Nama "Thermomix" kini sedang menjadi bualan hangat di laman sosial terutamanya di Facebook oleh para isteri dan sekaligus menjadi satu mimpi ngeri bagi si suami.

Ini kerana mesin ajaib ini dikatakan dapat memudahkan kerja-kerja di dapur tetapi hanya mereka yang lebih daripada berkemampuan sahaja yang dapat memilikinya.

Perlu diketahui bahawa Thermomix mempunyai beberapa model dan yang terbaru adalah TM6 yang kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adalah tidak mengejutkan mengapa mesin inovatif ini mendapat tumpuan dan permintaan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlalu sibuk dengan urusan lain dan tidak mempunyai masa untuk memasak.

Dipasarkan sebagai mesin yang akan menggabungkan kesemua peralatan memasak menjadi satu peranti tunggal, secara teorinya Thermomix dapat menjimatkan pembelian alatan memasak yang lain serta dapat menjimatkan ruang di dapur anda.

Mesin ajaib ini bukan sahaja mampu memasak, ia juga boleh mengisar, mengukus, memotong, menguli, menimbang dan banyak lagi fungsi berguna yang lain.

Tak dapat dinafikan bahawa Thermomix adalah sebuah mesin yang sangat berkualiti, namun kesemua ini datang dengan harga yang boleh membuatkan anda hanya mampu bermimpi sahaja.

Asal-usul dan sejarah Thermomix

sejarah thermomix 638

Thermomix adalah perkakas dapur keluaran Kumpulan Korporat Vorwerk, sebuah kumpulan korporat antarabangsa yang berpangkalan di Wuppertal, Jerman.

Perniagaan utama kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1883 ini adalah pengedaran pelbagai produk secara langsung seperti perkakas rumah, dapur pasang dan juga kosmetik.

Nama Thermomix adalah hasil gabungan "thermo" yang bermaksud pemanasan dan juga "mix" (mixing) iaitu pencampuran.

Model Thermomix pertama dikeluarkan pada tahun 1961 dan kini mempunyai 10 model secara keseluruhan, iaitu:

  1. Thermomix VKM5 (1961)
  2. Thermomix VM 10 (decade of 1960s)
  3. Thermomix VM 2000 (1971)
  4. Thermomix VM 2200 (1977)
  5. Thermomix TM 3000 (1980)
  6. Thermomix TM 3300 (1982)
  7. Thermomix TM 21 (1996)
  8. Thermomix TM 31 (2004)
  9. Thermomix TM 5 (2014)
  10. Thermomix TM 6 (2019)

evolusi thermomix

Mereka yang tidak menyukai Thermy (nama manja Thermomix) akan mengatakan bahawa harganya yang melebihi RM7,000 untuk mesin sekecil ini adalah sangat tidak berbaloi.

Walaupun anda boleh membayar secara ansuran, namun anda tetapi akan membayar dengan harga yang tinggi yang mungkin tidak digunakan dengan kerap selepas membelinya.

Walau bagaimanapun, anda sebenarnya membayar untuk kualiti.

Selain daripada kerosakan produk yang biasa berlaku terhadap Thermomix (sentiasa terdapat sebilangan kecil pembeli yang menerima Thermomix yang rosak), ramai yang merungut dengan mengatakan bahawa mesin ini memusnahkan rasa nikmat dan keseronokan memasak.

Pengeluar Thermomix mengatakan bahawa dengan menghasilkan makanan daripada bahan mentah, seperti roti, tepung dan yogurt, anda akan menjimatkan wang secara automatik. Malah, dengan penilaian kecekapan tenaga yang dimiliki oleh mesin ini dikatakan dapat menjimatkan kos elektrik anda.

Kebolehgunaan dan keberkesanan Thermomix

kelebihan thermomix tm6

Jadi, betapa mudahnya untuk menggunakan Thermomix dan bagaimana anda boleh menjadi "tukang masak terbaik" dalam keluarga anda?

Hakikat bahawa Thermomix yang sangat mahal ini mempunyai perunding sendiri membuktikan betapa rumitnya mesin ini.

Perunding tersebut akan datang ke rumah anda untuk membantu anda memasang dan mencuba berjuta-juta resipi daripada buku memasak yang mereka sediakan.

Dengan keupayaan mesin yang kelihatan seperti tiada had, mungkin ramai di antara kita yang akan terkesima.

Mereka yang tidak bersetuju dengan mesin ini juga menyatakan bahawa Thermy menghasilkan makanan yang "kurang rasa". 

Dan bagi penyokong Thermy, hakikat bahawa mereka dapat menyediakan makanan yang sedap dan sihat untuk keluarga dengan hanya mencampakkan semua bahan-bahan ke dalamnya lalu menekan butang "mula" membuatkan mereka terjerumus dalam dunia Thermomix.

Kelebihan dan fungsi Thermomix

harga thermomix tm6

Thermomix mendakwa menggabungkan fungsi 12 peralatan yang berbeza dalam satu mesin iaitu menimbang, mencampurkan, memotong, mengisar, menguli, mengadun, mengukus, memasak, memukul, pemanasan tepat, mengacau dan mengemulsi.

Dan dengan menjadi pengganti kebanyakan alatan memasak, mesin ini membuatkan dapur anda kelihatan lebih kemas kerana kurang menggunakan peralatan konvensional.

Dengan memiliki Thermomix, resipi-resipi yang anda tak pernah dengar sebelum ini kerana kelihatan seperti terlalu sukar untuk dihasilkan kini bertukar menjadi mudah dan seronok.

Di dalamnya terdapat lebih daripada 55,000 resipi dari seluruh dunia, hanya di hujung jari.

Masakan-masakan yang mana sebelum ini mengambil masa berjam-jam untuk dihasilkan dapat dihasilkan dengan hanya menekan beberapa butang sahaja.

Selain itu ia juga mempunyai fungsi "self-cleaning" di mana anda tidak perlu mencucinya.

Mesin ini juga mendorong pemakanan yang sihat kerana ia menggalakkan anda memasak dengan bahan-bahan sebenar.

Anda boleh meninggalkan Thermomix untuk memasak pelbagai jenis resipi dan ia akan menunggu anda kembali tanpa membuatkan makanan anda hangus, ini memudahkan kerja jika anda mempunyai anak kecil yang perlu diuruskan.

Malah, anda boleh menyediakan makanan dengan hanya menggunakan satu mangkuk pengadun yang disediakan, jadi anda tidak perlu membasuh pinggan atau mangkuk tambahan.

Tak cukup dengan itu, Thermomix sangat bagus untuk orang yang mengalami alahan atau intoleransi makanan kerana anda boleh menggantikan bahan-bahan dan mencipta alternatif anda sendiri. 

Antara perkara-perkara yang mampu dilakukan oleh Thermomix:

  1. Memasak nasi dan pasta
  2. Mengukus buah dan sayur-sayuran, daging dan ikan
  3. Mebus daging, sayur-sayuran dan buah-buahan
  4. Rebus dan reneh cecair seperti sos, sup dan chowder
  5. Potong dan kisar daging, kacang, herba dan sayur-sayuran
  6. Menghancurkan ais dan buah beku
  7. Mengisar buah-buahan, frostings, sup, sos, smoothie, milkshake
  8. Mengisar biji kopi, gula dan kacang
  9. Menggiling tepung gandum, nasi, kekacang dan bijirin
  10. Menguli doh roti, doh pizza, pasta dan pastri
  11. Memukul putih dan kuning telur, susu berbuih untuk kopi, dan kastard
  12. Memarut keju keras, coklat dan kacang
  13. Mengemulsi mayonis, produk penjagaan badan dan kosmetik
  14. Menimbang cecair dan pepejal
  15. Mengekalkan suhu tertentu untuk yogurt, mentega, keju, makanan bayi, coklat, sos halus dan fondue

Kekurangan Thermomix

mesin memasak thermomix 660

Walaupun Thermomix adalah peralatan dapur yang sangat menakjubkan, namun ia tidak mampu melakukan segala-galanya.

Seperti yang anda tahu, harga mesin ini dilihatkan sebagai tak masuk akal bagi sesetengah orang dan hanya mampu menjadi angan-angan bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Jika anda terlalu bergantung kepada mesin ini, anda akan mengalami kesukaran sekiranya berlaku gangguan elektrik di mana Thermomix hanya menjadi "besi buruk".

Selain itu, harganya yang mahal tidak mampu menjanjikan Thermomix dapat digunakan mana-mana lokasi yang tidak mempunyai soket elektrik.

Antara perkara-perkara yang tidak mampu dilakukan oleh mesin ini termasuklah:

  1. Tidak boleh memanggang. Oleh itu, bergantung pada makanan, anda mungkin perlukan peralatan lain. 
  2. Tidak boleh menggoreng. Jadi jika anda peminat ayam goreng, anda perlu melakukannya menggunakan dapur konvesional.
  3. Tidak boleh bertindak sebagai periuk tekanan.
  4. Tidak boleh membakar. Anda boleh mengisar tepung, mencampurkan dan menguli adunan, tetapi anda tak boleh membakar kek. Anda masih perlu menggunakan ketuhar.
  5. Tidak boleh mengeringkan makanan. 
  6. Tidak boleh menyimpan makanan. Ia bukan peti sejuk.
  7. Tidak boleh membekukan ais krim. Anda boleh mencampurkan ais krim dalam Thermomix, tetapi anda perlu menggunakan bahan beku semasa mengadun, atau membekukannya setelah mengadun
  8. Perlu berada di tempat yang mempunyai pengudaraan yang sangat baik.
  9. Thermomix mungkin boleh membasuh dengan sendiri untuk bahagian dalam, tetapi anda sendiri yang perlu mengendalikan luarannya.
  10. Mungkin memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan cara memasak moden ini terutamanya jika anda seorang tukang masak tradisional. Resipi tradisional perlu diubah untuk menggunakan Thermomix.
  11. Anda memerlukan soket elektrik, jadi anda tidak dapat membawanya ke semua tempat dan jika berlaku gangguan bekalan elektrik, anda tidak boleh menggunakannya.
  12. Barangan tambahan dan perkhidmatan atau kos membaiki sangat mahal.
  13. Anda tidak boleh membelinya di kedai dan perlu berunding dengan perunding Thermomix.

Anugerah dan kontroversi Thermomix

kontroversi thermomix

Pada tahun 2014, Vorwerk dianugerahkan "Anugerah Shonky" yang sangat penting oleh advokat pengguna Australia iaitu CHOICE, bagi "pelancaran model barunya yang tidak boleh diharap".

Pada tahun 2016, model TM5 dinilai dengan 4 daripada 5 bintang oleh C|Net dan menerima ulasan positif dari Wired. 

Terdapat beberapa kisah tentang mesin ini yang "meletup" dan melecurkan pengguna dengan cecair panas.

Pada Oktober 2014, model kontroversi Thermomix iaitu TM31 yang ditarik balik pada tahun 2014 berikutan 14 kes pengguna yang melecur akibat cecair panas yang "tercampak keluar" kerana kerosakan produk. (Rujukan).

Organisasi pengguna Australia itu kemudiannya meminta Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) untuk melakukan penyiasatan.

Pada Jun 2017, ACCC memulakan prosiding pengadilan terhadap pengedar Thermomix Australia, dengan tuduhan bahawa ia melanggar Undang-undang Pengguna Australia, tidak mematuhi syarat pelaporan mandatori untuk kecederaan, meminta pengguna menandatangani perjanjian tanpa pendedahan, serta membuat pernyataan palsu dan mengelirukan tentang penarikan semula produk pada tahun 2014.

CHOICE memberitahu Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa mereka mengenal pasti 87 kes di mana pengguna Thermomix melecur. 

Pada April 2018, Thermomix Australia telah didenda RM19.9 juta kerana dengan sengaja menjual peralatan dapur yang berpotensi mencederakan pengguna, berbohong mengenai keselamatan produknya, dan enggan membuat pembayaran balik.

Berbaloikah membeli Thermomix?

memasak secara tradisional

Jawapan kepada persoalan sama ada berbaloi atau tidak untuk membeli mesin ajaib ini terletak kepada diri anda sendiri. 

Sehebat mana pun mesin ini, ia tidak bermakna jika anda tidak mampu membelinya dan ini merupakan perkara pertama yang menjadi penentu kepada seseorang itu untuk membelinya atau tidak.

Secara praktikalnya, lebih ramai orang akan melihat kepada harga berbanding dengan fungsi.

Kedua dan jika anda mampu, adalah berbaloi untuk memiliki mesin ini jika anda seorang yang sibuk dan tidak sempat memasak, namun ingin menyediakan hidangan-hidangan yang enak serta sihat untuk keluarga tersayang.

Dengan kehebatan Thermomix yang dinyatakan di atas, anda tidak lagi perlu bersusah-payah mengerah tenaga untuk memasak selepas pulang ke rumah dalam keadaan letih. Namun perlu diingat, jika anda malas, tiada mesin yang dapat membantu anda.

Ini kerana walupun Thermomix memudahkan kerja anda, anda tetap perlu membeli barang dapur dan menyediakan bahan-bahan (seperti nyahbeku ayam atau daging) sebelum memasak. Jika anda seorang yang malas, memiliki mesin ini adalah sia-sia.

thermomix tm6

Jika anda seorang yang rajin, anda sama sekali tidak memerlukan mesin yang mampu meragut nyawa dompet anda ini.

Seterusnya, jika anda melihat aktiviti memasak sebagai satu terapi yang dapat membuatkan anda relaks, atau memasak adalah hobi anda, maka mesin ini tidak berbaloi untuk dimiliki kerana anda tidak lagi akan merasainya.

Para suami mungkin tidak lagi dapat menikmati "air tangan" isteri dan masa yang diluangkan bersama-sama di dapur juga semakin kurang.

Jadi, semuanya berbalik kepada keperluan dan kemampuan anda sendiri. Pilihlah dengan bijak, jangan beli hanya nak ikut trend atau bergaya, tetapi akhirnya Thermomix anda berhabuk dan tak berasap!

Dan jika anda memiliki Thermomix, mungkin anda perlu memasang rantai padanya kerana ia mungkin benda pertama yang akan dicuri jika rumah anda dipecah masuk!

Wallahualam.

Rujukan:

1. Adakah Berbaloi Membeli Thermomix?

2. Kelebihan dan Kekurangan Thermomix

3. Thermomix




Hakcipta iluminasi.com (2017)