Bir Tawil mungkin boleh digambarkan sebagai kawasan gurun luas yang dilitupi pasir dan dikelilingi gunung-ganang serta tidak mempunyai akses melalui darat mahupun laut. Ia adalah salah satu lokasi terakhir di Bumi yang masih didiami dan belum dimiliki oleh mana-mana negara atau pemerintahan.
Walaupun ramai individu telah membuat pengisytiharaan secara dalam talian bahawa tanah ini adalah hak milik mereka, namun sehingga kini tiada satu pun dakwaan ini diterima secara rasmi.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk ke lokasi ini, anda mempunyai dua pilihan. Pilihan yang pertama ialah dengan menaiki penerbangan ke ibu negara Sudan iaitu Khartoum, menyewa sebuah jip dan melalui jalan Shendi sepanjang ratusan kilometer menuju ke Abu Hamed iaitu sebuah penempatan yang telah bertapak sejak pemerintahan kerajaan Kush yang kini menjadi satu-satunya lokasi kem ketenteraan terakhir dengan kehadiran manusia sebelum memasuki kawasan Gurun Nubian yang luas, tandus dan 'tidak berpenghujung'.
Di sepanjang perjalanan merentasi Gurun ini, anda boleh melihat beberapa orang pelombong emas yang mencuba nasib di situ, beberapa kumpulan pengganas bersenjata yang berkeliaran mencari mangsa dan juga beberapa kumpulan kecil askar yang cuba mengekalkan keamanan di situ (walaupun sering menemui kegagalan).
Anda perlu bergerak melepasi kesemua kumpulan manusia ini sehinggalah anda tiba di sebuah kawasan tanpa sebarang pokok palma mahupun pokok renek. Yang tinggal hanyalah kawasan luas dengan pasir dan batuan serta angin kering yang bertiup dari semenanjung Arab sehingga mengaburi penglihatan. Selepas dua hari perjalanan, barulah anda akan tiba di Bir Tawil.
Suyash Dixit : Mengaku pemilik Bir Tawil
Tidak rela menempuhi perjalanan berliku sebegitu? Boleh cuba pilihan yang kedua.
Cara kedua untuk ke Bir Tawil adalah melalui Aswan, iaitu sebuah bandar di bahagian paling selatan Mesir. Dari sini, anda perlu melalui kawasan tanah gersang yang terletak di antara Tasik Nasser di bahagian barat dan Laut Merah di bahagian timur. Majoriti daripadanya adalah kawasan larangan oleh pihak tentera Mesir dan tidak ada sesiapapun dibenarkan mendekati sempadannya tanpa mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.
Pada bulan Jun 2014, itulah yang dilakukan oleh seorang petani berusia 38 tahun dari Virginia bernama Jeremiah Heaton. Dia telah gigih berusaha menguruskan persiapan dokumen dan mendapatkan kelulusan daripada pihak tentera Mesir sebelum memulakan ekspedisi selama 14 jam melalui ngarai terpencil dan gunung bercerancang. Akhirnya dia berjaya tembus ke Bir Tawil dan memacakkan bendera di situ.
Menurut Heaton, anak perempuannya yang berusia enam tahun, Emily, merupakan inspirasi dan pencetus idea kepada ekspedisi 'menakluk' Bir Tawil itu. Emily pernah bertanyakan Heaton sama ada dia boleh menjadi seorang puteri raja sebenar. Heaton kemudian mendapat tahu mengenai Bir Tawil melalui internet dan berhasrat menuntut hak milik tanah itu supaya boleh menjadikan impian Emily suatu kenyataan.
Selepas kejayaannya 'menakluki' Bir Tawil dan memuat naik gambar di media sosial, kisah Heaton menjadi tular dan mendapat liputan meluas pihak media seluruh dunia. Heaton kemudian melancarkan sebuah tabung crowdfunding untuk mengutip dana sekurang-kurangnya $250,000 bagi memulakan 'kerajaan' baru itu.
Walaupun usaha Heaton adalah semata-mata untuk memenuhi angan-angan Emily, namun dia menerima kecaman daripada ramai pihak. Dia dituduh menjadi imperialis berkulit putih pada abad ke-21 dengan idea kolonialisme.
Terra nullius : "No man's land"
Bir Tawil yang mempunyai kawasan seluas 2,060 kilometer persegi ini terletak di sempadan antara dua buah negara iaitu Mesir dan Sudan. Namanya berasal daripada perkataan Arab "بيرطويل" yang bermakna "perigi dalam/panjang".
Walaupun kawasan peta Bir Tawil berbentuk rajah sisi empat, namun ia sering digelar "Segi Tiga Bir Tawil" kerana dikaitkan dengan Segi Tiga Hala'ib yang terletak bersebelahan dengannya. Jika digabungkan kedua-dua kawasan ini, sebuah segi tiga akan terbentuk.
Bir Tawil tidak pernah dituntut mana-mana kerajaan disebabkan perebutan sempadan antara Mesir dan Sudan. Perebutan hak milik yang bermula sejak tahun 1899 ini bukanlah kerana menuntut Bir Tawil sendiri tetapi Segi Tiga Hala'ib yang berada di bahagian timur laut Bir Tawil. Dilaporkan Segi Tiga Hala'ib adalah lebih bernilai berbanding Bir Tawil yang kontang, maka kedua-dua negara tidak mahu melepaskan peluang memilikinya.
Ketika itu, kerajaan British merupakan pemerintah di wilayah sekitarnya. Sebuah perjanjian Anglo-Egyptian telah ditandatangani oleh kedua-dua British dan Mesir untuk bersama-sama mentadbir Sudan. Lingkungan latitud sejajar 22 darjah utara (22nd Parallel) dipilih menjadi sempadan rasmi antara Mesir dan Sudan.
Persempadanan asal ini mempunyai masalah kerana ia tidak mengambil kira penduduk yang berada di situ. Ia hanya satu garisan arbitrari yang dibuat untuk memisahkan kedua-dua buah negara. Pada tahun 1902, kerajaan British telah melakarkan satu sempadan pentadbiran baru yang merangkumi tanah-tanah yang didiami pelbagai puak untuk memastikan puak-puak ini tidak hidup di sebuah negara dan bekerja menternak haiwan di negara lain.
Masalah lain pula timbul kerana British mengiktiraf persempadanan yang baru ini manakala Mesir pula masih berpegang kepada sempadan 22nd Parallel. Mengikut sempadan asal, Segi Tiga Hala'ib berada di tanah Mesir namun dimasukkan ke wilayah Sudan dalam lakaran sempadan yang baru. Jadi, Segi Tiga Hala'ib yang bersaiz 10 kali ganda serta mempunyai sekitar 1,000 orang penduduk itu terus menjadi rebutan dan perbalahan antara kedua-dua negara manakala tanah Bir Tawil yang kontang pula tidak dipedulikan.
Individu gila kuasa?
Walaupun kedua-dua kerajaan Mesir dan Sudan tidak menuntut Bir Tawil setelah sekian lama, ia tidak menghalang individu-individu 'gila kuasa' untuk membuat percubaan berani menakluk tanah ini.
Dan Jeremiah Heaton bukanlah individu pertama yang berkeinginan menjadi pemillik dan pemerintah Bir Tawil.
Banyak 'maharaja papan kekunci' yang telah cuba menubuhkan sebuah kerajaan baru Bir Tawil secara dalam talian. "The Kingdom of the State of Bir Tawil" misalnya mempunyai lagu kebangsaan oleh mendiang pemuzik jazz British, Acker Bilk.
"The Emirate of Bir Tawil" pula mendakwa memiliki tanah tersebut dengan merujuk kepada sumber seperti al-Quran, monarki British, Konvensyen Montevideo 1933 dan Akta Kepulauan Guano AS 1856.
Ada juga "United Lunar Emirates of Bir Tawil" yang mempunyai sebuah laman web lengkap dengan borang permohonan kerakyatan, mantera bantu diri dan gambar individu melakukan yoga di taman. Tidak ketinggalan "Grand Dukedom of Bir Tawil," "Empire of Bir Tawil" dan "United Arab Republic of Bir Tawil."
Selain Heaton, ada juga beberapa individu lain yang pernah menjejakkan kaki sendiri ke Bir Tawil. Pada tahun 2017, seorang jurutera komputer dari India menggelarkan tanah kontang itu "Kingdom of Dixit" bersempena namanya, Suyash Dixit.
Ketika itu, Heaton telah menyelar tindakan Dixit dan memanggilnya penipu kerana menganggap dia adalah orang pertama yang berjaya menakluk Bir Tawil. Akhirnya, mereka berdamai dan berbincang sesama sendiri untuk bersama-sama membangunkan kerajaan Bir Tawil.
Kemudian, muncul pula Dmitry Zhikharev, jejaka Rusia yang menghentam Heaton dan Dixit dengan mengatakan kedua-dua lelaki itu telah membuat cerita palsu mengatakan mereka pernah tiba di tanah terra nullius itu dan memacakkan bendera kerajaan masing-masing.
Zhikharev dan rakannya, Mikhael Ronkainen, mendakwa mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan mereka benar-benar pernah berada di Bir Tawil pada tahun 2014 seperti gambar dengan geotag, log GPS dan juga bendera tetapi dikhabarkan Heaton dan Dixit hanya mengada-adakan cerita.
Dmitry Zhikharev
Perbalahan antara ketiga-tiga lelaki ini masih berterusan sehingga ke hari ini dan pada masa yang sama tanah rebutan itu masih tidak dipedulikan Mesir mahupun Sudan.
Siapakah yang akhirnya akan menakluki Bir Tawil?
Rujukan: