ramai sebenarnya berdepan masalah kenaikan caj kos rawatan di klinik swasta. Lebih memburukkan situasi, ramai pesakit/pelanggan yang hadir biasanya hanya tahu kos yang akan dikenakan ke atas mereka, pada saat akhir betul-betul sebelum mereka membayar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa situasi sebegini masih dibenarkan berlaku, apabila kita berbicara berkenaan klinik swasta?

Akad jual beli yang tidak sah dalam urusniaga ubat

klinik 1malaysia murah

Satu perkara yang kami yakin ramai pernah lalui dalam mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta, adalah tentang ubat-ubatan yang kadangkala terlalu banyak diberikan kepada pesakit - tanpa pesakit tahu kos yang bakal dikenakan.

Kami beranggapan pesakit sebenarnya berhak tahu kos yang bakal dikenakan kepada mereka, termasuklah kos ubat-ubatan yang bakal mereka beli dari klinik satu per satu.

Namun realitinya majoriti klinik swasta bukan saja tidak menyenaraikan harga ubat-ubatan dalam resit satu per satu, sebaliknya mendesak sahaja secara halus pesakit untuk percaya dan membeli saja ubat tanpa boleh menolak.

Dalam setiap transaksi jual beli khususnya apabila melibatkan urusan berteraskan syariah, pihak pembeli dan penjual seharusnya BERSETUJU dengan kos atau nilai yang akan ditransaksikan bagi mengesahkan akad jual beli.

Tetapi pesakit yang hadir seakan-akan membeli secara buta tuli, tidak tahu berapakah kos setiap jenis atau botol ubat yang ada.

Nak menolak daripada membeli, kami yakin ramai akan rasa malu melakukannya di depan khalayak umum. Ramai yang bayar sajalah - kerana percaya dengan cakap doktor atau mungkin juga melakukannya dalam terpaksa.

Keperluan mewujudkan sistem pengasingan dispensari

kos klinik tinggi

Beberapa tahun dahulu, desas-desus bahawa kerajaan Malaysia mahu mewujudkan apa yang dinamakan sebagai sistem pengasingan dispensari di negara kita, memulakan perbincangan hangat di kalangan orang ramai.

Jika anda terlepas pandang isu ini, pengasingan dispensari merupakan sistem mirip beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat di mana doktor yang bertugas dalam klinik swasta hanya bertanggungjawab untuk menyiapkan medical prescription atau sijil pengesahan ubat di klinik, tanpa mengeluarkan ubat-ubatan itu sendiri.

Pesakit yang hadir kemudiannya akan membawa sijil itu ke mana-mana cawangan farmasi berdaftar pilihan mereka, bagi mendapatkan ubat yang tersenarai dalam sijil tersebut.

Banyak perspektif timbul tentang kekuatan dan kelemahan sistem pengasingan ini.

Antara kelemahan yang diperkatakan adalah berkenaan masalah ramai pesakit yang hadir bertemu doktor, akhirnya tidak ke farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat seterusnya mengakibatkan tahap kesihatan mereka semakin merosot.

Selain itu masalah logistik di mana seseorang pesakit perlu menghadiri dua pusat berbeza yang mungkin terletak di dua lokasi berjauhan, menjadi antara isu kenapa pengasingan dispensari ditolak.

Situasi itu diramal lebih menyusahkan seandainya pesakit yang hadir ke klinik dan farmasi tidak mendapat tahap kesihatan yang lebih baik. Dalam keadaan tersebut, siapakah yang patut dirujuk pesakit terlebih dahulu - doktor yang memeriksa atau jurufarmasi yang menyediakan ubatan?

Pelbagai kajian yang dijalankan bagi meneliti keberkesanan pengasingan dispensari menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih gemar dan yakin sistem sedia ada sekarang, di mana doktor bukan saja bertanggungjawab melakukan pemeriksaan, doktor jugalah memainkan peranan menyediakan ubat-ubatan yang diperlukan pesakit.

Sistem hibrid mungkin adalah jawapannya

polemik harga klinik

Pada tahun 2000, kerajaan Korea Selatan telah memperkenalkan pengasingan dispensari dengan tiga fokus utama;

Mahu mengawal jumlah ubat yang dikeluarkan oleh doktor agar mengikut keperluan, memberikan hak kepada pesakit/pengguna dalam menentukan jenis, kuantiti, tempoh rawatan dan hak ke atas informasi berkaitan ubat-ubatan dan menggalakkan polisi yang melancarkan mekanisme pengedaran ubat di negara itu.

Pengenalan sistem ini walaupun banyak membantu mengasingkan kuasa pemberian ubatan di antara doktor dan farmasi serta mengurangkan pemberian ubat-ubatan tidak perlu oleh doktor, gagal menyelia kos pasaran disebabkan oleh pengaruh monopoli sesetengah farmasi yang memainkan peranan besar mengawal harga.

Tindakan ini mengakibatkan kos ubat-ubatan yang dijangkakan turun, naik melonjak.

Tunjuk perasaan serta tindakan doktor yang tidak bersetuju dengan pengenalan sistem ini seterusnya meningkatkan caj konsultansi klinik - mengakibatkan purata kos rawatan dan ubat-ubatan di Korea Selatan naik sehingga 40% dalam tempoh 15 bulan selepas pengenalan pengasingan dispensari.

Jadi apa yang kita tahu setakat ini - rakyat Malaysia tidak bersetuju pengasingan dispensari dijalankan dan kesan pengenalan sistem ini mengakibatkan kos bukan saja akan naik, bahkan akan berlaku konflik di antara pihak doktor, farmasi dan juga kerajaan. Apa solusinya?

Tolonglah wahai doktor, timbang rasalah sikit!

kos rawatan malaysia meningkat

Seperti yang sudah penulis ceritakan di atas, memang lebih mudah pesakit untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan serentak di klinik. Cuma, ada beberapa kelemahan dalam sistem ini yang perlu kita perbaiki.

Yang pertama, masalah caj ubat-ubatan yang tidak diketahui pesakit. Setiap klinik harus mendapatkan persetujuan pesakit terlebih dahulu sebelum pesakit dibekalkan dengan ubat yang diperlukan.

Tak kiralah sama ada dia benar-benar memerlukan ubat itu atau tidak, sekiranya pesakit merasakan ubat yang ditawarkan terlalu mahal kosnya - berikan pesakit hak untuk menerima atau menolak ubat itu.

Ini bermakna, klinik haruslah menerangkan terlebih dahulu jenis ubat dan harga ubat kepada pesakit, sebelum pelekat nama pesakit ditampal pada pek atau botol ubat.

Kami berpendapat idea yang digunapakai di sesetengah negara di mana sistem hibrid diperkenalkan, juga wajar diamalkan di Malaysia.

Beri pesakit pilihan sama ada mahu mendapatkan bekalan ubat terus dari klinik atau dia boleh mendapatkan sijil pengesahan ubat lalu mendapatkan ubat sendiri di mana dia rasa sesuai.

Jika di kedai makan dan pasar, peniaga perlu mempamerkan harga jualan - kenapa tidak di klinik swasta? Klinik swasta seharusnya mempamerkan harga jualan bagi memastikan tidak ada pesakit koma selepas mendapat tahu kos ubat yang bakal mereka beli.

Resit klinik swasta juga seharusnya sudah mula dibuat berdasarkan sistem terperinci, di mana setiap ubat yang dijual disenaraikan mengikut kuantiti, harga seunit dan harga jualan supaya pesakit lebih jelas apa sebenarnya yang telah mereka beli di klinik swasta.

Kami tidak menafikan kepentingan wujudnya klinik swasta di dalam masyarakat, namun klinik juga adalah ruang niaga komersial.

Seandainya membeli nasi lemak sebungkus pun perlu persetujuan bersama di antara penjual dan pembeli tentang isi kandungan dan harganya, kenapa pula klinik swasta tidak dirasakan perlu menyenaraikan berapa harga produk jualan mereka?

Rujukan

DISPENSARY SEPARATION: PERCEPTIONS OF THE PUBLIC VISITING PRIMARY CARE CLINICS IN MALAYSIA (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)