Nama Senoi Praaq mungkin kedengaran asing bagi segelintir rakyat Malaysia terutamanya golongan muda pada hari ini. Ia sebenarnya adalah salah satu unit dalam Pasukan Gerakan Am (salah satu cawangan PDRM) yang pernah memberikan sumbangan besar terutamanya ketika era darurat di mana negara berhadapan dengan ancaman komunis.
Unit Senoi Praaq ini terdiri daripada Orang Asli yang terdiri dari suku Temiar, Semelai, Temuan dan Semai. Dalam bahasa Semai, Senoi bermaksud 'orang' manakala Praaq pula bermaksud 'perang'. Unit Senoi Praaq ini bertanggungjawab menentang Komunis di hutan belantara di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.
BESARKAN TEKS A- A+
Seorang Pegawai Pentadbir British di Malaya, R.O.D Noone telah mengilhamkan penubuhan unit ini kerana kehebatan ilmu perhutanan yang dimiliki oleh Orang Asli. General Gerald Templer yang mengetuai pasukan penentang gerila di Malaya telah meluluskan penubuhan pasukan itu.
Noone yang merupakan lulusan antropologi (kajian kemanusiaan) dari Universiti Cambridge juga merupakan seorang Mejar dalam tentera British. Dia pernah membuat kajian mengenai penduduk Malaya sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua.
Pada mulanya, unit Senoi Praaq ini hanya terdiri daripada 10 Orang Asli dari suku Temiar yang telah dilatih selama tiga bulan dan diletakkan di bawah D Squadron SAS (Special Air Service) pada tahun 1955. Selepas itu, unit ini diletakkan pula di bawah Jabatan Orang Asli.
Unit Senoi Praaq bertambah dengan rekrutmen bekas anggota pengganas Komunis SEP (Surrendered Enemy Personnel) dan sukarelawan yang terpilih. Mereka ditugaskan untuk kembali ke hutan, sama ada bagi memujuk anggota PKM (Parti Komunis Malaya) untuk menyerah atau membunuh tokoh-tokoh PKM tertentu.
Dilatih dengan ilmu pertempuran gerila, taktik serangan pantas dan kejutan oleh SAS, unit Senoi Praaq terkenal dengan kemahiran bertempur mereka dalam hutan belantara yang tebal.
Menjelang kemerdekaan Malaya pada tahun 1957, unit Senoi Praaq telah mempunyai kekuatan 2 squadron iaitu Batalion ke-19 PPH (kini dikenali sebagai Batalion ke-3 PGA) di Bidor, Perak dan Batalion ke 20 PPH (kini dikenali sebagai Batalion ke-18 PGA) di Pengkalan Hulu, Perak.
Keberkesanan unit ini terbukti apabila mereka mencapai rekod tertinggi berjaya membunuh pengganas Komunis pada tahun 1958 berbanding pasukan keselamatan lain.
Mereka mempunyai rekod 16:1, di mana bagi setiap 16 pengganas Komunis yang terbunuh, Senoi Praaq hanya mengalami 1 kematian. Dengan reputasi hebat ini, pengganas komunis rela berundur daripada bertempur dengan unit ini.
Apa yang lebih menarik, senjata tradisional Orang Asli seperti lembing dan sumpit menjadi kegemaran mereka. Selain itu mereka juga menggunakan belantik atau jerangkap samar yang diperbuat daripada buluh dan amat membinasakan.
Senjata kegemaran mereka itu malah digunakan sebagai lambang unit Senoi Praaq ini. Buluh sumpit digunakan sebagai lambang Batalion ke-19 PPH, manakala beliung (alat seperti cangkul kecil) pula digunakan bagi lambang Batalion ke-20 PPH.
Pada tahun 1960, Darurat Pertama telah diisytiharkan tamat dan satu squadron Senoi Praaq telah digerakkan ke selatan Thai untuk memujuk lebih 3,000 Orang Asli yang tinggal di sana sambil memburu Soo Ah Chye, seorang pemimpin gerila PKM yang fasih bahasa Temiar.
Pada tahun 1964, R.O.D Noone bersama sekumpulan kecil anggota Senoi Praaq telah dihantar ke Vietnam atas permintaan Presiden Ngo Dinh Diem. Mereka bertanggungjawab membentuk pasukan Montagnard Scouts dibawah MSP (Mountain Scout Program) kendalian CIA (Central Intelligence Agency) dengan kerjasama BRIAM (British Advisory Mission).
Senoi Praaq mendapat gelaran "The Silent Killer" oleh CIA dan mereka juga pernah digunakan secara rahsia di Laos. Apabila Amerika Syarikat berundur dari Laos, unit Senoi Praaq ditinggalkan begitu sahaja.
Namun, unit elit itu berjaya kembali ke Malaysia sambil bertempur dengan musuh di sepanjang jalan pulang. Ramai juga anggota Senoi Praaq yang terkorban dalam perjalanan balik dan peristiwa itu telah disematkan dalam sebuah buku berjudul Death Waits in the Dark: the Senoi Praaq, Malaysia’s Killer Elite.
Pada tahun 1968, Darurat Kedua bermula apabila berlakunya kebangkitan semula pemberontakan bersenjata Komunis di Malaysia. Senoi Praaq telah diserap ke dalam pasukan PDRM dan dikenali sebagai Batalion ke-10 PPH (Pasukan Polis Hutan) di bawah naungan Briged Utara.
Pada tahun sama juga, legenda Senoi Praaq iaitu Apot a/k Saad menyertai unit ini dan kemudiannya diserap ke dalam komando VAT 69. Kerana kepakarannya dalam "jungle tracking", dia dihormati di kalangan tentera Komenwel termasuk pasukan SAS dari New Zealand dan Australia.
Sarjan Mejar Apot "Big Nose" Saad
Apot diberi gelaran "Big Nose" kerana kehandalannya menjejaki pergerakan dan penempatan pengganas Komunis dalam hutan belantara dan kini dianugerahkan dengan pangkat Sarjan Mejar.
Kehebatan kaum Orang Asli yang diberi jolokan Silent Killer ini berjaya mendapat perhatian istimewa daripada kerajaan khususnya pihak polis. Mana-mana kaum Senoi yang memohon masuk PDRM tidak perlu menjalani latihan asas selama sembilan bulan di PULAPOL. Mereka sebaliknya akan terus diserapkan ke dalam unit Senoi Praaq.
Rujukan:
1. Jabatan Kemajuan Orang Asli
3. Orang Perak
4. My News Hub