Apabila membaca atau mendengar mengenai piramid, negara Mesir pasti terlintas dalam minda anda. Akan tetapi, piramid sebenarnya telah dibina oleh banyak tamadun kuno di pelbagai bahagian planet kita.

Tamadun Mesopotamia adalah tamadun pertama yang membina struktur bangunan yang mempunyai reka bentuk seperti piramid iaitu ziggurat. Masyarakat Sumeria, Babylon, Elamite, Akkadia dan Assyria berlumba-lumba membina ziggurat mereka sebagai tempat melakukan aktiviti keagamaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bangunan ziggurat yang kebanyakannya diperbuat daripada batu bata dan lumpur kering merupakan keajaiban dunia dan kini hanya tinggal beberapa sahaja lagi yang masih dalam keadaan baik.

piramid matahari

Piramid Matahari di Mexico. Credit Photo : wanderingtrader

Di Mexico pula, terdapat Piramid Matahari dan Piramid Bulan yang terkenal. Begitu juga Piramid Besar Cholula yang merupakan salah satu piramid terbesar di dunia. Piramid Cholula yang dibina di negeri Puebla, Mexico, itu berada di atas dataran sebesar 1,300 kaki persegi dan setinggi 180 kaki.

Manakala negara yang mempunyai bilangan piramid paling banyak pula bukanlah Mesir tetapi Sudan. Piramid di Sudan dibina ketika ketamadunan Kerajaan Kush kuno yang mula berpusat di Kerma (Sudan moden) antara 2600 hingga 1520 SM, kemudian di berpusat pula di Napata antara tahun 300 hingga 100 SM, dan akhirnya berpusat di Meroe sehingga tahun 300 Masihi.

Walaupun Kerma diiktiraf sebagai negara berpusat yang pertama di Nubia (daerah di Sudan) dan mempunyai seni bina serta istiadatnya sendiri, kedua-dua kerajaan yang kemudian iaitu Napata dan Meroe berada di bawah pengaruh Mesir. Pada waktu inilah pembinaan piramid sedang giat dijalankan. Ketika itu Kerajaan Kush bersaing dengan Mesir terutamanya dari segi ekonomi, tentera, budaya dan politik.

lakaran tamadun kush

Lakaran Ketamadunan Kush

Piramid yang dibina di Nubia mempunyai tujuan yang sama seperti piramid yang dibina di Mesir iaitu sebagai tempat persemadian raja-raja dan pemaisuri yang memerintah Napata dan Meroe. Tidak dapat dipastikan dengan tepat sama ada kedua-dua Kerajaan Kush terakhir ini bersaing untuk membina lebih banyak piramid tetapi jumlahnya sudah cukup untuk membuktikan perkara itu.

Sudan pada hari ini mempunyai sebanyak 255 buah piramid, hampir dua kali ganda bilangan piramid yang bertaburan di seluruh Mesir. Menurut rekod, jumlah piramid yang dibina di Mesir adalah antara 118 hingga 138 buah kesemuanya.

Pada tahun 751 SM, Raja Kush iaitu Piankhi telah menggulingkan Dinasti Firaun ke-24 dan menyatukan seluruh lembah Sungai Nil yang terletak di sepanjang jalan dari delta ke kota Napata. Piankhi serta keturunannya memerintah sebagai Dinasti Firaun ke-25. Penguasaan Dinasti ke-25 ini berlanjutan sehingga kaum Assyria dari Mesopotamia berjaya menakluk Mesir pada tahun 656 SM.

raja piankhi

Raja Piankhi, Firaun dinasti ke-25

Antara piramid terawal yang didirikan mereka adalah di tapak El-Kurru yang menempatkan makam Raja Piankhi (juga dikenali sebagai Firaun Berkulit Hitam) dan bapanya, Raja Kashta. Pewaris mereka seperti Shabaka, Shabataka dan Tanwetamani juga dikebumikan di situ. Selain itu, 14 buah piramid telah dibina sebagai makam kepada pemaisuri-pemaisuri tamadun itu dan beberapa lagi didirikan sebagai makam kepada pahlawan-pahlawan terkenal.

Piramid-piramid Napata yang dibina kemudian pula telah ditemui di tebing barat Sungai Nil di tapak yang dinamakan sebagai Nuri. Tapak purba ini menempatkan 21 makam raja dan 52 permaisuri dan putera raja. Piramid milik Raja Taharqa dianggap sebagai piramid tertua dan terbesar di Nuri.

Sementara itu, piramid-piramid yang dibina semasa pemerintahan kerajaan Meroe pula terletak di antara riam kelima dan keenam Sungai Nil, kira-kira 62 km ke utara Khartoum (ibukota dan bandar terbesar Sudan). Lebih daripada 40 makam Raja dan Permaisuri telah dibina di kawasan itu.

piramid meroe

Piramid Meroe. Credit : Historiesofthingstocome

Walaupun Mesir mengambil masa tiga ribu tahun untuk mempunyai kira-kira 120 buah piramid yang terdapat di seluruh negaranya, piramid yang dibina di seluruh Sudan hanya mengambil masa selama beberapa ratus tahun sahaja.

Namun, piramid yang berada di Mesir jauh berbeza dengan piramid yang terdapat di Sudan. Ketinggian purata piramid di Sudan adalah hanya antara 20 hingga 98 kaki sahaja. Selain itu, piramid di Sudan mempunyai tapak asas yang agak kecil, menjadikan struktur piramid mereka tinggi dan sempit dan mempunyai kecondongan kira-kira 70 darjah.

Sebahagian besar piramid di Sudan mempunyai struktur kuil yang dibina bersebelahan dengan tapak asasnya. Kebanyakan mumia diraja yang ditanam di Sudan ditempatkan dalam keranda di ruangan khas, dipakaikan perhiasan dan sama seperti mumia di Mesir.

Malangnya, terdapat bukti bahawa kebanyakan makam purba ini telah menjadi mangsa rompakan dan penjarahan secara meluas sejak dari dahulu lagi. Ketika para arkeologi meneroka makam-makan piramid Nubian pada abad ke-19 dan 20, mereka menjumpai banyak barangan seperti kotak kayu, busur, anak panah, peralatan menunggang tetapi tiada barang perhiasan.

Mereka juga menemui pelbagai jenis perabot, hasil tembikar dan kaca berwarna, bekas logam dan artifak lain yang jelas menunjukkan ketamadunan Meroe adalah sangat pesat dan maju ketika itu.

Malah, salah satu piramid yang terdapat di Meroe mengandungi lebih daripada 390 batu yang mempunyai ukiran seni dan alatan-alatan untuk membuatnya. Juga ditemui dalam piramid itu adalah seekor lembu yang dikebumikan bersama serta alat muzik kuno.

giuseppe ferlini

Giuseppe Ferlini. Credit : Conor O'Rourke

Apa yang menyedihkan, kebanyakan piramid Nubian telah rosak pada sekitar tahun 1830-an. Seorang doktor Itali, Giuseppe Ferlini, telah menukar kerjaya kepada penjelajah dan pemburu harta karun telah meletupkan lebih daripada 40 makam diraja dalam misinya mencari keuntungan.

Kini, piramid-piramid di Sudan telah dilindungi dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Rujukan:

1. Independent

2. Science Alert

3. Express




Hakcipta iluminasi.com (2017)