Chandro Tomar mempunyai 6 orang anak dan 15 orang cucu. Jika dilihat dari segi fizikal, rupanya sama sahaja seperti nenek-nenek lain di India. Kedutan di kulit, rambut putih beruban dan pergerakan yang semakin lemah.
Namun, apa yang pasti, Chandro sebenarnya ialah seorang nenek yang paling cool kerana beliau merupakan seorang penembak tepat tertua di dunia yang telah memenangi 25 pingat di peringkat kebangsaan.
BESARKAN TEKS A- A+
Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran "Shooter Daadi" mula belajar menembak pada usia 65 tahun.
Ketika itu, Chandro Tomar menemani cucunya ke Kelab Menembak Johri kerana si kecil itu takut untuk pergi bersendirian. Di situlah Chandro mula memegang senapang dan berasa sangat seronok serta teruja apabila tembakannya mengenai sasaran. Bakat menembaknya disedari oleh jurulatih di situ, Farooq Pathan.
Farooq kemudian dengan sukarela menjadi jurulatih Chandro sehingga kemahirannya digilap dan memenangi pelbagai pertandingan menembak di seluruh India.
Kisah nenek bermata helang ini telah menjadi inspirasi kepada ramai wanita di kampungnya. Mereka kini faham bahawa kaum wanita seharusnya berdikari dan tidak perlu terlalu bergantung harap kepada orang lain. Selain itu, seramai 25 orang wanita telah menyertai kelab menembak di bawah latihan Chandro.
Adik ipar Chandro, Prakashi Tomar yang berusia 80 tahun juga merupakan seorang penembak tepat. Kisahnya lebih menarik kerana beliau pernah mengalahkan Timbalan Penguasa Polis sehingga pegawai tersebut berasa malu untuk menghadiri upacara penyampaian hadiah akibat dikalahkan wanita tua.
Kedua-dua wanita ini membuktikan bahawa usia bukanlah faktor yang menghalang seseorang mencapai impian. Sesiapa pun boleh menggapai cita-cita sekiranya mereka bersungguh-sungguh.
Tabiklah, nenek!
Rujukan: