"Bukan sekadar sebuah skuter, ia adalah cara kehidupan". Ini adalah slogan bagi jenama Vespa daripada pengeluar motosikal terkenal Itali iaitu Piaggio. Slogan itu dilihat sangat sesuai untuk pengeluar skuter nombor satu di dunia itu.
Pada tahun 1884, Rinaldo Piaggio telah menghasilkan sebuah syarikat pengeluar jentera. Pada mulanya, syarikat itu menghasilkan gerabak kereta api. Beberapa tahun kemudian mereka beralih pula kepada pengeluaran pesawat.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 1917, syarikat itu telah mengembangkan fasiliti mereka dengan membina kilang baru di Pisa, Itali. Pada tahun 1921 pula, Piaggio telah membeli sebuah lagi kilang lain di Pontedera di mana mereka menghasilkan enjin pesawat pengebom.
Walau bagaimanapun, kilang di Pontedera itu mengalami nasib malang apabila menjadi sasara strategik semasa Perang Dunia Kedua. Pada tanggal 31 August 1943, kilang pengeluar enjin itu telah musnah dibom pihak lawan.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, anak lelaki kepada Rinaldo iaitu Enrico Piaggio telah menubuhkan satu lagi syarikat baru di bawah Piaggio pada April 1946. Mereka membina kilang baru dengan bantuan negara kuasa sekutu. Ketika itu Enrico menyedari bahawa keperluan orang ramai ketika itu adalah kenderaan kecil dengan harga mampu milik dan sesuai digunakan di jalan raya Itali yang tidak begitu elok.
Diilhamkan oleh motosikal Cushman yang pernah dijatuhkan oleh tentera kuasa sekutu menggunakan payung terjun, Enrico telah mengarahkan agar jurutera Piaggio untuk membina sebuah skuter pada tahun 1944. Mereka kemudian mencipta sebuah prototaip bernama MP5 atau dikenali juga sebagai Paperino.
Sejarah kelahiran Vespa
Enrico Piaggio
Pada mulanya, Enrico tidak berpuas hati dengan rupa skuter itu dan meminta seorang jurutera aeronautik, Corradino D'Ascanio, untuk mengubah semula reka bentuknya. Akhirnya pada tahun 1946, model MP6 telah dicipta. Model itu telah dibentangkan kepada Enrico dan pemilik syarikat itu dengan pantas menggelarkan motosikal itu sebagai "Vespa."
Dalam bahasa Itali, "Vespa" bermaksud "Penyengat". Nama itu mungkin diberikan berdasarkan rupa dan bunyi motosikal itu. Pada tanggal 23 April 1946, skuter itu telah dipatenkan di Pejabat Paten Pusat di Florence dan pengeluarannya telah dimulakan.
Vespa merupakan kejayaan sekelip mata dan menjadi begitu terkenal sejurus selepas dilancarkan. Selama 13 tahun sejak Vespa dicipta, penjualannya telah mencapai satu juta unit. Hari ini, jualan kenderaan itu sudah melebihi 16 juta unit.
Banyak pengeluar lain di dunia yang cuba untuk meniru Vespa dengan menghasilkan skuter mereka sendiri, tetapi tiada satu pun daripada mereka yang mampu menandingi kecantikan dan ketahanan skuter buatan Itali itu.
Sepanjang pembuatannya, Vespa mempunyai banyak model dan digunakan untuk pelbagai tujuan. Walau bagaimanapun, terdapat satu model yang kekal dikenali sebagai motosikal paling bahaya pernah dihasilkan. Ia adalah Vespa TAP 150. Model motosikal ini telah ditempah oleh tentera Perancis pada tahun 1950-an.
Vespa TAP 150 ini dihasilkan oleh ACMA, sebuah syarikat pengeluar Perancis yang mempunyai lesen untuk menghasilkan Vespa. Model Vespa ini mula diperkenalkan pada tahun 1956 dan dipertingkatkan pada tahun 1959.
Kenderaan motosikal pada mulanya dirancang untuk digunakan dalam konflik Indochine dan Algeria oleh Troupes Aéro Portées (TAP). Tiga syarikat pengeluar telah memasuki tender untuk menghasilkan kenderaan tersebut iaitu Valmobile 100, Bernardet 250 dan Vespa yang diubah suai. Vespa telah memenangi tender itu dan syarikat ACMA mula menghasilkan 500 buah Vespa TAP 150 ini.
Vespa TAP 150 atau 'Vespa Bazooka' ini mempunyai bingkai yang diperkuat, sebah silinder tunggal 146cm, enjin dua lejang dan mampu menghasilkan kelajuan maksimum 65km sejam. Vespa TAP 150 ini juga dilengkapi dengan M20 iaitu meriam anti-perisai ringan yang dapat menembusi perisai dengan ketebalan 100mm kerana kepala berpandu HEAT yang dipasang padanya.
Walaupun Vespa TAP 150 ini hanya berfungsi sebagai kaedah pengangkutan meriam secara khususnya, tetapi ia juga boleh dipasang dengan senapang atau mesingan untuk ditembak.
Vespa TAP 150 ini tidaklah begitu berguna terhadap kereka kebal dalam konflik yang berlaku di Indochine tetapi ia sangat berkesan terhadap kereta perisai ringan dalam Perang Algeria.
Motosikal ini juga dipersiapkan dalam bentuk sepasang dan boleh dijatuhkan diri pesawat menggunakan payung terjun. Ia dipasang pada palet dan dilindungi dengan beg jerami. Motosikal ini perlu dikendalikan oleh dua orang kerana salah satu skuter akan membawa meriam M20 manakala satu lagi pula akan membawa peluru berpandu.
Vespa TAP 150 yang dijatuhkan menggunakan pesawat boleh digunakan serta-merta sebaik sahaja ia mendarat dan ia adalah senjata yang sangat berkesan. Selain itu, treler tentera juga dipasang dengan tripod supaya Vespa TAP 150 ini boleh dilekatkan di atasnya menjadi sebuah senjata bagi treler itu. Dengan anggaran kos sebanyak $500 sahaja, ia adalah senjata yang sempurna untuk peperangan anti-gerila.
Vespa Bazooka ini bukanlah motosikal tentera pertama yang dihasilkan oleh Enrico Piaggio. Pada awal tahun 1950-an, dia pernah memperkenalkan Vespa model Force Armate kepada pihak tentera.
Walaupun motosikal itu memenuhi piawaian NATO, Enrico secara tiba-tiba berhenti daripada rundingan itu pada tahun 1952. Dia menyatakan tidak mahu lagi berurusan dengan negara dan pihak tentera. Manakala Vespa TAP 150 pula hanya digunakan di Indochine dan Algeria sahaja sebelum penghasilannya ditamatkan.
Hari ini, Kumpulan Piaggio adalah salah satu pengeluar motosikal terbesar di dunia dengan lebih daripada 70,000 orang pekerja dan beroperasi di lebih 50 buah negara. Piaggio memiliki lapan jenama motosikal yang berbeza tetapi Vespa adalah batu permata mereka. Mereka masih menghasilkan model baru dengan reka bentuk tradisional itu dan tidak dapat ditandingi oleh skuter jenama lain.
Rujukan:
2. New Atlas
3. Motor 1