Oleh pada 29 May 2022 kategori

Sejak bermula zaman moden, manusia mula melakukan migrasi dalaman ke kawasan yang membangun ekoran daripada keperluan hidup. 

Penghijrahan ini membantu menyumbang kepada pembangunan pekan dan bandar menjadi lebih pesat. Manusia juga lama-kelamaan lebih selesa duduk di bandar. Secara statistiknya di Malaysia, 77.2% warganegara kita duduk di kawasan bandar atau urban berbanding luar bandar - menampakkan perbezaan ketara bersifat majoriti. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kampung sering dilabelkan sebagai lokasi di mana kita akan kembali semasa sudah lewat usia, ketika waktu pencen tiba. Tetapi duduk di kampung walaupun kurang peluang, sebenarnya membawa 1001 faedah yang tidak ada di bandar. Ini lima yang kami rasa paling ketara.

1. Sumber makanan lebih segar

bahan segar kampung lebih berkualiti

Walaupun pasaraya besar di bandar suka menamakan semua produk mereka 'segar', realitinya jika anda ke pasar-pasar tani kawasan luar bandar - terlalu besar perbezaan kesegaran antara kedua-duanya. 

Bukan saja terhad kepada sayur-sayuran, bahan mentah berasaskan daging ayam, lembu, kambing dan juga kerbau biasanya cukup cantik dagingnya. Paling penting pada penulis, pengurusan bahan mentah ini dilakukan oleh orang yang pakar dalam penjagaan hasil jualannya.

Sayur dijual pekebun yang menanam sayur sementara daging dijual terus mereka yang menternak haiwan peliharaan. Berbanding pekerja pasaraya yang ada kalanya hanya tahu susun bahan mentah dan sembur air untuk nampak segar.

2. Ada banyak sayur-sayuran dan buah-buahan rare

sayur buah rare di kawasan kampung

Siapa tahu ni apa?

Cakap pasal bahan makanan segar ni, anda perasan tak jika anda ke pasaraya urban - kebanyakan bahan mentah yang dijual agak ala kebaratan, tidak benar-benar terasa macam barangan tempatan. 

Sayur-sayuran yang dijual lebih kepada sayur import. Buah-buahan juga lebih banyak epal, oren, pisang import, anggur dan lain-lain. Di bandar susah nak dapat bahan seperti cendawan busut, buah cepu yang cukup sedap digulai, daging kerbau tempatan dan juga ayam kampung betul...bukan ayam kampung tiruan yang sering dijual.

Apa yang penulis ingin sampaikan - kualiti makanan di kampung jika anda gemar masakan tempatan, sebenarnya jauh lebih baik berbanding bandar kerana masyarakat urban bahan mentahnya kurang variasi. Pergi mana-mana pasaraya, benda sama sajalah kita akan jumpa.

3. Jalan tak sesak

kawasan jalan raya lengang

Kita semua tahu jalan raya sesak adalah sesuatu yang menyukarkan hidup kita, tetapi bagi majoriti kita - ramai tidak ada pilihan lain selain mengharungi kesesakan setiap hari. Ye lah, 71.2% orang Malaysia duduk di kawasan urban! 

Ini bermakna lagi 28.8% masyarakat luar bandar dapat menikmati perjalanan yang tenang dan lengang, kerana majoriti kita sibuk tersangkut dalam trafik.

Sekiranya anda dapat duduk di kawasan kampung selama 2 minggu bukan ketika waktu perayaan, anda akan mendapati tahap positiviti anda ketika di atas jalan raya akan meningkat. Anda tidak lagi stres, tertekan dan marah-marah.

Nak keluar simpang boleh keluar dengan tenang. Jalan rasa sunyi. Terlambat bergerak selepas lampu isyarat merah pun tak ada yang hon suruh cepat. Itupun kalau kampung kita ada lampu isyarat. 

4. Rumah dan laman luas

kawasan kediaman laman kampung urban bandar keluasan sempit

Kiri - orang susah. Kanan - orang mewah

Tergelak penulis setiap kali ada kenalan kata rumah sewa penulis yang bersaiz 20x65 kaki besar. Besar apa sangatlah tanah sekangkang ni.

Dengan laman yang hanya muat masuk satu kereta di parkir, tak cukup ruang nak sidai baju sambil anak main bola - definisi 'rumah besar' bagi masyarakat urban dan luar bandar nyata terlalu besar perbezaannya.

Setiap kali pulang ke kampung, penulis tak pernah tak membayangkan kenapa masyarakat urban masih berkeras nak duduk dalam kawasan sempit sebegitu, sedangkan di kampung bukan sahaja tepi rumah boleh tanam pokok besar-besar - nak parkir 15 kereta pun muat. 

Anak-anak nak main bola boleh. Nak pasang khemah boleh. Nak buat pondok kecil pun boleh. Kualiti kediaman masyarakat urban dan luar bandar sangat berbeza dalam aspek ini, membuatkan kita rasa terkurung dan keluarga tidak mempunyai ruangan yang memadai. 

5. Kualiti keseluruhan hidup yang lebih baik

orang kampung kualiti hidup lebih baik

Setiap hari dalam media sosial, ramai di kalangan masyarakat urban merungut tentang kualiti hidup mereka.

Jalan sesak, pengangkutan awam sangkut, RFID tak dapat dikesan, ayam dan ikan habis, pencemaran, hospital penuh tak ada katil kosong, isu kebersihan, gejala sosial, jenayah dan bermacam lagi masalah berbeza.

Itu semua tetap berlaku walaupun ramai percaya kehidupan urban adalah 'jauh lebih baik'. Realitinya, satu-satunya sebab kenapa ramai tertarik dengan urbanisasi adalah disebabkan tekanan kewangan yang memerlukan kita mencari peluang di mana peluang ada. 

Majoriti antara kita tahu jika dibandingkan kedua-dua lokasi ini, duduk di kawasan luar bandar atau paling kurang pinggir bandar menawarkan kehidupan yang jauh lebih positif dalam aspek kualiti hidup dan juga kewangan.

Kita juga sudah sentiasa dekat dengan alam semulajadi, tidak memerlukan kita back to nature seperti sering dianjurkan orang urban yang sebenarnya ada rasa kurang puas hati dengan kualiti hidup mereka.

Harga kediaman lebih murah, laman lebih besar, kos hidup lebih rendah, udara persekitaran lebih bersih dan tahap mental lebih sihat. Masyarakat juga kurang tahap tekanan yang dihadapi.

Kita semua dah tahu semua faedah ini. Jadi kenapa kita sebagai sebuah masyarakat masih lagi mengagungkan kehidupan bandar sedangkan cara hidup moden yang sedikit membunuh kita setiap hari?

 




Hakcipta iluminasi.com (2017)