Sebut tentang taman tema, pasti dalam kepala kita membayangkan suasana seronok dan menggembirakan melibatkan aktiviti riadah atau hiburan bersama keluarga.

Walaupun demikian bagi kerajaan Russia, mereka mempunyai perspektif yang agak berbeza dalam merangka taman tema untuk kunjungan warganegara mereka.

Semua elemen keseronokan, kegembiraan dan fantasi yang seringkali digunakan sebagai konsep taman tema dibuang jauh-jauh untuk digantikan dengan keseronokan berasaskan ilmu ketenteraan, dalam taman bernama Patriot Park.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Idea membangunkan Patriot Park

vladimir putin patriot park

'Patriotic Park of Recreation and Leisure' atau lebih mudah dikenali sebagai Taman Patriot dibuka secara rasmi tanggal 16 Jun 2015, dirasmikan Presiden Russia, Vladimir Putin dalam majlis yang gilang-gemilang.

Terletak di Kubinka 55 km daripada bandar Moscow, majlis perasmiannya dimulakan dengan kehadiran Putin yang hadir menaiki helikopter disambut nyanyian koir dan orkestra.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau menyatakan harapan untuk melihat Patriot Park menjadi lokasi kunjungan ibu bapa membawa anak-anak mereka, untuk menghayati perjuangan tanahair mereka seterusnya melahirkan rasa cinta generasi muda kepada negara.

Keseluruhan taman seluas 5.4 hektar dirancang kepada beberapa segmen berbeza, mengikut tema yang ditetapkan.

Tarikan utama Patriot Park adalah Muzium Kereta Kebal yang mempamerkan pelbagai jenis kereta kebal keluaran era Soviet, Amerika Syarikat, Britain dan Jerman serta bermacam jenis senjata, kereta perisai dan pelbagai kenderaan serba guna berorientasikan ketenteraan.

Selain itu, 268 buah pesawat dan kenderaan perang Soviet turut sama dipamerkan dalam ruangan terbuka, di serata kawasan taman tema.

pameran kereta kebal dan perisai patriot park

Sebuah muzium khas interaktif dinamakan sebagai Guerilla Village turut dibuka untuk menceritakan sejarah perangĀ  tanahair mereka, memperkenalkan generasi muda kepada tokoh-tokoh perang tempatan yang telah banyak berkorban untuk maruah negara.

Tidak ada apa-apa yang ganjil dengan taman tema ini setakat ini kan?

Berdasarkan apa yang sudah kami terangkan, bunyinya mirip dengan Muzium Tentera kita yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan cuma dalam skala lebih besar.

Sekarang mari kita pelajari kenapa Patriot Park merupakan taman tema keluarga paling macho dalam dunia.

Aktiviti ketenteraan untuk seisi keluarga

sesi mencuba senjata

Berbeza dengan taman tema lain yang mengajak orang ramai main air atau melakukan sesuatu yang menyeronokkan, kesemua aktiviti-aktiviti dalaman yang dianjurkan di Patriot Park berkisar kepada simulasi peperangan.

Sebuah lapang sasar antara yang terbesar di Russia dibuka untuk keluarga sama-sama cuba menembak senjata.

Sekiranya anda berangan nak merasai pengalaman menembak menggunakan senapang legenda AK-47, di sinilah tempatnya.

Hanya pengunjung tempatan dibenarkan untuk menembak menggunakan peluru hidup mengikut syarat ketetapan umur. Bagi pelancong asing seperti kita, hanya boleh peluru kosong atau getah disediakan.

Untuk keluarga yang ingin merasai pengalaman berperang, Military Tactical Games Center menawarkan peluang bermain perang urban olok-olok menggunakan senapang angin yang realistik rekaannya.

Semua peserta akan diberikan taklimat peperangan terlebih dahulu oleh komander masing-masing, sebelum mereka menjalankan simulasi semula kempen peperangan sebenar yang pernah berlaku dalam sejarah mereka.

Selepas penat berperang, pengunjung bolehlah mencuba makanan percuma ala tentera yang disediakan khas untuk semua pengunjung merasai apa yang dimakan anggota tentera semasa operasi; sejenis bubur yang diperbuat daripada gandum kuda.

Medan propaganda utama Russia

sesi keluarga mempelajari senjata

Walaupun condong ke arah aktiviti bersifat militari, aktiviti lasak lain seperti sukan bermotorsikal, berkuda dan sukan ekstrim turut mempunyai ruangan masing-masing bagi memenuhi permintaan mereka yang mungkin kurang gemarkan aktiviti ketenteraan secara terbuka.

Untuk mereka yang mahu mencari ketenangan, Gereja Besar Angkatan Tentera Russia yang dibuka pada bulan Jun tahun 2020 mungkin menarik minat anda berikutan seni binanya yang klasik.

Hiasan dalaman gereja ini memaparkan 8 tokoh besar gerakan Kristian Ortodoks Russia sebagai penghias, dihiasi indah gabungan rekaan moden dan tradisional.

cathedral of armed forces russia

Apa yang sedikit melucukan, timbul kontroversi beberapa bulan sebelum pembukaan gereja itu selepas beberapa keping gambar bocor.

Gambar yang ditangkap itu menunjukkan hiasan dalaman gereja tersebut turut memaparkan Vladimir Putin sendiri pada salah satu bahagian dindingnya.

Kebocoran itu diakui benar oleh pengurusan gereja, memaksa mereka menimbang semula perkara tersebut.

Ekoran kritikan kuat kumpulan Ortodoks Kristian mempersoalkan tindakan meletakkan wajah Putin pada dinding gereja, akhirnya figura Putin yang sudah separa siap dibuang - atas permintaan Putin sendiri.

Patriot Park terus menjadi antara tarikan popular pengunjung baik tempatan mahupun antarabangsa, yang mahu merasai sendiri kelainan taman tema bersifat ketenteraan milik Russia berbanding taman tema komersial lain di dunia.

Kritikan terhadap tujuan pembukaan taman tema itu masih terus kedengaran.

Bagi pengkritik, mereka melihat taman tema itu sebagai usaha mahu membiasakan generasi muda Russia dengan peperangan serta memaksa ideologi kerajaan pro militari terpaku diminda orang ramai.

Dibuka daripada hari Selasa sehingga Ahad bermula jam 10 pagi hingga 6 petang dengan tiket sekitar RM30 ke RM42, taman tema Patriot Park di Russia ini membawakan satu kelainan yang jarang dapat kita saksikan di negara-negara lain khasnya negara kita.

Sekiranya taman serupa dibuka di negara kita menjadikan perang sebagai tema utama, adakah anda akan membawa ahli keluarga anda mengunjunginya?

Rujukan

BBC Military Fun Park

Laman Web Rasmi Patriot Park




Hakcipta iluminasi.com (2017)