Oleh pada 03 Feb 2019 kategori

Raja Tutankhamun telah memerintah Mesir pada Dinasti ke-18 selama kira-kira 9 tahun sebelum kematiannya pada 1323 SM iaitu pada penghujung Zaman Gangsa semasa Mesir berada pada kemuncak kekuasaannya.

Populariti dan minat orang ramai untuk mengkaji raja Mesir ini sangat mendalam sejak penemuan makamnya yang dijumpai dalam keadaan hampir sempurna. Selain itu, dia juga merupakan salah satu daripada hanya sebilangan raja Mesir yang dipuja sebagai dewa dengan penemuan binaan kuil sejauh Nubia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Firaun sememangnya diketahui umum biasa membawa bersama harta dan barangan berharga untuk ditanam apabila mati. Jadi, penemuan pisau belati milik Raja Tut yang ditanam bersama mumianya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Namun, asal-usul pisau tersebut telah menjadi antara topik hangat yang menarik minat para ahli arkeologi dari seluruh dunia.

Penemuan makam Tutankhamun

Makam Tutankhamun telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi berbangsa Inggeris iaitu Howard Carter pada tahun 1922 dalam satu ekspedisi yang dilakukan di Lembah Raja-raja, Mesir. Selain mumia Tutankhamun, makam itu menempatkan 5,398 barangan lain termasuklah dua bilah pisau belati yang diletakkan di dalam balutan mumia sendiri.

howard carter mengkaji makam persemadian tutankhamun

Howard Carter dan keranda yang menyimpan mumia Tutankhamun

Pencarian dan ekskavasi di makam firaun berusia 19 tahun itu bermula sejak 1915 dan telah dibiayai oleh George Herbert yang merupakan Earl Carnarvon ke-5. Walaupun makam itu tidak bertutup dan telah dirompak beberapa kali, ia telah dilupakan antara kurun ke-12 dan 11 Sebelum Masihi kerana tertimbus sepenuhnya oleh serpihan batu yang mungkin dibawa oleh banjir atau disebabkan kerja-kerja pembinaan makam baru.

Makam Tutankhamun yang ditemui didapati menyimpan pelbagai objek lain seperti takhta, keranda yang diperbuat daripada emas tulen, topeng muka, mangkuk, trompet, piala, makanan, minuman, kasut dan linen yang dipercayai akan membantu raja tersebut dalam kehidupannya selepas mati.

makam tutankhamun 2

Binaan kawasan makam Raja Tutankhamun

Terdapat juga beberapa objek logam yang dibalut bersama mumia seperti penyandar kepala di dalam topeng, gelang emas beserta tangkal dan juga dua bilah pisau belati berhulu emas. Di bahagian abdomennya merupakan pisau yang keseluruhannya diperbuat daripada emas manakala sebilah lagi yang dijumpai di paha kanannya pula diperbuat daripada besi.

Dalam semua objek yang dijumpai, hampir kesemuanya dibuat dengan hasil pertukangan yang kasar kecuali pisau belati istimewa itu.

antara objek yang ditemui dalam makam tutankhamun

Antara objek-objek lain yang dijumpai dalam makam

Pisau Tutankhamun telah menarik perhatian ramai ahli akademik dan sejarawan sejak penemuannya kerana bilahnya diperbuat daripada besi. Pada Zaman Gangsa, besi adalah sejenis bahan yang sangat jarang dijumpai. Maka, pisau firaun ini telah mencetuskan pelbagai teori bahawa ia berasal daripada meteorit.

Pisau dari angkasa lepas

Bilah besi pisau ini telah dipasangkan ke dalam pemegang yang diperbuat daripada emas dan diukir dengan cantik serta terdapat tombol kristal di bahagian hujungnya. Sarung pisau juga diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan ukiran sejenis serigala dan corak bulu pelepah serta bunga lili. 

Umum mengetahui tamadun Mesir purba sangat kaya dengan sumber mineral asli seperti tembaga, gangsa dan emas yang telah mula digunakan sejak milenium ke-4 Sebelum Masihi lagi untuk tujuan ritual, kesenian, upacara dan pemberian hadiah. Namun, logam besi merupakan sesuatu yang sangat jarang didapati serta dianggap jauh lebih berharga daripada emas. Tambahan pula, hampir kesemua bukti arkeologi menunjukkan aktiviti peleburan logam di Lembah Nil hanya bermula pada kurun ke-6 S.M. Maka, tidak hairanlah kehadiran pisau besi pada mumia Tutankhamun ini menjadi tanda tanya bagi para pengkaji seluruh dunia.

pisau belati raja mesir purba tutankhamun datang dari angkasa lepas

Walaupun kandungan nikel yang tinggi pada pisau tersebut menandakan ia berasal daripada batuan meteor, tidak ada bukti sahih yang dapat menyimpulkan teori berkenaan ketika itu. Tambahan pula, artifak-artifak Mesir agak sukar dianalisis kerana kesukaran mendapatkan kebenaran untuk menjalankan ujian secara lebih dekat.

Kemajuan teknologi sekitar dua dekad yang lalu terutamanya penciptaan spektroskopi pendarfluor X-ray (XRF) yang membolehkan pengesanan sebarang komposisi kimia tanpa merosakkan artifak telah membolehkan para saintis membuktikan bahawa pisau tersebut mengandungi bahan daripada salah satu antara 76 meteorit yang pernah dijumpai.

makam tutankhamun

Kaedah ujian dilakukan

Apabila sesuatu bahan dihentam oleh sinar gama atau X-ray berkuasa tinggi, ia mengeluarkan sinar cirian yang digelar pendarfluor X-ray. Teknik ini digunakan untuk analisis kimia pelbagai objek dalam bidang sains forensik, arkeologi, seni dan geokimia.

Keputusan ujian ke atas pisau Tutankhamun yang diterbitkan pada bulan Jun 2016 dalam jurnal "Meteorites and Planetary Science" menunjukkan hampir kesemuanya adalah logam besi dengan 11% nikel dan 0.6% kobalt. Komposisi bahan tersebut serta nisbah antara nikel dan kobalt itu juga mengesahkan yang pisau itu berasal daripada serpihan tahi bintang.

Besi meteor ialah satu-satunya sumber besi paling tulen dalam aloi yang boleh didapati sebelum Zaman Besi dan merupakan bahagian utama dalam meteorit besi. Meteorit besi ini pula dipercayai merupakan serpihan-serpihan daripada asteroid dan planetesimal yang sudah lama dan jauh lebih besar.

penggunaan mesin xrf dalam menganalisis bahan artifak

Ujian mesin XRF yang boleh dilakukan tanpa sentuhan

Aloi besi meteor yang mengandungi besi bernikel ini terjadi dalam dua fasa iaitu kamasit dan tenit. Meteorit besi adalah sangat jarang berlaku berbanding meteorit batu. Ia mempunyai ciri-ciri spektrum asteroid jenis-M dan merupakan objek yang dipercayai wujud dalam cakera protoplanetari dan serpihan di sekeliling bintang.

Walaupun hanya 5.7% daripada kejadian meteorit yang boleh dilihat itu merupakan meteorit besi, ia membentuk sehingga 90% (500 tan) daripada jumlah jisim kesemua meteorit yang diketahui. Hal ini demikian kerana ketumpatannya yang jauh lebih tinggi berbanding meteorit lain. Selain itu, ia juga lebih cenderung terselamat daripada kemasukan atmosfera dan perubahan cuaca di Bumi.

Penyelidikan berkaitan pisau Tutankhamun ini diterajui oleh para penyelidik dari Polytechnic University of Milan, University of Pisa, Itali dan Muzium Mesir di Kaherah. Mereka membandingkan besi yang terkandung dalam pisau tersebut dengan 11 meteorit yang jatuh dalam radius sejauh 2,012 kilometer. Ujian mendapati kandungan logam pisau tersebut berpadanan dengan meteorit "Kharga" yang ditemui berhampiran Marsa Matruh pada tahun 2000.

meteorit hoba terbesar di namibia

Meteorit "Hoba" di Namibia

Meteorit besi terbesar yang digelar "Hoba" dijumpai pada tahun 1920 di Wilayah Otjozondjupa, Namibia. Beratnya dianggarkan melebihi 60 tan dan ia merupakan besi semula jadi dengan jisim paling berat di dunia.

Rujukan:

1. History

2. Live Science




Hakcipta iluminasi.com (2017)