Dalam banyak kerjaya yang ada, ahli politik mungkin perjalanan karier seseorang yang mengakibatkan dia paling banyak dikecam, dikeji, dihina dan dimaki tetapi boleh juga menjadikannya seseorang yang ada legasi dan diingati.
Ini kerana menjadi seorang ahli politik memerlukan seseorang individu itu punya kemahiran diplomasi yang tinggi, bijak memanipulasi sesuatu isu atau peristiwa agar mampu memberikan keuntungan kepada mereka dan pihak mereka. Namun bukan semua ahli politik punya kemahiran tinggi...Majoritinya terpaksa bergantung kepada permainan-permainan psikologi bodoh, yang bukan saja menampakkan kebodohan diri tetapi turut memperbodohkan orang lain yang menyokong dia. Berikut adalah lima sifat ahli politik berkelas rendah yang sering diamal agar dia kekal relevan dalam arena disertainya.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Tak nak mengaku salah
Sejak kecil kita diajar kejujuran adalah sifat yang cukup terpuji. Kalau kita buat salah, mengaku dan pikul tanggungjawab daripada akibat perbuatan kita.
Tetapi bagi segelintir ahli politik di Malaysia, mengaku salah sendiri dilihat seolah sesuatu yang sangat-sangat-sangat-sangat sukar untuk dia lakukan. Mungkin kerana disebabkan tahap ego yang sangat tinggi atau mungkin kerana dia takut berdepan situasi memalukan.
Bukan setakat dia tak nak mengaku salah, di kalangan ahli politik yang licik dan pandai bermain sentimen dengan kata-kata, akhirnya yang dipersalahkan orang ramai bukan dia tetapi orang lain; yang dijadikan kambing hitam dalam menutup kesalahan dirinya.
2. Bermuka-muka
Sekejap dia bersama perjuangan Islam. Sekejap dia mahu menjadikan kemajmukan sebagai prinsip utama. Sekejap dia kata lain pula. Penat sebenarnya melayan ahli politik jenis bermuka-muka.
Ini kerana ahli politik sebegini boleh mengubah pendirian sekelip mata, berpaksikan ke arah mana yang lebih menguntungkan atau bakal menyelamatkan karier politik mereka.
Seakan-akan tidak ada hala tuju mereka ini dalam mencorak politik yang diperjuangkan, sebaliknya jelas individu sebegini terjun ke dalam arena politik demi mencari pengaruh, yang digunakan untuk mencipta nama dan membantu individu tersebut mendapatkan tender-tender kerajaan atau tawaran yang menguntungkan dia.
Anehnya, orang sebegini pun ada pengundinya!
3. Hipokrit
Dalam ceramah, ramai ahli politik kata mereka menolak rasuah. Mereka tidak mahu politik berasaskan wang ringgit terus berakar umbi di Malaysia. Pilih mereka kalau nak ubah semua ini.
Itu semua mesej sebelum pilihanraya. Dah dapat kuasa, mulalah ahli politik ini menggunakan kedudukan yang mereka perolehi untuk mendapat laba. Yang perlu dibantu, dilupakan. Yang dibantu, kawan-kawan.
Selepas lama berkhidmat, tiba masa kempen kembalilah berkumandang mesej-mesej mahu membawa perubahan dan pembaharuan, anti itu ini, tolak itu ini seolah-olah undian orang ramai sebelum itu tak ada nilai apa-apa.
4. Sekejap kawan, lepas tu lawan
Kita diberitahu politik itu harus dinamik, tapi tahap dinamik politik di Malaysia lain macam betul. Baru minggu lepas dia maki lawan, minggu ni tiba-tiba boleh mesra dan erat berpelukan demi kuasa.
Ganjilnya penyokong-penyokong pemimpin pun akan turut serta perangainya. Baru bulan lepas burukkan lawan sebelah sana, tiba-tiba lepas pemimpin dah saling 'bermaafan,' kita yang di bawah pun seakan ada gencatan senjata mula menghalakan senjata ke pihak lain pula.
Semua tuduhan, kritikan dan cacian yang dihamburkan dulu automatik dilupakan, kerana 'kita dah jadi kawan.' Bila dipersoalkan, mesti ada yang akan kata 'politik ni mesti dinamik.' Dinamik la sangat...
5. Buang dasar lama perkenal dasar baru
Satu pembaziran paling ketara dalam pentadbiran negara kita sekian lama, adalah bagaimana apabila berlakunya pertukaran tampuk kerajaan baik bertukar parti atau bertukar pemimpin dalaman parti - akan bermulalah perubahan yang cuba diperkenalkan kepada masyarakat.
Daripada Wawasan 2020 ke Islam Hadhari ke 1Malaysia ke Wawasan 2030 ke Keluarga Malaysia ke Malaysia Madani dan apa saja slogan selepas ini seterusnya, semua perubahan ini jelas melibatkan perubahan bukan saja dalam bentuk ideologi bahkan dalam bentuk fizikal.
Berapa juta agaknya perbelanjaan negara perlu dikeluarkan bagi menampung perubahan-perubahan ini, baik dalam bentuk kempen fizikal, media massa dan sebagainya?Rasanya sudah tiba masanya kita sebagai rakyat menolak propaganda politik yang cuba dibawa ahli-ahli politik, untuk dijadikan muka depan gerakan ideologi politik mereka. Malaysia sudah jelas ada teras, ideologi, identiti dan pegangan yang baik untuk diketengahkan.
Persoalannya, kenapa akhirnya visi-visi ahli politik ini yang dinaikkan bagi menghantui corak pemikiran masyarakat kita?