Kredit foto: Instagram MeleTOP

Aktres popular, Neelofa, mengakui rakan selebriti, Nur Fazura dan Farah Nabilah merupakan pencabar utamanya dalam merebut trofi tertinggi Anugerah Meletop Era (AME) 2018, malam tadi.

Neelofa atau Noor Neelofa Binti Mohd Noor, bagaimanapun menyifatkan persaingan itu sebagai lumrah yang perlu dihadapi setiap anak seni dalam perjalanan karier mereka.

"Persaingan adalah satu realiti... Semua orang percaya dengan apa yang saya rasa. Fazura bukanlah nama asing dalam industri dengan anugerah yang dimenanginya, malam ini (tadi), saya rasa bukan sesuatu yang mustahil untuk dia meraih trofi utama.

"Farah Nabilah juga ada kelebihan daripada segi undian dan bakatnya dalam lakonan sehingga meraih perhatian ramai.

"Bukan bermaksud saya tidak yakin dengan diri sendiri, sebaliknya, siapa pesaing saya dan kelebihan yang mereka ada," katanya yang ditemubual BH Online usai acara AME 2018 yang berlangsung di ibu kota.

Fazura yang merangkul trofi Bintang Filem Meletop disifatkan ramai sebagai antara calon berpotensi untuk anugerah utama, Top Top Meletop bagi kategori wanita yang dimenangi Neelofa.

Tidak terkecuali, pemenang Artis Baharu Meletop, Farah Nabilah juga mempunyai aura tersendiri membawa pulang takhta itu kerana perbezaan undian antara mereka yang tipis.

Antara lain, Neelofa dikurniakan trofi anugerah Fesyen Meletop dan Pelakon Televisyen (TV) Meletop.

Berdepan kontroversi hangat satu persatu, Neelofa berkata, dia melihat sisi positif musibah itu sebagai penggerak semangat kepada para peminatnya untuk terus memperkasakan sokongan terhadapnya.

neelofa akui dicabar fazura 2

Kredit foto: Instagram MeleTOP

"Dengan kecaman inilah membuatkan peminat berdiri teguh di belakang dan membawa saya kekal bersama mereka. Mereka juga terus bekerja keras demi kerjaya saya.

"Saya tak boleh menutup mulut orang daripada terus mengata. Apa yang saya boleh buat adalah kuatkan hati dan berusaha demi kerjaya seni dan perniagaan saya supaya menjadi inspirasi kepada orang lain," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi Khai Bahar juga antara yang 'menang besar' di acara itu kerana bukan sahaja meraih anugerah utama, Top Top Meletop bagi kategori lelaki, malah mengungguli kategori Penyanyi Meletop dan Lagu Meletop.

Akui penyanyi yang meledak dengan lagu Luluh ini, dia sejujurnya tidak menjangkakan kejayaan besar yang diraihnya.

"Sesuatu yang saya tak jangka... Saya anggap ini kemenangan peminat kerana mereka yang bekerja keras mengundi saya untuk meraih trofi.

"Tahun lalu, saya menang trofi Artis Baharu Meletop, selepas ini sasaran saya hendak meraih anugerah terbaik pula.

"Kemenangan ini atas usaha peminat Indonesia yang memainkan peranan mewujudkan akaun khas yang dikendalikan peminat di Malaysia untuk mengundi saya," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)