Baru-baru ini, Anugerah Oscar yang ke-89 telah berlangsung dengan begitu gah di Los Angeles. Rancangan anugerah berprestij itu dihoskan oleh pengacara kelakar Jimmy Kimmel dan dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh artis-artis terkenal dunia.

Walaupun berlaku satu kejadian kecoh dan kontroversi semasa kesilapan menyampaikan anugerah untuk kategori Best Picture, namun keadaan masih terkawal dan acara gilang-gemilang itu berakhir dengan baik.

Ramai yang tidak tahu bahawa sebelum acara anugerah itu berlangsung, ada seorang rakyat Malaysia terselit di antara lautan manusia glamour yang membanjiri karpet merah pada hari itu. Acara karpet merah yang dijalankan di luar Teater Dolby ialah segmen yang memaparkan kesemua selebriti kelas A dari Hollywood, pengacara, pengarah dan produser berjalan masuk ke lokasi majlis.

Di sini, koresponden terpilih dan peminat boleh menemuramah para selebriti tentang gaya fesyen yang menjadi pilihan atau bertanyakan tentant cerita terbaru mereka.

Rakyat Malaysia yang 'terselit' di celah-celah selebriti Hollywood itu adalah tidak lain tidak bukan, anak jati Negeri Sembilan, Nabil Ahmad. 

Nabil sudah sememangnya dikenali di Malaysia sebagai seorang pelawak, pengacara, pelakon dan juruhebah radio. Nabil telah mengacarakan banyak rancangan anugerah tempatan dan mungkin pengalamannya itu menyebabkan dia terpilih menjadi koresponden di Anugerah Oscar tahun ini mewakili program HBO Asia.

Nabil yang segak dengan sut belah dubel bres rekaan Razman Razmi yang berinspirasikan songket telah bertemu dengan selebriti hebat seperti Samuel L. Jackson, Mario Lopez, Jason Kennedy dan berjaya menemuramah Jackie Chan!

Bagus Nabil ni, sejak mula debut dengan Raja Lawak, sekarang Nabil dah banyak belajar dan memperbaiki segala kelemahannya. Kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pun dah semakin meningkat. Tahniah diucapkan!




Hakcipta iluminasi.com (2017)