Oleh pada 22 Feb 2018 kategori

Sumber foto: siakapkeli.my

Dua pemandu PeĀ­rodua Myvi dihukum penjara 3 tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa 3 beranak, termasuk bayi berusia 6 bulan, dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada Mei 2015.

Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noor Aini Mohd. Said (39 tahun), penyelia restoran dan rakannya selaku tertuduh kedua, Mohammad Fizal Reza Jamauddin, (34 tahun), bekerja sendiri, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Menerusi keputusannya, Zilfinaz memberitahu mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh setelah mendapati keterangan mereka semasa membela diri tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata.

Kedua-dua tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara tambahan selama 2 tahun jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 5 tahun. 

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan ke atas keputusan semalam didengar di Mahkamah Tinggi dan meningkatkan jaminan daripada RM9,000 kepada RM14,000 untuk setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka harus melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Pada 2 Mei 2015, Mohammad Fizal Reza dan Siti Noor Aini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kematian Fairuz Nizam Husain (35 tahun) dan isterinya, Nova Safitri Azhari (27 tahun) serta bayi mereka, Nur Firuza Annisa (6 bulan).

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Km6, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dari arah Ulu Klang menuju Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam, di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

nahas duke 2 pemandu myvi dipenjara 3 tahun denda rm10 000 1

nahas duke 2 pemandu myvi dipenjara 3 tahun denda rm10 000 2

nahas duke 2 pemandu myvi dipenjara 3 tahun denda rm10 000 3

Sumber foto: thereporter.my

Sumber berita: Kosmo Online & Free Malaysia Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)