Sekiranya seseorang meminta anda untuk menghantarkan dokumen kerja menggunakan mesin faksimili atau faks, anda mungkin terkejut mengapa dalam dunia Internet pada hari ini kita masih menggunakannya.

Malah, ada di antara kita yang tidak tahu apa itu mesin faks. Ya, mesin faks masih digunakan sehingga ke hari ini walaupun kita mempunyai pelbagai cara lain untuk menghantar dokumen dengan lebih pantas dan efisyen.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun penggunaannya tidaklah meluas seperti pada tahun 1980-an dan 1990-an, namun ia masih dijual di seluruh dunia.

Menurut ahli sejarah teknologi iaitu Jonathan Coopersmith, adalah masih terlalu awal untuk kita menganggap mesin faks sebagai peninggalan masa lalu.

Malah, mungkin terdapat dokumen-dokumen yang sedang difaks ketika anda sedang membaca artikel ini.

Sejarah mesin faks

mesin faks alexander bain

Walaupun penggunaan mesin faks memuncak pada tahun 1980-an dan 1990-an, tak ramai orang yang tahu bahawa mesin faks sebenarnya telah wujud sejak abad ke-19 lagi.

Malah, teknologi faks dikatakan jauh mendahului masa.

Ini memandangkan kaedah meluas seterusnya yang digunakan untuk menghantar imej atau dokumen yang diimbas secara elektronik seperti e-mel datang hampir 100 tahun selepas peranti pertama yang dapat menghantar mesej faksimili.

Berdasarkan reka bentuk oleh pencipta Scotland, Alexander Bain, mesej faksimilipertama dihantar melalui talian telegraf pada tahun 1847.

Ia masih dibahaskan sama ada ia adalah "faks pertama", kerana pada masa itu pencipta-pencipta lain, termasuk Thomas Edison dan Alexander Graham Bell, telah berusaha untuk merintis teknologi faksimili yang mampu menjadi kuasa besar seterusnya dalam industri komunikasi.

Pada masa itu, telegraf telah memudahkan manusia menghantar mesej melintasi jarak jauh, walaupun dengan batasan iaitu satu huruf dalam satu masa.

Walau bagaimanapun, manusia mahukan teknologi yang bukan sahaja membolehkan mereka menghantar salinan teks, tetapi juga imej atau  dokumen, dan dapat melakukannya dengan kelajuan yang lebih tinggi.

Ini adalah salah satu motivasi terbesar untuk pencipta terkenal pada era itu untuk berusaha mencipta teknologi faksimili.

Adaptasi mesin faks 

kenapa mesin faks masih digunakan 2

Teknologi faks ternyata merupakan salah satu revolusi yang paling penting dalam teknologi komunikasi.

Orang Amerika mengetahui tentang mesin faks buat pertama kali sewaktu Pameran Dunia New York yang terkenal pada tahun 1939 di mana mesin faks menghantar imej untuk surat khabar pada kadar 18 minit bagi setiap halaman.

Pada ketika itu, ini dianggap sebagai tersangat laju.

Walau bagaimanapun, penggunaan faks mula digunakan di pejabat di seluruh dunia selepas beberapa dekad.

Mesin faks membawa peningkatan besar dalam kelajuan urusniaga perniagaan, yang membolehkan syarikat dan individu menghantar dokumen dengan cepat dan meluas.

Seseorang di  China boleh menghantar dokumen perniagaan penting ke pejabat di Amerika Syarikat dalam masa beberapa minit sahaja. 

Walaupun demikian, kehebatan masin ini tidak bertahan lama di mana penciptaan internet mengurangkan penggunaan mesin faks.

Malah, pada tahun 1995, pengasas MIT Media Lab, Nicholas Negroponte berkata bahawa mesin faks tidak lagi relevan dalam landskap teknologi moden.

Beberapa tahun kemudian, ramalannya menjadi kenyataan apabila permintaan terhadap mesin faks mula berkurang.

Walaupun penjualan mesin faks sedang menurun, sektor seperti penguatkuasaan undang-undang dan penjagaan kesihatan masih bergantung pada mesin faks untuk aktiviti harian.

Ini adalah disebabkan oleh pengawalseliaan rangka kerja yang tegar kerja, kebimbangan terhadap keselamatan sistem digital, dan keengganan untuk berubah.

Kenapa mesin faks masih digunakan?

doktor guna mesin faks

Agak mengejutkan, mesin faks masih digunakan secara rutin di banyak tempat. Malah, mesin ini pernah menjadi barisan hadapan dalam teknologi komunikasi.

Hari ini, ia sering digunakan oleh agensi penguatkuasa undang-undang untuk penghantaran jaminan atau penyerahan rekod awam.

Industri kesihatan juga masih menggunakan mesin faks secara meluas walaupun terdapat banyak percubaan untuk menaik taraf.

Faks digunakan oleh doktor dalam kedua-dua situasi rutin dan yang berisiko tinggi. Malah, menurut satu anggaran, hampir tiga perempat komunikasi perubatan berlaku melalui faks!

Ramai golongan milenial yang mengambil pengajian perubatan menjadi hairan dan bingung oleh penggunaan mesin faks pada zaman Internet ini.

Sesetengahnya telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka tentang penggunaan apa yang mereka sebut sebagai "teknologi purba".

Walaupun begitu, penggunaan faks tidak banyak merosot dalam penjagaan kesihatan di seluruh dunia.

kenapa mesin faks masih digunakan 3

Ramai yang menyalahkan ini mengenai tafsiran klausa dalam undang-undang privasi kesihatan Amerika Syarikat yang mewajibkan penyedia kesihatan mengambil langkah ketat dalam menjaga maklumat pesakit.

Peraturan ini secara jelas menyebutkan faks dan bukannya e-mel atau media elektronik lain, begitu banyak penyedia perkhidmatan kesihatan menafsirkannya bahawa semua rekod perubatan medis hanya boleh dilakukan melalui faks.

Salah satu lagi sebab utama yang menghalang hospital daripada bertukar kepada medium elektronik yang lebih canggih adalah kebimbangan terhadap penggodaman komputer yang sangat mudah berlaku di zaman moden ini. 

Mereka merasakan bahawa mesin faks lebih kuat dan teguh apabila ia melibatkan serangan.

Inilah sebabnya mengapa sebuah syarikat start-up yang dikenali sebagai PatientBank gagal dalam misi untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan di mana pesakit boleh berkongsi dan menerima rekod perubatan secara digital, dan bukannya bergantung kepada teknologi ketinggalan zaman seperti mesin faks.

Sesetengah pengamal perubatan yang berpengalaman memberi jaminan terhadap mesin faks disebabkan oleh kebolehoperasiannya, di mana orang-orang dengan platform teknologi yang berbeza dapat berkomunikasi dengan lancar melalui teknologi seragam tunggal.

kenapa mesin faks masih digunakan 4

Penguatkuasaan undang-undang adalah bahagian lain yang tetap setia kepada mesin faks.

Malah, protokol kemasukan data dalam jabatan penguatkuasa undang-undang masih wujud secara analog.

Walaupun mempunyai akses kepada teknologi yang paling canggih, jabatan penguatkuasa undang-undang di Amerika Syarikat bergantung pada peralatan berteknologi rendah, termasuk mesin faks untuk kerja harian.

Jelas sekali, faks memberikan kepuasan tertentu kerana kefungsian retronya, tetapi pada peringkat institusi, sudah sampai masanya mesin faks diganti dengan sistem yang lebih maju dan lebih baik.

Doktor perlu mempunyai akses segera kepada rekod perubatan dan polis tidak perlu menunggu beberapa minit untuk mendapatkan gambar suspek melalui faks untuk tindakan pantas.

Mesin faks masih boleh memainkan peranan dalam pejabat sebagai sandaran seperti dalam kes kegagalan sistem digital atau elektronik, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi kaedah komunikasi dalam semua situasi.

Rujukan:

1. Upstate Medical University

2. Becker Hospital Review

3. Science

4. Cornell Law School




Hakcipta iluminasi.com (2017)