Oleh pada 09 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Farah Nabilah

Momen 'canggung' antara pasangan pelakon drama Titian Cinta, Farah Nabilah dan Zul Ariffin ketika menyempurnakan tugasan sebagai penyampai trofi di Anugerah Skrin (ASK) 2017 masih menjadi buah mulut netizen sehingga ke hari ini.

Mengulas situasi yang berlaku pada acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu, Farah berkata, dia sendiri tidak pasti mengapa Zul tidak melayan usikannya di pentas.

"Saya sebenarnya mengikut apa yang diatur produksi. Semuanya dirancang awal dan dinyatakan dalam 'cue card'. Cuma, saya tak pasti kenapa Zul memberi reaksi begitu.

"Mungkin Zul malu atau mahu 'control macho', saya tak pasti. Tak apalah, perkara sudah berlalu," katanya menurut laporan portal BH Online.

Ditanya adakah mereka tidak berlatih terlebih dahulu pada sesi raptai, jelas Farah, hanya dirinya sahaja yang menjayakan dua sesi latihan terdahulu.

"Zul tidak hadir kerana dikhabarkan ada komitmen lain," dedahnya.

Farah mengulas momen ketika dia cuba membetulkan kolar baju aktor itu, namun aksinya ditolak Zul.

Malah permintaaan Farah supaya Zul menyanyikan lagu kanak kanak berjudul Baby Shark Doo Doo juga tidak diendahkan.

Susulan itu, wanita ini dilihat ramai seperti 'tergedik-gedik' berbeza dengan Zul yang hanya selamba mengendalikan tugasan.

Dalam pada itu, angkara kejayaan drama rantaian Titian Cinta yang meraih 11 juta tontonan, peminat mula 'mogok' agar pasangan ini benar-benar bersama dalam dunia realiti.

Ada juga cadangan yang mahu mereka lebih rapat di luar lokasi.

Namun, Farah menegaskan dia tidak akan sekali-kali mengambil pusing permintaan tersebut kerana hakikatnya tiada hubungan istimewa antara dirinya dan aktor itu.

"Biasalah, peminat suka menjodohkan pelakon yang mereka suka. Saya tak ambil pusing. Kami tiada hubungan istimewa pun. Apa yang disaksikan dalam drama itu hanya lakonan, kami hanya merealisasikan tuntutan watak," ulasnya.

Titian Cinta merupakan adaptasi daripada novel Ridhya Iman dan ditayangkan sejak 12 September sehingga episod terakhirnya pada 30 Oktober lalu, menerusi slot Akasia TV3.

Dalam drama di bawah arahan Heykal Hanifah dan terbitan Zamriez Golden Pictures ini, Zul memegang peranan sebagai Harris manakala Farah melakonkan watak Aisy.

Sumber berita: BH Online 




Hakcipta iluminasi.com (2017)