Oleh pada 05 Oct 2018 kategori

Kebanyakan orang pernah mendengar tentang kisah Anastasia, iaitu anak perempuan kepada Raja atau Tsar Nicholas II dan Maharani Alexandra Feodorovna, dinasti keluarga diraja Rusia yang terakhir. Menurut satu khabar angin, Anastasia telah terselamat ketika seluruh ahli keluarganya dibunuh pada Julai 1918.

Walaupun akhirnya khabar angin itu dibuktikan tidak benar, namun kisah Anastasia dan tragedi yang menimpa keluarga diraja Rusia itu telah mendapat perhatian yang meluas sehingga satu filem animasi bertajuk "Anastasia" telah diterbitkan pada tahun 1997.

BESARKAN TEKS     A-  A+

watak kartun rasputin

Walaupun filem animasi itu tidak menceritakan sejarah dengan tepat, salah satu watak jahat yang memiliki kuasa mistik iaitu Rasputin, sememangnya wujud. Kisah Rasputin yang digelar sebagai "Pendeta Gila" dan "Lelaki paling susah untuk mati" ini adalah sama menarik seperti kisah keluarga diraja itu sendiri.

Kehidupan awal Rasputin

Grigori Yefimovich Rasputin dilahirkan pada 22 Januari 1869 di kampung Pokrovskoye di Siberia. Sejak kecil lagi, penduduk kampung perasan sesuatu yang berbeza mengenai kanak-kanak ini. Ramai yang mendakwa bahawa Rasputin mempunyai kuasa ghaib dan mistik serta dapat menyembuhkan orang sakit.

Suatu hari, Rasputin bersama abangnya, Dmitri, telah terjatuh ke dalam air sungai Tura yang sejuk. Dmitri telah meninggal dunia akibat radang paru-paru tetapi Rasputin berjaya sembuh. Semasa sedang sakit, Rasputin memberitahu ibunya bahawa seorang wanita berpakaian biru dan putih datang dalam mimpinya dan memberitahunya agar segera sembuh.

Seorang paderi di kampungnya memberitahu bahawa Rasputin telah didatangi Virgin Mary dalam mimpinya. Berita mengenai itu tersebar dengan pantas dan dia menjadi terkenal dalam sekelip mata.

gambar berwarna rasputin duduk 177

Semasa usia remajanya, Rasputin telah pergi belajar di Biara Verkhoture di Rusia dengan harapan dia akan menjadi seorang pendeta. Namun, hal yang sebenarnya adalah dia melarikan diri kerana takut dihukum setelah mencuri kuda. Dia tidak sempat menghabiskan pembelajarannya sebaliknya dia berkahwin pada usia 19 tahun dengan seorang wanita bernama Praskovia Fyodorovna dan mereka mempunyai tiga orang anak bersama.

Selepas itu, dia berpindah ke Saint Petersburg pada tahun 1906. Setelah tinggal selama dua tahun di sana, Rasputin diperkenalkan kepada pasangan diraja Tsar Nicholas II dan isterinya yang terdesak untuk mencari penawar kepada anak mereka dan juga pewaris takhta raja Rusia.

Penyembuh putera raja

tsar nicholas ii dan keluarga

Kini ahli sejarah sudah mengetahui bahawa Alexei sebenarnya adalah seorang yang menghidap hemofilia, sejenis penyakit yang diwariskan oleh ibu kepada anak, menyebabkan gangguan pendarahan sepanjang hayat yang menghalang darah daripada membeku secara normal disebabkan kurang faktor pembekuan.

Masalah kesihatan pewaris takhta itu telah membuatkan perlembagaan diraja Rusia menjadi lemah. Namun, Rasputin berjaya "menyembuhkan" Alexei dan memperolehi kepercayaan Tsar disebabkan hal itu. Ada yang mendakwa bahawa Rasputin telah menghipnosis Alexei dan ada juga yang mengatakan ia menggunakan ilmu hitam. Sebahagian lagi meragui sama ada "pendeta gila" itu sememangnya mempunyai kuasa atau tidak.

Selama lebih lima tahun lamanya, Rasputin menjadi pengaruh besar terhadap rawatan Alexei. Namun, kehadirannya di istana dan cara dia meluangkan masa dengan Maharani Alexandra telah menimbulkan kritikan keras terhadap kradibiliti keluarga diraja itu.

Kebencian terhadap Rasputin

rasputin bersama pengikutnya

Tingkah laku Rasputin yang kasar lagi tidak senonoh dan dakwaan bahawa dirinya adalah penasihat kepada Tsarina Alexandria menjadi punca pertelingkahan antara keluarga diraja dan ahli majlis konstitusi Rusia yang lain.

Tambahan pula, Rasputin telah menubuhkan satu ajaran sesat yang menarik ramai ahli. Rasputin telah melakukan pelbagai ritual pelik seperti seks bebas dan seks luar tabii dengan alasan dia adalah utusan tuhan yang boleh menghapuskan dosa.

Maharani Alexandria pula sering mempertahankan Rasputin dari ramai penasihat dan pegawai kerajaan yang ingin mengalihkan pendeta itu keluar dari istana dengan alasan bahawa Rasputin adalah satu-satunya orang yang boleh menyelamatkan nyawa anaknya. Oleh disebabkan itu, ramai penasihat telah dipecat.

Situasi itu bertambah buruk ketika Rasputin meramalkan tragedi yang akan menimpa Rusia dalam Perang Dunia Pertama. Hal ini telah menyebabkan Tsar Nicholas II telah menuju ke medan perperangan bagi mengetuai pasukan tentera dan meninggalkan Tsarina Alexandra untuk bertanggungjawab mentadbir Rusia dalam urusan dalaman.

Rasputin dilihat telah menjadi penasihat penting bagi Maharani Alexandra dalam banyak perkara. Ahli penasihat dan pegawai lain menggelarkan Rasputin sebagai ahli sihir dan dikatakan menggunakan ilmu hitam untuk mempengaruhi minda Alexandra. Ini kerana pada hakikatnya, Rasputin sememangnya mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai politik.

Percubaan membunuh Rasputin

felix yusupov

Dikhabarkan, percubaan pertama untuk membunuh Rasputin terjadi pada tahun 1914 oleh seorang pelacur bernama Khioniya Guseva. Wanita itu telah menikam perut Rasputin menggunakan pisau. Para saksi mendakwa, selepas menikamnya, Guseva telah berteriak bahawa dia telah membunuh antichrist. Walaupun Rasputin terselamat dari serangan itu tetapi sikapnya berubah sama sekali selepas itu.

Pada tahun 1916, kebencian orang ramai terhadap Rasputin telah berada di tahap kemuncak. Satu komplot untuk membunuhnya telah dirancang oleh Grand Duke Dmitri Paclovich, ahli politik Vladimir Purishkevich dan juga Putera Yusupov iaitu suami kepada Irina, anak saudara Tsar Nicholas II. Yusupov yang menjadi dalang rancangan ini ingin mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi diraja Rusia.

Pada malam 16 Disember tahun itu, Rasputin telah dijemput oleh Yusupov ke Istana Moika dengan mengutus surat bahawa Irina, yang dikatakan wanita paling cantik di St. Petersburg ingin berkenalan dengannya. Ketiga-tiga lelaki terbabit cuba meracunnya dengan meletakkan sianida di dalam makanan dan minumannya.

Namun, racun sianida yang mampu membunuh lima orang lelaki dewasa itu tidak memberi kesan kepada Rasputin, ada yang berpendapat disebabkan terlalu banyak alkohol yang diambilnya. Berang dengan situasi itu, Yusupov telah mengeluarkan pistolnya dan menembak Rasputin dari belakang. Akan tetapi, Rasputin tidak juga mati dan berjaya merangkak keluar ke taman istana sebelum ditembak lagi dan dipukul menggunakan kayu oleh Paclovich dan Purishkevich.

mayat rasputin

Setelah itu, mereka mengikat dan membalut mayat Rasputin sebelum dihumban ke dalam Sungai Neva. Mayat Rasputin dijumpai 3 hari kemudian dan apabila dibedah siasat, doktor telah menemui air di dalam paru-parunya. Ini menunjukkan dia masih lagi hidup sebelum dibuang ke dalam sungai itu.

Tsar Nicholas telah mengarahkan agar pembunuh Rasputin dibuang negeri. Ironiknya, mereka sebenarnya terselamat kerana Revolusi Bolshevik selepas itu telah menangkap, memenjara dan membunuh hampir semua keturunan diraja Rusia.

Ramalan jadi kenyataan

grigori rasputin

10 minggu setelah kematian Rasputin, Revolusi Rusia yang berlaku pada tahun 1917 telah menggulingkan dinasti Romanov yang terakhir. Tidak sampai dua tahun selepas itu, Tsar Nicholas II, 4 anaknya dan seorang doktor keluarga diraja telah ditembak mati di Siberia oleh sekumpulan orang berfikiran komunis. Arahan bunuh telah dikeluarkan oleh Vladimir Lenin.

Apa yang menjadi perhatian orang ramai adalah ramalan Rasputin tidak lama sebelum dia mati dibunuh. Dia telah memberitahu Tsar bahawa:

"Aku dapat rasakan bahawa aku akan meninggalkan dunia ini sebelum tahun baru. Jika aku mati dibunuh oleh rakyat biasa, maka kamu dan anak-anakmu akan memerintah Rusia selama berabad-abad yang akan datang. Namun, sekiranya aku dibunuh oleh golongan kamu sendiri (keturunan raja), maka kamu dan keluargamu akan dibunuh oleh rakyat Rusia."

Oleh disebabkan ramalan ini, sebahagian orang benar-benar percaya bahawa Rasputin adalah utusan tuhan dan mempunyai kuasa mistik kerana tidak sampai dua tahun setelah itu, ramalannya itu menjadi benar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)