Mentol Centennial, sepertimana yang telah diketahui ia adalah mentol atau lampu yang paling tahan sepanjang zaman. Ia telah dinyalakan sejak dari tahun 1901 sehingga hari ini. Mentol ini hanya terputus daripada bekalan elektrik selama 22 minit apabila balai bomba tempat ia dinyalakan berpindah ke lokasi lain pada tahun 1976.
Dari manakah mentol yang luar biasa ini berasal dan bagaimana ia dapat bertahan begitu lama?
BESARKAN TEKS A- A+
Mentol Centennial ini dihasilkan di Shelby, Ohio, oleh Syarikat Shelby Electric pada sekitar penghujung tahun 1890-an. Ia tiba di Livermore pada tahun 1901 apabila Dennis Bernal, pemilik syarikat Livermore Power and Water membelinya. Apabila Bernal menjual syarikatnya pada tahun yang sama, dia telah menyumbang mentol itu ke jabatan bomba tempatan.
Mentol Centennial di Firestation #6
Mentol itu digantung pada tempat penyimpan hos sebelum dipindahkan ke garaj yang digunakan oleh jabatan bomba dan dipindahkan lagi pula ke dewan bandaraya. Akhirnya, mentol itu ditempatkan di tempat yang kekal iaitu Firestation #6.
Mentol yang terletak di sini telah menjadi mercu tanda tempatan dan sebagai satu kebanggaan penduduk. Walaupun mentol ini semakin kelihatan redup daripada tenaga asalnya iaitu 30 watt kepada lebih kurang empat watt, ia masih lagi terus menyala selama 118 tahun atau lebih dari satu juta jam penggunaan.
Berdasarkan pencapaian itu, Mentol Centennial ini telah diiktiraf sebagai "cahaya paling tahan lama" oleh Guinness Book of World Record pada tahun 1972. Kini, ia disenaraikan pula sebagai "mentol lampu paling lama dinyalakan".
Kini, orang ramai boleh melihat mentol ini dalam masa nyata dari seluruh dunia melalui siaran webcam secara langsung yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi mentol ini.
Apa yang luar biasa mengenai mentol ini sebenarnya adalah betapa ringkasnya mentol ini. Para penyelidik tidak begitu pasti secara tepat bagaimana mentol Centennial ini direka. Ini kerana memeriksanya ketika ia sedang menyala adalah mustahil. Namun, mereka percaya ia tidak jauh berbeza dari mentol lain yang dihasilkan oleh Syarikat Shelby Electric pada waktu pengeluarannya.
Walaupun jangka hayat beberapa jenis mentol bergantung pada rekaannya yang unik, namun ianya bukanlah sesuatu yang biasanya dihasilkan pada zaman itu, jauh lebih lama daripada yang kita biasa kenali.
Mentol Centennial
Ini kerana mentol lampu yang dihasilkan ini adalah sebelum jangka hayat lampu mentol diperkenalkan dan diuji oleh syarikat-syarikat lampu pada tahun 1920-an.
Menurut beberapa ahli pengkaji, pada masa itu syarikat-syarikat mentol lampu gergasi seperti Philips, Osram dan General Electric telah berjumpa di Sweden untuk membentuk Phoebus, iaitu sebuah persatuan global.
Melalui persatuan ini, syarikat mentol akan menetapkan jangka hayat mentol pada kadar 1,000 jam penggunaan dengan alasan lebih "efisyen" dalam tempoh jaminan yang diberi. Mana-mana ahli persatuan yang didapati telah menghasilkan rekaan mentol lampu yang melebihi had ditetapkan akan didenda dengan teruk.
Pada hakikatnya, syarikat lampu telah mewujudkan dasar 1,000 jam ini kerana mereka menyedari bahawa dengan memendekkan jangka hayat lampu mentol yang mereka hasilkan, mereka akan dapat mengumpul lebih banyak pendapatan daripada pelanggan yang sama yang perlu membeli mentol baru berulang kali sekiranya mentol lampu mereka malap atau rosak.
Markus Krajewski, seorang profesor kajian media di University of Basel, Switzerland, telah mengkaji persatuan Phoebus ini. Dia memberitahu bahawa tujuan utama persatuan ini melakukan hal sedemikian adalah untuk mengurangkan jangka hayat pengeluaran bagi meningkatkan jualan.
Walaupun persatuan Phoebus ini telah dibubarkan beberapa tahun kemudian, piawaian industri yang mereka wujudkan terus digunakan. Begitu juga dengan produk "dirancang" yang direka agar mudah rosak dan mempunyai jangka hayat yang pendek bagi memperoleh keuntungan yang lebih besar.
Model perniagaan sebegini telah menjadi trend semasa pada era Kemelesetan Besar, tidak lama selepas pembubaran persatuan Phoebus. Teknik ini digunapakai oleh pelbagai perniagaan lain agar kilang mempunyai pengeluaran yang lebih tinggi dan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada pengangguran yang begitu tinggi pada waktu itu.
Sekarang, amalan penghasilan produk mudah rosak yang telah dirancang menjadi suatu perkara biasa. Sebagai contoh, banyak syarikat teknologi dan perkakas yang menghasilkan produk yang mudah rosak, sukar dibaiki atau menjadi tidak serasi dengan produk yang dihasilkan seterusnya, walaupun dalam jenama yang sama.
Hal ini memaksa pengguna untuk mengganti barangan mereka dengan lebih kerap berbanding orang pada zaman dahulu, supaya bidang perniagaan lebih maju dan menguntungkan.
Tim Cooper, profesor reka bentuk yang mengetuai kumpulan penyelidikan ketahanan penggunaan di Nottingham Trent University, percaya bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah melalui penglibatan tindakan kerajaan.
Beliau percaya bahawa piawaian minimum ketahanan, kebolehan membaiki dan kebolehan penambah baikkan perlu ditetapkan. Di samping itu, penurunan cukai ke atas tenaga kerja dan kenaikan cukai pada penggunaan tenaga dan bahan mentah akan menjadi satu-satunya cara untuk menghalang amalan tidak sihat ini.
Beliau juga mengakui bahawa dasar-dasar yang dicadangkan ini akan menyebabkan penurunan jangka pendek dalam pertumbuhan ekonomi dan akan menurunkan kredibiliti ahli-ahli politik semasa.
Namun, sekiranya perubahan drastik sebegini tidak dilakukan untuk mengawal selia pasaran, kita sebagai pengguna akan terus membeli pelbagai produk yang mudah rosak walaupun ianya baru sahaja dihasilkan. Kita mungkin akan terus menggantikan mentol lampu setiap tahun atau lebih, walaupun fakta menunjukkan mentol yang dihasilkan pada tahun 1890 masih lagi kekal menyala setelah 117 tahun lamanya.