Oleh pada 28 Sep 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Man Bai

    

Vokalis kumpulan Gersang, Man Bai tampil membuat penafian berhubung dakwaan kononnya pemain dram mereka, Jojet sudah tidak waras.

Man Bai bagaimanapun mengakui rakannya itu adakala bersikap pelik, tetapi hakikatnya masih lagi sihat.

“Jojet okey, cuma dia tiada gigi buat mukanya nampak kecut. Cara pemakaiannya juga santai kerana dia biasanya suka mengenakan jubah.

“Dia juga lebih banyak menghabiskan masa di rumah menjaga bapanya di Kuang, Selangor.

“Saya pernah ke rumah mereka dan masuk bilik Jojet. Keadaannya bersih terjaga rapi,” katanya kepada Harian Metro.

Man Bai berkata, sikap Jojet yang gemar bercakap seorang diri barangkali membuatkan orang sekeliling tersalah anggap.

    

jojet drummer

Kredit foto: Instagram Man Bai

   

“Kadangkala saya sendiri hairan apabila ambil dia untuk sesi latihan, dia akan berbual seorang diri.

“Malah saya tanya dia, apa kau berbual ini Jojet? Sebenarnya dia tiada kawan. Apabila jumpa kami semua, dia main dram.

“Kami hairan juga dengan sikapnya. Apabila balik rumah, saya tanya Kid kenapa dengan Jojet, jawab Kid, Jojet sebenarnya mengada-ngada nak bermanja dengan kami. Dari situ saya faham dia sangat teruja apabila dapat berjumpa kami semula,” katanya.

Mengulas lanjut tentang kehidupan rakannya itu, penyanyi Kau Ilhamku itu berkata, Jojet seorang anak yang baik kerana menjaga bapanya yang berusia 90 tahun.

Sementara abangnya pula tinggal bersebelahan dengan rumah mereka.

“Jojet juga memasak untuk bapanya, bawa ke hospital dan sebagainya. Dia okey dan boleh diharap.

“Kalau tak normal, dia pasti tak boleh main dram. Kami bagi dia klip dram untuk dengar tempo lagu seperti lagu B29,” katanya.

Menurut Man Bai, sumber kewangan Jojet antaranya termasuk daripada bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, sementara bapanya memperoleh Bantuan Sara Hidup.

“Dia pandai berbelanja wang secara berhemah. Ada juga rakan sekolahnya yang kumpul wang untuk beri sumbangan buatnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Man Bai mendedahkan telah mengumpulkan kembali anggota Gersang untuk terbabit dalam rakaman program Konsert Minggu Ini yang bakal berlangsung pada 29 Oktober ini.

“Saya, Kid (gitar), Man Greng (bass), Datuk Acis (keyboard) dan Jojet kembali bersatu untuk menghiburkan peminat.

“Harapnya peminat yang dulu hadir beramai-ramai memberikan sokongan terhadap kami.

“Anggota Gersang sebenarnya masih aktif terbabit dalam muzik. Apabila RTM hubungi, saya beritahu yang lain dan ternyata mereka berminat,” katanya mengulas perkembangan kumpulan yang berusia 30 tahun itu.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan produk terkini, Man Bai berkata, kumpulan yang meletup dengan lagu Masih Aku Terasa itu bakal merakamkan album baharu khas buat peminat.

“Saya dah berjumpa dengan Datuk M Nasir dan minta dia terbitkan album Gersang. Dia seakan berminat dan kami akan adakan perbincangan lanjut nanti.

“Mana tahu rezeki, sentuhan M Nasir kena dengan nada suara saya dan menjadi. Sebelum ini Gersang hanya pernah bekerja dengan arwah Rahim Othman,” katanya yang menjangkakan penerbitan album tersebut pada tahun hadapan.

   

Sumber berita: Jojet Masih Siuman - Man Bai

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)