Kredit foto: Instagram Erra Fazira & Instagram Awie
Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira mendedahkan kemunculan awalnya dalam bidang lakonan adalah berikutan pelawaan daripada bekas kekasihnya yang juga vokalis kumpulan Wings, Awie.
Erra, 45, berkata, dia pada asalnya lebih meminati bidang seni suara, sebelum 'terjebak' ke dunia lakonan apabila bakatnya diyakini penyanyi rock itu walaupun tidak berbekalkan sebarang pengalaman.
“Saya sebenarnya tidak meminati bidang lakonan tetapi lebih kepada nyanyian sewaktu zaman persekolahan. Namun kemunculan dalam bidang lakonan adalah kerana pelawaan daripada Awie sendiri.
"Pada waktu itu saya ditawarkan dua buah filem iaitu Sembilu dan Putera (lakonan Vanida Imran dan Joe Wings). Tapi Awie yang tarik saya ke Sembilu dan meyakinkan yang saya boleh dibimbing walaupun tanpa bekalan pengalaman dan bakat," katanya.
Erra membuat kenyataan sewaktu temubual 'Begitu Begini DJ Nazz' di saluran Youtube Gegar.
Menyentuh sesi ujibakat pertama dihadirinya, primadona itu mengimbau perasaan gugup yang dihadapi hingga nyaris diketepikan sutradara Datuk Yusof Haslam.
"Ketika menghadiri ujibakat lakonan dengan Datuk Yusof Haslam, saya menggeletar membaca skrip yang diberi. Awalnya Yusof enggan mengambil saya kerana saya kelihatan begitu panik sekali.
"Namun Awie yang meyakinkan Yusof bahawa saya boleh dibimbing. Saya memasuki bidang lakonan kerana dua insan ini iaitu Awie dan Yusof," katanya.
Erra memberitahu, perkenalannya dengan Awie sebenarnya terlebih awal bermula sebelum mereka membintangi filem Sembilu lagi.
Kredit foto: Instagram Erra Fazira
“Sebenarnya saya mengenali Awie sebelum filem Sembilu lagi. Pada ketika itu, saya rasa Awie mengenali saya kerana saya memenangi sebuah pertandingan ratu cantik.
"Jadi dia kenal di situ dan kamipun terjumpalah di suatu tempat, maka dia yang mula approach saya. Daripada pertemuan itu, kamipun saling berhubung," dedahnya.
Erra berkata, hubungannya dengan Awie berpunca kerana penyanyi rock itu mempunyai jiwa 'rock' sepertinya. Erra menyifatkan dirinya sebagai seorang yang berperwatakan 'tomboy' di usia muda.
“Sejujurnya, saya terkejut pada awalnya apabila Awie (yang mempunyai nama besar) mendekati saya. Namun pada masa sama, ramai juga individu lain yang cuba mendekati saya ketika itu.. kononnya!
"Kerana masih muda, lagi pula menang gelaran ratu cantik kan.. Tetapi kerana seorang bintang rock mendekati saya, dialah yang saya terima," katanya.
Erra bagaimanapun menganggap terputusnya hubungan mereka kerana tiadanya jodoh, selain dugaan yang dilalui begitu besar memandangkan Awie adalah bintang idola kegemaran ramai.
“Itu namanya jodoh sudah tiada. Dugaan begitu banyak.. itu lumrah bercinta, apatah lagi saya bercinta dengan rockstar kot! Kira idola ramai oranglah. Dugaan memang sangat tinggi.
"Tapi Alhamdulilah, tinggi tak tinggi pun enam tahun jugalah bertahan. Lepas tu dah ke fasa pertunangan, namun tidak pula kesampaian," katanya.
Untuk rekod, Erra yang menjalinkan hubungan cinta dengan Awie selepas membintangi filem Sembilu, pernah mengikat tali pertunangan pada tahun 1996 sebelum terlerai pada hujung 1998.
Kredit video: Begitu Begini DJ Nazz Bersama Erra Fazira
Sumber berita: Begitu Begini DJ Nazz Bersama Erra Fazira