Kredit: Instagram Dato' Seri Vida
Baru-baru ini, selebriti dan usahawan terkenal, Dato' Seri Vida berkunjung ke sebuah restoran di Langkawi yang tular kerana pemiliknya dikatakan mengambil untung berlebihan melalui hidangan ikan siakap.
Biarpun apa yang terjadi tidak menjejaskan perniagaannya, pemilik restoran berkenaan iaitu Norasyikin Musa mengakui ia tetap memberi kesan terhadap dirinya.
"Jualan tetap seperti biasa. Tetapi, perasaan malu itu ada apabila dicaci dan dimaki di media sosial. Rasa seperti tidak seronoklah," ujarnya ringkas.
Dikatakan menipu dan cekik darah, Norasyikin menjelaskan bahawa pihaknya mengenakan harga yang bersesuaian dengan kos dan status perniagaan yang dimiliki.
"Mereka tidak faham kerana ikan itu kami pelihara dan berusia lebih kurang 11 tahun. Secara purata, makanan untuknya bernilai RM6000.
"Untuk mereka yang berduit, jumlah itu mungkin sedikit. Tetapi, untuk peniaga kecil-kecilan yang baru seperti saya, nilai tersebut terlalu besar," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa para pelanggan boleh mengetahui secara lebih lanjut akan harga sesuatu hidangan dengan merujuk menu.
"Apabila ia sudah dimasak, harga yang dicaj adalah seperti dalam menu. Untuk ikan siakap, setiap 100g berharga RM16.
"Sebelum membuat pesanan, pastikan anda melihat menu serta berat ikan tersebut dalam kilogram," katanya.
Berharap tiada lagi tohmahan dan andaian yang dilemparkan terhadap restoran berkenaan, Dato' Seri Vida merasakan harga yang dibayarnya ketika menjamu selera di situ berbaloi dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan.
"Dengan harga RM918.50, saya dapat menikmati pelbagai hidangan dan berpuas hati dengan rasanya yang sedap serta keadaan persekitaran yang cantik.
"Untuk perniagaan yang dijalankan di dalam hutan sebegini, pelanggan yang datang bukanlah terlalu ramai," pertahannya.
Dalam pada itu, beliau juga sempat berseloroh dengan mencadangkan nama baharu untuk restoran terbabit iaitu Siakap Seribu.
Komen Pilihan
"Cajnya mahal kerana terletak di kawasan pelancong yang kebiasaannya akan menggunakan kadar dolar Amerika Syarikat (AS) dalam kebanyakan transaksi, pemandangan yang cantik dan ikan yang digunakan juga segar," tulis seorang netizen.
Sumber: Instagram Dato' Seri Vida