Anda mungkin pernah mendengar kisah pekerja setia yang telah bekerja selama puluhan tahun dengan majikan yang sama sepanjang hidup mereka. Namun, kisah seorang pekerja setia ini mungkin unik berbanding yang lain.
Dalam kerjayanya merangkumi 34 tahun, Eugene Allen telah berkhidmat untuk lapan orang presiden dan menyaksikan beberapa detik paling penting dalam sejarah Amerika abad ke-20. Semuanya dari pandangan uniknya sebagai seorang pelayan White House.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebelum White House
Eugene Allen dilahirkan di sebuah ladang di Virginia pada tahun 1919 dan banyak menghabiskan kehidupan awalnya sebagai seorang pelayan di pelbagai pertubuhan kulit putih (era pengasingan warna kulit) di selatan Amerika.
Ketika dia bekerja di salah sebuah country club di Washington D.C, Eugene telah mendengar bahawa White House sedang menawarkan jawatan kosong bagi pelayan.
Pada mulanya, dia tidak terfikir untuk memohon kerana dia gembira dengan pekerjaannya yang sedia ada. Namun, setelah bertemu dengan Ketua Dapur White House, Eugene telah diterima bekerja sebagai pembantu dapur pada tahun 1952 sebelum dia dinaikkan pangkat menjadi pelayan (butler).
Sebagai seorang pelayan, Eugene bangga apabila mengingati bahawa dia pernah berjabat tangan dengan semua Presiden Amerika yang pernah bertugas selama dia bekerja di White House.
Selama 34 tahun sebagai pelayan White House, dia berjabat tangan dengan Presiden Truman, Eisenhower, Kennedy, Johnson, Nixon, Ford, Carter dan Reagan.
Kehidupan bersama Presiden Amerika
Eugene bersalaman dengan Presiden Ford di majlis perpisahannya
Sebagai pelayan White House yang setia, Eugene bukan sahaja pernah berjabat tangan dengan presiden malah lebih daripada itu. Dia juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan Presiden Gerald Ford dan pernah menyambutnya bersama dengan presiden itu.
Eugene juga memberitahu bahawa Presiden Jack Kennedy adalah seorang yang sangat baik. Ketik presiden itu ditembak mati pada 22 November 1963, Eugene sedang bekerja seperti biasa di White House.
Walaupun menerima jemputan untuk pengebumian Presiden Kennedy, Eugene memilih untuk bekerja dan tidak menghadirinya. Dia memberitahu bahawa seseorang perlu berada di White House untuk bersiap sedia apabila semua orang pulang dari majlis pengebumian.
Isteri mendiang Presiden Kennedy iaitu Jacqueline secara peribadinya telah memberikan Eugene dengan salah satu tali leher suaminya sebagai kenangan. Eugene telah membingkaikan tali leher itu dan disimpannya di rumah.
Saksi kepada detik bersejarah
Presiden Reagan dan isterinya, Nancy, di majlis perpisahan mereka
Selain hubungan baiknya dengan Presiden-presiden Amerika Syarikat, Eugene Allen juga menyaksikan pelbagai detik bersejarah sepanjang tempoh dia bertugas di White House.
Sebelum bekerja di White House, Eugene tidak pernah diberikan peluang untuk duduk bersebelahan majikan kulit putih dalam bas kerana kawasan selatan Amerika ketika itu amat kuat dengan masalah perkauman.
Namun, apabila menjadi pelayan di White House, dia berada bersebelahan orang paling berkuasa di Amerika dan melihat sendiri detik-detik penting keputusan yang dibuat mengenai hak masyarakat di sana.
Salah satunya ialah apabila dia sendiri menyaksikan Presiden Dwight D. Eisenhower berdebat dengan Gabenor Arkansas iaitu Orval Faubus mengenai penghapusan pengasingan kaum di sekolah Little Rock pada tahun 1957.
Ketika rakyat Amerika berkumpul di luar White House bagi memprotes Perang Vietnam semasa Presiden Lyndon Johnson bertugas, Eugene telah menyediakan minuman keras buat presiden itu bagi membantunya menenangkan diri dari tekanan yang dihadapinya.
Eugene tidak pernah bercakap dengan Presiden Johnson mengenai Perang Vietnam tetapi presiden itu pernah menanyakan pelayan itu sama ada anaknya yang sedang berkhidmat di Vietnam masih hidup atau tidak.
Pengalaman berharga
Apabila Presiden Ronald Reagan menjadi tuan rumah majlis makan malam bersama Canselor Jerman Barat, Helmut Kohl, Eugene terkejut apabila diberitahu bahawa dia tidak akan bertugas pada malam itu.
Eugene lebih terkejut tetapi pada masa sama teruja apabila Wanita Pertama menjemput dirinya bersama isteri untuk menghadiri majlis makan malam itu sebagai tetamu peribadi presiden. Eugene percaya bahawa dia adalah satu-satunya pelayan yang dijemput untuk menghadiri majlis rasmi seumpama itu.
Eugene menerima satu lagi jemputan penting dalam hidupnya selepas dia bersara dari White House pada taun 1986. Pada tahun 2009, bekas pelayan itu dengan bangganya menghadiri majlis pertabalan Presiden Barack Obama dan duduk di kerusi VIP yang disediakan untuknya.
Dia tidak menyangka bahawa akan diberi peluang untuk mengalami pengalaman seperti itu. Ini kerana banyak perkara yang tidak boleh dilakukan kaum kulit hitam di Amerika sekitar 1940-an dan 50-an.
Eugene Allen meninggal dunia setahun kemudian ketika berusia 84 tahun. Beberapa tahun selepas kematiannya, nama Eugene kembali menjadi bualan apabila filem The Butler yang diadaptasi daripada kisah kehidupannya ditayangkan pada tahun 2013.
Rujukan:
1. Butler yang berkhidmat untuk 8 Presiden Amerika
2. Kisah kehidupan Eugene Allen sebagai pelayan White House
3. Pelayan kulit hitam yang sentiasa berada di samping presiden Amerika