Mutakhir ini, kita sering terbaca atau mendengar tentang isu scammer yang semakin berleluasa. Scammer bermaksud seseorang yang melakukan apa sahaja untuk mencuri dari orang lain dengan menggunakan tipu muslihat. Mereka biasanya didorong oleh perasaan tamak dan ingin cepat kaya.

Terdapat pelbagai jenis scammer dan penipuan yang ada di luar sana dan kebanyakannya bermotifkan wang. Tambahan pula, kemajuan internet membuatkan lebih ramai penipu yang memasang perangkap dan mencari mangsa untuk ditipu. Kebanyakan scammer tidak mempunyai rasa simpati atau moral yang baik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah seorang scammer licik yang kami ingin kongsikan ialah seorang wanita Malaysia yang ditangkap dan dipenjarakan di Amerika Syarikat di atas pelbagai kesalahan. Berikut adalah kisahnya.

Penipu licik

Seorang wanita kelahiran Malaysia telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara di Amerika Syarikat atas tuduhan mencuri beberapa identiti yang berbeza. Wanita licik ini mencuri pelbagai identiti dan pernah menyamar sebagai kenalan dan ahli keluarga individu politik terkenal.

Menurut laporan The Washington Post, wanita bernama Siew Im Cheah yang kini berusia 61 tahun telah memalsukan sekurang-kurangnya enam identiti dalam tempoh 20 tahun terakhir untuk mencuri kekayaan orang lain.

siew im cheah porsche ferrari

Cheah telah ditangkap pada tahun 2017 apabila dia ditahan ketika memandu laju sebuah Porsche di barat daya Virginia sambil menggunakan lesen memandu bekas rakan sebiliknya.

Dia mengaku bersalah atas kesalahan mencuri identiti dan penipuan di mahkamah persekutuan Alexandria. Pihak pendakwa persekutuan mendakwa bahawa Cheah sebenarnya telah "menyempurnakan seni pencurian identiti".

Melalui siasatan lanjut, itu bukanlah kali pertama Cheah menipu dan mencuri identiti. Ramai yang telah menjadi mangsanya termasuk atlet profesional, chef, pekerja pusat kecantikan malah pegawai gabenor Virginia.

Cucu Lee Kuan Yew dan sahabat Barack Obama

Mereka memberinya wang apabila Cheah mendakwa bahawa dia akan melabur dalam banyak syarikat termasuk dalam bidang perniagaan minyak di Nigeria dan perniagaan bidang sukan. Namun, dia menggunakan wang mangsanya untuk melakukan pembedahan plastik, membeli kereta dan pelbagai lagi barangan mewah. 

Cheah juga memberitahu mangsanya bahawa dia dapat mengakses dana pelaburan kerajaan di Singapura kerana dia merupakan cucu kepada mendiang Lee Kuan Yew, bekas pengasas dan Perdana Menteri pertama Singapura.

Untuk lebih meyakinkan mangsa, dia mendakwa bahawa dia tidak akan muncul dalam carian Google bagi mengelak daripada menjadi mangsa culik kerana kedudukannya.

lee kuan yew dan barack obama

Salah seorang mangsa memberitahu bahawa dia pernah melawat Cheah ketika wanita itu sedang sakit. Apabila tiba, dia terlihat satu jambakan bunga dengan kad ucapan yang ditandatangan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang didakwa Cheah sebagai kenalan rapatnya.

Cheah juga pernah memperkenalkan diri kepada seorang pemain American Football dari pasukan Washington Redskin dan agennya sebagai seorang wanita berusia 30-an bernama Cindy Lin. Mereka bertemu dengan Cheah pada tahun 2015 di sebuah syarikat pengedar Porsche di McLean, Virginia.

Menurut surat yang ditulis agen atlet itu kepada mahkamah, "Cindy" memberitahu mereka bahawa dia ingin membeli saham majoriti dalam pasukan NBA Washington Wizards. Wanita itu berjaya meyakinkan mereka untuk melabur dengannya bagi membida pasukan itu.

Berani menipu mahkamah

Bukan hanya mangsa tetapi Cheah juga berani untuk menipu mahkamah. Ketika perbicaraan kes penipuan dan pemalsuan identitinya sedang berlangsung, Cheah memberitahu mahkamah bahawa namanya adalah Sau Hoong Lee dan peguamnya mengatakan wanita itu berusia 66 tahun.

wanita digari

Pihak pendawa raya mempertikaikan tuntutannya itu dengan mendakwa wanita itu cuba menggunakan identiti palsu. Apabila mahkamah menyemak rekodnya, Cheah didapati memasuki Amerika Syarikat pada tahun 2001 dengan visa pelawat menggunakan nama Sau Hoong Lee.

Pemilik nama Sau Hoong Lee yang sebenar tinggal di Kuala Lumpur dan mendakwa bahawa dia tidak mengenali atau pernah bertemu dengan Cheah. Akhirnya mahkamah memutuskan bahawa Siew Im Cheah bersalah dan dia dijatuhkan hukuman penjara selama 51 bulan.

Rekod jenayah lampau

Rekod jenayah pertama Cheah di AS bermula pada 2004 apabila dia disabitkan dengan kesalahan pecah rumah, mencuri kenderaan dan identiti di Monrovia, California. Cheah mencuri nama dan lesen tuan rumahnya untuk membeli sebuah BMW.

Pada 2011, dia ditangkap setelah menulis cek bernilai USD 350,000 menggunakan nama Claudia Lee untuk membeli cincin berlian yang kemudian digadaikan pada harga USD 100,000.

Setahun kemudian, dia menyamar sebagai Teresa Cheah dan mencuri identiti rakan serumahnya bernama Cindy Tran. Dengan menggunakan nama Cindy Tran, dia membuka akaun bank, mengeluarkan wang insuran nyawa, menjual dua buah kereta rakannya dan membeli sebuah kereta baru.

scammer cheah 31

Dia kemudian berpindah ke sebuah rumah di Virginia Utara. Tidak lama selepas itu, rakan serumahnya bernama Cindy Lin menerima surat hutang kad kredit dan saman lalu lintas yang tidak pernah diketahuinya.

Cindy Lin akhirnya membuat laporan polis dan terkejut apabila kamera perangkap laju polis jelas menunjukkan pemandu itu adalah Cheah. Penipu itu sudah banyak kali menggunakan identiti Lin apabila ditahan polis trafik.

Salah seorang lagi mangsa Cheah adalah seorang chef bernama Alan Perez. Cheah mengikis lelaki itu sehingga dia menanggung hutang sebanyak USD 250,000 sebelum meninggalkannya. Menurut Perez, Cheah merupakan seorang psikopat yang pandai memanipulasi orang lain untuk kepentingan sendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)