Artikel ini ditulis oleh saudari Iza Ahmad di laman Facebook miliknya dan pihak iluminasi.com telah mendapat kebenaran bagi mengulangsiar di blog kami untuk manfaat semua.
Peredaran masa dan zaman sememangnya membawa banyak manfaat dan kebaikan kepada manusia terutamanya dari segi teknologi dan pembangunan. Jika dahulu kita menggunakan telefon bimbit hanya sebagai alat komunikasi, namun kini hampir segala perkara boleh diselesaikan menggunakan telefon pintar.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, perubahan zaman ini juga memberikan impak yang buruk kepada peradaban manusia yang seolah-olah menjadi semakin buruk dan rosak. Perkara ini termasuklah kelakuan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar di universiti, berbanding zaman dahulu.
Ikuti kisah Puan Iza Ahmad yang meluahkan keluhan hatinya sebagai seorang pendidik.
Situasi 1 :
Dahulu : Kita dahulu tak ada whatsapp, dan hanya mesej pensyarah bila perlu sahaja. Ketika pensyarah bercakap di dalam kelas, kita beri perhatian dan cari maklumat di perpustakaan bersungguh-sungguh kerana takut nak mesej pensyarah.
Sekarang : Semua perkara nak ditanyakan oleh pelajar, kuiz bab berapa, pukul berapa, susah atau senang, perlu pakai baju apa, tak ada internet macam mana nak buat. Kadang-kadang tengah malam pun pelajar whatsapp. Namun, sebagai pendidik dan atas dasar tanggungjawab, kami sabar. Esok pensyarah masuk kelas masih mengajar seperti biasa.
Situasi 2 :
Dahulu : Kalau kelas ada atau tidak, kita tetap akan pergi kelas. Walaupun hujan ribut, dan terpaksa naik bus. Dan bila sampai ke kelas, pensyarah cakap kelas batal sebab ada mesyuarat. Kita pun seronok dan pegi sarapan dengan kawan-kawan
Sekarang : Pelajar mengamuk kalau datang ke kelas tapi kelas dibatalkan. "Ape la aku beria datang ke kelas dengan hujan ribu, lain kali bagitahu la awal-awal kelas batal. Menyusahkan betul la!,". Pensyarah dipersalahkan. Tapi esok masuk kelas pensyarah mengajar macam biasa, kerana tanggungjawab. Perlu bersabar.
Situasi 3:
Dahulu : Apabila pensyarah tegur, kita akan sedih dan hanya berdiam. Kemudian pergi jumpa pensyarah dengan segan dan minta maaf kerana buat salah. Takut ilmu tak berkat dan gagal peperiksaan
Sekarang : Seorang pensyarah tegur 30 orang pelajar, kesemua pelajar bengang dengan pensyarah. Apabila terserempak dengan pensyarah buat-buat tak tahu konon nak balas "sentap" terhadap pensyarah. Walaupun pensyarah terasa hati dengan beratus jenis perangai pelajar dalam kelas setiap hari masih masuk kelas keesokan harinya seperti biasa untuk berkongsi ilmu. Tanggungjawab kan. Sabar saja.
Situasi 4:
Dahulu : Kalau terasa hati dengan pensyarah kita akan luahkan sesama kawan sahaja, tapi masih datang kelas kerana tanggungjawab dan masih boleh bercakap dengan pensyarah agar pensyarah tak terasa hati.
Sekarang : Ketika pensyarah tengah bercakap di depan pelajar sibuk muatnaik status di Facebook, Twitter dan Whatsapp nak beritahu satu dunia bahawa pelajar tak puas hati dengan pensyarah. "Pensyarah bajet bagus, macam dia je betul", "Ada aku kisah?". Bila pensyarah baca status tu dia akan tahu, takpun pensyarah lain akan beritahu. Walaupun sedih tapi masih doakan yang baik-baik untuk pelajar kerana doa pendidik sentiasa untuk pelajar.
Nak ikutkan hati, hari-hari nak merungut disebabkan perangai setiap pelajar di Facebook tapi fikir-fikir balik tak baik kerana akan memalukan pelajar sendiri. Jika pensyarah tak mampu menegur, biarlah masa dan pengalaman sendiri yang akan mengajar pelajar-pelajar ini. Dan esok, pensyarah akan masuk ke kelas seperti biasa, untuk menjalankan tanggungjawab menabur bakti kepada pelajar.