Rasanya bagi anda yang mengikuti Iluminasi sejak dahulu pasti anda sedar, mana-mana artikel yang kami siarkan berkaitan dengan teori bumi rata dan komuniti yang berpegang kepadanya - akan mendapat reaksi hangat daripada semua

Walau bagaimanapun, satu soalan yang belum kami jawab setakat ini adalah berkenaan asal-usul kepercayaan bumi rata. Sama ada anda pro atau menentang, pasti pernah anda tertanya; siapakah pengasas teori ini?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu mengenali tentang seorang lelaki Inggeris bernama Samuel Birley Rowbotham, penulis dan pencipta yang aktif sehingga penghujung abad ke 19. Siapa Samual ini tanya anda?

Dialah 'bapa teori bumi rata.'

Mendekati 'Bapa Teori Bumi Rata'

samuel rowbotham flat earth bumi rata 939

Sam lahir pada tahun 1816 di Britain, seorang individu kreatif yang gemar berfikir. Sam lahir semasa berlangsungnya revolusi saintifik di kalangan ahli masyarakat barat, ekoran kemunculan pandangan dan persoalan berkaitan sains yang mula mencabar isi kandungan Bible sendiri - mempengaruhi Sam untuk mengubah pemahamannya terhadap Bible.

Apa yang kita tahu tentang Sam, dia adalah salah seorang individu yang menterjemahkan Bible secara literal - maksudnya Sam tidak akan mengambil kira sebarang bentuk terjemahan yang membawa makna berbeza dalam kitab Bible. Sebaliknya dia akan mengambil secara terus (literalis) semua yang terkandung tanpa mahu mengambil kira aspek lain.

Semasa era Sam hidup, wujud beberapa usaha besar masyarakat barat dalam mentafsir semula Bible dengan lebih tepat, hasil gesaan individu skeptik seperti John William Draper dan Andrew Dickson White yang gemar menyebarkan propaganda bahawa agama - khasnya ajaran kepercayaan Kristian, hanya menyekat tamadun manusia daripada menjadi lebih maju.

Teori bumi rata dalam Bible

idea asal kitab bible

Salah satu fahaman yang kerap kali dibahaskan ketika itu, adalah berkenaan tafsiran bentuk bumi yang disebut di dalam Bible. Di dalam kitab Bible wujud beberapa ayat yang dilihat seakan 'menidakkan' bentuk bumi sebagai bulat, sebaliknya sama seperti sebuah hamparan yang mempunyai penjuru. Antaranya dalam Isaiah 11:12 dan 40:22, Psalm 75:3 dan Revelation 7:1.

Agama khasnya agama Kristian di kalangan masyarakat barat, dilihat sebagai sesuatu yang mengehadkan kebolehan berfikir seseorang - menjadi doktrin dan dogma yang diikuti membabi buta. Berikutan perdebatan antara tokoh sains dan tokoh agama yang berlaku, Sam sendiri mula melihat semula pendiriannya

Dia meyakini bahawa apa yang tertulis dalam Bible tidak boleh diterjemah sesuka hati dan semua manusia perlu mengambil makna yang terkandung secara terus dan terang berdasarkan kepada ayat yang direkodkan.

Mula 'mengajar' tentang teori baru

bedford experiment

Rajin menelaah serta memperdebatkan sesuatu, Sam mula menyebarkan dakyah berkenaan pandangan beliau bahawa bumi ini sebenarnya rata bukan berbentuk bulat, dengan kutub utara menjadi titik tengah bumi sfera itu. Selain menggunakan hujah-hujah agama yang dikutipnya secara literal, Sam juga menggunakan kaedah mirip sains bagi membuktikan hujahnya.

Pada tahun 1838 dalam sebuah eksperimen yang kini dikenali sebagai 'Eksperimen Kerataan Bedford' (Bedford Level Experiment), Sam mencipta satu kaedah bagi menentukan bentuk permukaan bumi yang sebenar. Sebuah terusan sepanjang 15 km yang terletak di sebuah kampung bernama Welney, Bedford dijadikan lokasi kajian Sam berikutan bentuknya yang panjang dan lurus serta tidak terganggu dengan apa-apa halangan.

Sam menuliskan hipotesis; sekiranya bumi ini bulat dan mempunyai lengkungan, pasti akan wujud sekurang-kurangnya sedikit lengkungan pada permukaan air yang semakin bertambah saiz lengkungannya bergantung dengan jarak penglihatan. Dengan menggunakan peralatan teleskop, Sam mengukur jarak penglihatan beliau dengan bot atau perahu yang terletak lebih kurang 9.7 km daripada lokasi beliau.

Berikutan tiada perubahan langsung pada tahap dan jarak penglihatan di antara beliau dengan bot yang lalu berdasarkan kepada perkiraan yang dilakukan, Sam membuat kesimpulan bahawa tidak wujud sebarang lengkungan pada permukaan air dalam jarak tersebut - kerana dia masih mampu melihat keseluruhan badan bot dari tempat dia berada.

Pada pandangan beliau seandainya benar bumi ini melengkung - sudah pastilah permukaan air yang akan menutup penglihatan beliau seterusnya menghalang dia melihat keseluruhan bot tersebut.

bedford level experiment 01 960x640

Eksperimen itu diulangi beberapa kali dan Sam mendapat hasil yang serupa, menandakan bahawa permukaan air itu rata - seterusnya menidakkan sebarang pandangan bahawa permukaan bumi ini melengkung. Kesimpulan yang beliau perolehi diterbitkan dalam buku karangan beliau, Zetetic Astronomy : The Earth Is Not A Globe yang mengkompilasikan semua pandangan dan bukti menyokong hujah beliau. Namun, hasil dapatan Sam ini tidak mendapat perhatian ramai.

Sebelum seorang saintis bernama John Hampden mula menjadi peminat nombor satu hasil kerja Samuel Rowbotham.

John Hampden - pengikut teori Flat Eearth paling tegar

hampden and wallace

Tidak diketahui bagaimana buku tulisan Sam boleh sampai pada tangan John Hampden (gambar atas, kiri), seorang saintis terkenal di Royal Academy, London. Takjub dengan idea di sebalik ujikaji Bedford ciptaan Sam, John mencuba sendiri ujikaji serupa beberapa kali dan menemui kesimpulan sama. Ini menyebabkan John - seorang saintis disegani pada era tersebut mula menyebarkan idea bahawa pemahaman masyarakat Eropah ketika itu tentang bentuk bumi tidak benar dan kandungan Bible perlu dikaji semula.

John mula menyebarkan risalah kepada orang ramai berkenaan idea tersebut dan statusnya sebagai seorang anak hartawan, membolehkan dia bertaruh dengan mana-mana individu yang mahu mencabar pendapat beliau. Tidak sanggup melihat kebodohan disebarkan, Alfred Russel Wallace (gambar atas, kanan), salah seorang pengkaji terkenal yang sangat berpengaruh dalam teori perubahan evolusi dan peradaban manusia menyahut cabaran John.

Cabaran John untuk bertaruh £500 bagi membuktikan pandangan dia salah diterima Alfred, namun Alfred tidak mengetahui tentang satu perkara - ketaksuban John sudah menghantui logik akalnya. Kedua-duanya kembali ke Bedford, lokasi sama di mana Sam melakukan kajian dan mengulang kembali ujikaji serupa.

Alfred mencipta sejenis ujikaji yang jauh lebih kompleks berbanding apa yang dilakukan Sam dan John, berjaya membetulkan perkiraan mereka sebelum itu yang tidak mengambil kira pelbagai faktor luaran seperti biasan yang wujud serta ralat yang akan timbul akibat perubahan ketinggian permukaan air. Hasilnya, perkiraan yang dilakukan oleh Alfred sebenarnya menunjukkan wujudnya lengkungan dalam jarak yang mereka tetapkan.

alfred wallace sanggah teori flat earth

Perkiraan itu disahkan sendiri benar oleh saksi yang ada namun John tidak berpuas hati. Bagi membuktikan bagaimana biasan dan ralat yang timbul, Alfred sekali lagi mengubah suai peralatannya dan mengulangi ujikaji serupa dengan beberapa penambahbaikan bagi membuktikan ketepatan kiraannya.

John masih tidak menerima hasil keputusan ujian Alfred namun tidak mampu menidakkannya dengan bukti. Akhirnya dia memilih untuk menafikan keputusan yang diperolehi Alfred, sebaliknya terus percaya dengan ujikaji sendiri. Ini semua berlaku walaupun saksi dan hakim yang ada mengisytiharkan bahawa perkiraan Alfred benar; wujud lengkungan pada permukaan air disebabkan oleh perubahan bentuk bumi.

John tegas menolaknya - namun tetap membayar jumlah wang yang dijanjikan kepada Alfred kerana diisytiharkan tewas pertaruhan.

Malangnya John tidak pernah puas hati. Dia mula melemparkan kata-kata buruk kepada Alfred, bertindak menyaman Alfred kerana mengambil duit miliknya malahan menghantar surat ugutan kepada isteri Alfred bagi mencemarkan nama baik Alfred.

Berikutan pelbagai tindakan buruk serta dianggap mengancam keselamatan Alfred dan keluarganya, kes itu dibawa ke mahkamah menyebabkan John dipenjarakan.

Selepas kematian Sam pada tahun 1884, perjuangan bumi rata diteruskan oleh beberapa individu yang berpandangan serupa - dengan penubuhan Universal Zetetic Society yang aktif menerbitkan majalah dan risalah membawa ideologi bumi ini rata. Sebuah gereja bernama Christian Catholic Apostolic Church mula menyebarkan idea asal ciptaan Sam sebelum beberapa karya tulisan individu lain yang diinspirasikan oleh Sam - menjadi asas kepada komuniti yang kini kita gelarkan sebagai 'Komuniti Bumi Rata.'

Rujukan

Flat Earth Society

Bedford Level Experiment

Zetetic Astronomy 'Earth is Not a Globe' (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)