Kewujudan Masjid Kampung Laut, masjid tertua di negara kita, menjadi bukti kedatangan Islam di negara kita datang dari arah timur dan bukannya dari arah barat, satu tanggapan popular dalam kajian sejarah dunia.
Aktiviti perdagangan zaman dahulu melalui penggunaan jalan laut menjadi penyebab utama tersebarnya agama Islam di tanah air kita. Pelabuhan-pelabuhan utama satu masa dulu terletak di bandar Sumatra, Jawa, Melaka, Kelantan dan Pattani, dihubungkan dengan Champa yang menjadi titik tengah aktiviti perdagangan sebelum tiba di pelabuhan utama di China.
BESARKAN TEKS A- A+
ini membantu menaikkan empayar-empayar Islam di kawasan Indo China, Semenanjung Malaysia, Jawa dan juga Sumatra.
Kesan pengaruh kerajaan Champa
Kedudukan Kerajaan Champa ketika ini lebih dikenali sebagai kawasan negara Indo China, yang mewakili negara Vietnam, Laos, Thailand dan Cambodia sekarang. Untuk lebih tepat, kerajaan Champa satu masa dulu berpusat di selatan Vietnam dan Kemboja. Pengaruh Islam di situ yang bermula sejak abad ke 16 memberikan impak besar pada penyebaran Islam di kawasan Kelantan dan Pattani.
Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan memaparkan secara terperinci rekaan senibina yang berasas daripada masyarakat Champa zaman dahulu. Diiktiraf sebagai masjid yang diperbuat daripada kayu paling tua di negara kita, hikayat orang ramai mengatakan Masjid Kampung Laut dibina oleh pendakwah Islam yang tiba ke sini dari sebuah kerajaan yang memerintah Jawa ketika itu, kerajaan Demak.
Dikatakan sama generasi dengan ulama' terkenal Wali Songo, kumpulan pendakwah Islam dari Jawa ini singgah di Kelantan semasa dalam perjalanan ke Champa. Pada zaman tersebut, wujud hubungan rapat di antara kerajaan Champa dan kerajaan Demak dari segi ekonomi. Ini membuatkan pendakwah Islam yang singgah di bandar-bandar pelabuhan dapat menyebarkan Islam, semasa mereka singgah di pelabuhan.
Sejarah lain penyebaran Islam di negara kita
Sejarah kerajaan Champa mengatakan semuanya bermula selepas Permaisuri Champa yang bernama Darawati berjaya memujuk suaminya Raja Kertawijaya, Raja kerajaan Majapahit di Indonesia untuk memeluk Islam.
Hasil catatan Manuel Godinho de Eridia, seorang penulis dan pengkaji sejarah berbangsa Melayu-Portugis yang dilaporkan pada tahun 1613, menunjukkan Islam hadir ke Melaka dari kawasan pantai timur negara kita, termasuklah kawasan Pattani dan juga sebuah wilayah yang dikenali sebagai Pang. Tidak dapat dipastikan Pang ini merujuk kepada negeri Pahang di semenanjung Malaysia ataupun Phan Rang, sebuah wilayah lain di Champa.
Ciri senibina China jelas terpapar dalam senibina masjid-masjid di kawasan kerajaan Melayu dahulu seperti di Majapahit, Demak dan Melaka. Masjid Kampung Laut dipercayai dibina lambat sedikit berbanding dua lagi masjid tertua di Asia Tenggara iaitu Masjid Kudus di Jawa dan Masjid Kuno di Indo China. Ketiga-tiga masjid ini boleh dikatakan antara masjid tertua Asia Tenggara yang masih lagi berdiri sehingga kini serta dibina semasa era yang sama.
Keutuhan seni bina masyarakat terdahulu
Apabila bercerita berkenaan Masjid Kampung Laut, kita juga perlu bercerita tentang sebuah lagi masjid yang amat mirip dengannya. Masjid Agung Demak yang terletak di Indonesia, dipercayai dibina oleh kumpulan Wali Songo sendiri berkongsi senibina asal yang sangat mirip dengan Masjid Kampung Laut.
Dibina tanpa menggunakan paku, Masjid Kampung Laut pada asalnya terletak di Kampung Laut, Tumpat. Namun terpaksa dipindahkan ke kawasan kampus Pusat Pengajian Universiti Malaysia, Nilam Puri berikutan ancaman banjir yang menyebabkan kerosakan teruk pada strukturnya.
Banjir yang berlaku pada bulan Januari 1967 menyebabkan bangunan masjid itu senget ekoran air yang menutupi keseluruhan bangunan.
Persatuan Sejarah Malaysia yang diketuai oleh Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir diberikan tanggungjawab untuk memindahkan bangunan masjid itu. Sekumpulan tukang rumah warga Kelantan dilantik untuk membuka semula masjid tersebut dan membinanya semula di lokasi baru.
Usaha membina semula masjid tersebut berlangsung selama lebih 2 tahun sebelum masjid tersebut diserahkan kembali kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, allahyarham Dato’ Haji Mohd Asri bin Haji Muda. Sehingga kini Masjid Kampung Laut digunakan dalam semua upacara melibatkan umat Islam dan masih kukuh berdiri, selepas lebih beberapa ratus tahun dibina.
Rujukan