Oleh pada 16 Feb 2018 kategori

Sumber foto: agendadaily.com

Seorang peminat cilik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Addi Asyraaf Mohamad Misbahuddin (8 tahun) meninggal dunia disebabkan penyakit Alagille Syndrome atau kelainan hati di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching malam kelmarin.

Ibu kanak-kanak tersebut, Zurina Jamil (39 tahun) memberitahu, Addi Asyraaf yang menanggung penderitaan tersebut sejak umurnya sebulan lagi menemui ajal sekitar jam 9.15 malam di samping ahli keluarganya.

"Arwah memang menyanjungi PM dan selalu memujinya sehingga dia menjadikan pemimpin negara itu sebagai idolanya.

"Alhamdulillah, hajatnya untuk berjumpa PM ketika usianya masih empat tahun sudah pun tertunai pada 24 April 2016 ketika PM bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkunjung ke rumah semasa kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 lalu," ujarnya semasa ditemui di kediamannya di Kampung Bintawa Tengah semalam.

Dia berkata, setelah berpeluang bertemu dengan Perdana Menteri, arwah nampak sihat dan tidak dimasukkan wad selama jangka masa setahun lebih sehingga dia mula memperlihatkan tanda-tanda sakit akhir tahun lepas.

Jelasnya, setelah kehilangannya, mereka sekeluarga semestinya berasa rindu akan kata-kata pujiannya terhadap Perdana Menteri yang digambarkan sebagai amat baik. Bahkan, arwah memanggil Najib sebagai nenek besar.

Nenek dalam dialek Melayu Sarawak bermakna datuk manakala "nenek besar" yang diertikan arwah merujuk kepada gelaran Perdana Menteri.

"Walau apa pun, kami sebagai ibu bapa reda dengan pemergiannya dan menerima ketentuan ini dengan hati terbuka kerana Allah lebih menyayanginya," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panglima Seman sekitar jam 11 pagi semalam.

Sumber berita: Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)