Daun bayam diketahui secara umum mempunyai banyak khasiat dan kebaikan terhadap tubuh manusia. Di antara khasiat dan manfaat daun bayam ialah mempunyai anti oksidan yang tinggi, menjaga tulang dari berlakunya osteoporosis dan dapat menurunkan berat badan (diet).
Sayur bayam sedap jika dimasak secara sup atau goreng. Ia juga salah satu dari sayuran yang dapat menjadi kulit wajah kelihatan semakin cantik dan awet muda. Bahkan, dalam rancangan siri kartun popeye juga memperlihatkan watak itu terus menjadi kuat setelah memakan sayur bayam.
BESARKAN TEKS A- A+
Itu menunjukkan bahawa bertapa pentingnya memakan sayur bayam sehingga ia dijadikan makanan kekuatan untuk menarik minat kanak-kanak terhadap sayuran.
Satu pasukan saintis telah berjaya mengubah daun bayam menjadi salah satu tisu jantung manusia pada awal tahun 2017. Penyelidik dari Institut Politeknik Worcester Massachusetts (WPI) telah berjaya menghasilkan kajian yang menjadi satu penemuan baru dalam bidang kejuruteraan bio perubatan.
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah berdasarkan permintaan tinggi ke atas organ tersebut. Perkara itu menyebabkan langkah lain perlu dilakukan oleh para saintis untuk mengatasi masalah kekurangan yang berlaku.
Walaupun kejuruteraan tisu semakin maju, namun terdapat beberapa faktor kekurangan terhadap beberapa isu. Kajian oleh pihak WPI menyatakan bahawa otot jantung mempunyai struktur yang sangat tebal.
Teknologi sedia ada tidak dapat membina sel tisu yang cukup padat untuk menggantikan jantung manusia yang sudah rosak. Saluran darah pada sel jantung manusia amat rumit untuk dilakukan kerana saluran itu amat penting untuk membawa oksigen.
Menerusi kajian yang telah dijalankan, para penyelidik memberi fokus terhadap struktur vena vaskular daun bayam yang mempunyai mirip seakan struktur jantung manusia. Daun bayam yang hijau dititiskan dengan larutan natrium klorit. Cecair natrium klorit ini bertindak untuk melunturkan warna yang terdapat pada daun bayam.
Perubahan pada struktur daun dapat dilihat dari hari ke hari sehingga warna daun itu menjadi lutsinar atau jernih. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya selama seminggu untuk menjadi jernih. Hanya rangka daun dapat dilihat daripada selulosa yang tertinggal pada akhir eksperimen.
Selulosa merupakan satu rangkaian unit glukosa yang ada pada dinding sel tumbuhan. Ia merupakan satu sampel yang terbaik kerana ia sesuai dengan tisu hidup serta mudah diperolehi dari tumbuh-tumbuhan.
Setelah daun ini menjadi jernih, para penyelidik akan menyuntik daun bayam jernih itu dengan cecair yang kelihatan seperti sel darah merah. Tujuan daun bayam itu disuntik adalah untuk membuktikan kemampuan urat-urat bayam mengangkut cecair darah merah.
Ujian yang dilakukan itu menunjukkan keputusan yang positif. Ia merupakan salah satu tisu yang mampu mengalirkan darah kerana ia mirip seperti saluran darah yang terdapat pada jantung manusia.
Para penyelidik membayangkan bahawa bahan ini dapat berfungsi dengan baik sebelum ia digantikan dengan tisu jantung manusia yang rosak pada masa akan datang. Masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan untuk melengkapkan kajian mengenai daun bayam sebagai pengganti sel tisu jantung manusia.
Rujukan :