Malcolm X dilahirkan sebagai Malcolm Little pada 19 Mei 1925 di Omaha, Nebraska. Ibunya, Louise Norton Little merupakan seorang suri rumah yang tidak pernah menang tangan dengan lapan orang cahaya mata keluarga mereka. Ayahnya pula, Earl Little, adalah seorang paderi pembaptisan dan penyokong tegar pemimpin Nasionalis Kulit Hitam iaitu Marcus Garvey.
BESARKAN TEKS A- A+
Dibenci sejak kecil
Aktivisme bapa Malcolm telah mendorong kepada penerimaan pelbagai kecaman dan ancaman bunuh daripada organisasi agung kulit putih yang dikenali sebagai Black Legion sehingga menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa hidup berpindah-randah semasa Malcolm masih kecil.
Walaupun telah berusaha melarikan diri daripada Legion, pada tahun 1929, kediaman mereka yang terletak di Lansing, Michigan akhirnya hangus dibakar. Dua tahun kemudian, mayat ayahnya pula dijumpai terbujur kaku selepas dilanggar kereta di tengah bandar. Pihak polis hanya mengesahkan kedua-dua kejadian ini berpunca disebabkan 'kemalangan' namun keluarga Little tahu bahawa alasan itu adalah untuk mengaburi perbuatan keji ahli Black Legion yang bermati-matian membenci mereka.
Setelah kematian ayahnya, kehidupan mereka sekeluarga amat miskin sehinggakan adakalanya mereka mengalas perut dengan memakan daun bunga dandelion. Pada tahun 1939, ibu Malcolm pula didapati menderita masalah mental dan dimasukkan ke sebuah hospital sakit jiwa sementara adik-beradik Malcolm terpaksa hidup berpecah-belah. Ada yang dihantar ke rumah anak yatim berlainan dan ada juga yang diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat.
Daripada pelajar pintar menjadi remaja liar
Mengimbas kembali zaman persekolahannya, Malcolm merupakan seorang anak murid yang cemerlang dalam pelajaran. Dia sering menggunakan masa terluang dengan membaca dan belajar tentang pelbagai perkara.
Namun, setelah salah seorang gurunya memberikan komen berbaur perkauman yang menyatakan dia hanya layak menjadi tukang kayu berbanding peguam, Malcolm terus hilang minat untuk belajar dan menamatkan pendidikan formalnya. Malcolm berpindah dari Pusat Jagaan Michigan untuk tinggal di Roxbury, Boston bersama kakak tirinya, Ella. Dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti jenayah sepanjang zaman remajanya.
Pada tahun 1946, Malcolm dan rakan baiknya, Shorty, ditahan dan didakwa atas kesalahan memecah masuk rumah. Malcolm dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan diberikan parol selepas selamat menjalani hukuman selama tujuh tahun.
Ketika tempoh inilah abangnya, Reginald, juga dipenjarakan pada tahun 1948 dan sering berbicara mengenai dirinya yang telah memeluk agama Islam. Reginald juga menyeru Malcolm agar menyertainya menjadi ahli dalam sebuah organisasi dipanggil Nation of Islam (NOI).
Mengenali Nation of Islam (NOI)
Dipenuhi rasa ingin tahu, Malcolm mula mempelajari ilmu dan ajaran nasionalisme kulit hitam diselit elemen Islam yang disampaikan pemimpin NOI iaitu Elijah Muhammad.
Ajaran Elijah menggunakan doktrin rasis iaitu masyarakat kulit putih akan sentiasa mempunyai agenda untuk menghalang golongan Afrika-Amerika daripada memperkasakan diri dan berjaya dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Antara matlamat lain organisasi Islam ekstrem itu ialah memperjuangkan hak untuk mempunyai negara merdeka sendiri yang terpisah daripada mana-mana orang kulit putih.
Sejak menyertai NOI, Malcolm berpegang teguh kepada setiap ilmu dan ajaran yang diberikan oleh pemimpin itu, termasuklah hidup membujang dan menahan nafsu sehingga dia mendirikan rumah tangga bersama Betty Shabazz pada tahun 1958. Malcolm yang telah memeluk Islam itu juga sanggup berhenti merokok, berjudi dan memakan makanan haram untuk memenuhi tuntutan agama.
Semasa menjadi tahanan, Malcolm menghabiskan masa berjam-jam setiap hari membaca buku di perpustakaan penjara untuk menambah ilmu mengenai Islam, malah Malcolm juga berjaya menghafal kamus selain mengasah kemahiran forensiknya dengan menyertai kelas perdebatan.
Ketika diberikan parol pada tahun 1952, Malcolm sudahpun menjadi seorang pengikut setia NOI dan menggunakan nama keluarga baru iaitu "X". Dia tidak lagi menggunakan nama keluarga "Little" kerana tradisi NOI yang menganggap nama keluarga kebiasaannya menggambarkan keturunan hamba.
Disebabkan kepintaran dan kepetahannya berkata-kata, Malcolm dilantik menjadi Wakil Kebangsaan dan jurucakap bagi NOI. Elijah Muhammad juga memberikannya tugas untuk membina tokong baru NOI di bandar-bandar seperti Detroit, Michigan dan Harlem. (Nota: NOI menukar nama kesemua tokong kepada masjid sebagai tambahan elemen Islam pada tahun 60-an untuk meningkatkan taraf kesahan organisasi keagamaan tersebut).
Operasi besar-besaran NOI
Malcolm mengasaskan sebuah akhbar berjudul "Muhammad Speaks" yang dicetak dari ruang bawah tanah di rumahnya dan mewajibkan kesemua ahli lelaki NOI menjual akhbar tersebut selain menggunakan radio dan televisyen untuk menyebarkan mesej NOI ke seluruh Amerika Syarikat.
Karisma, semangat dan keyakinannya telah menarik sejumlah bilangan ahli baru yang mengagumkan. Malcolm sering diberikan pujian kerana menjadi pemangkin kepada peningkatan anggota NOI daripada 500 orang pada tahun 1952 menjadi hampir 30,000 sehingga tahun 1963.
Orang awam dan kontroversi yang menyelubungi Malcolm menjadikan dirinya seperti magnet kepada pihak media. Malcolm telah muncul dalam program istimewa selama seminggu bersama Mike Wallace dalam rancangan "The Hate that Hate Produced" pada tahun 1959. Program ini menjelajahi prinsip asas NOI dan menjejak sejarah kemunculan Malcolm sebagai salah seorang pemimpin paling penting bagi organisasi itu.
Selepas siaran rancangan istimewa itu, Malcolm terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa kemasyhurannya telah menenggelamkan nama mentornya, Elijah. Keadaan ini telah menyebabkan ketidakselesaan di pihak Malcolm. Ditambah pula dengan personaliti Malcolm yang mula menarik perhatian pihak kerajaan.
Mula diperhatikan pihak FBI
Dalam pada NOI semakin berkembang dan membesar, ejen FBI telah mula menyusup masuk ke dalam organisasi tersebut. Malah, ada seorang pengintip yang berpura-pura menjadi pengawal peribadi Malcolm. Mereka diam-diam memasang kamera, peranti pepijat, alat mengintip pendengaran serta peralatan pengawasan lain untuk memantau aktiviti kumpulan.
Kepercayaan Malcolm hancur punah semasa kemuncak gerakan hak-hak sivil pada tahun 1963. Dia mendapat tahu yang mentor dan pemimpin NOI, iaitu Elijah Muhammad, mempunyai hubungan sulit dengan enam orang wanita dari kalangan ahli kumpulan NOI sendiri. Tidak cukup dengan itu, Malcolm juga mengetahui yang ada antara hubungan terlarang ini yang telah menghasilkan anak tidak sah taraf.
Malcolm enggan menuruti permintaan Elijah supaya menyembunyikan kisah skandal dan anak-anak tidak sah taraf itu. Malcolm amat terkesan dan sungguh kecewa dengan tindakan Elijah kerana selama memperjuangkan NOI, Malcolm sentiasa menganggap Elijah sebagai seorang yang istimewa.
Malcolm juga berasa kesal kerana mengajak ramai orang menyertai organisasi itu yang kini dirasakan seperti sebuah pertubuhan yang telah menyeleweng dan berlandaskan penipuan.
Hubungan yang retak menanti belah
Tidak berapa lama selepas penemuan itu, Malcolm menerima kritikan atas komen yang dibuat berkenaan pembunuhan Presiden AS John F. Kennedy. Komennya seolah-olah mengatakan perbuatan Kennedy telah terkena kepada batang hidungnya sendiri. Selepas mengeluarkan kenyataan pedas itu, Elijah telah "mendiamkan" Malcolm selama 90 hari namun Malcolm mengesyaki yang dia didiamkan atas sebab lain.
Pada bulan Mac 1964, Malcolm memutuskan hubungan dengan NOI dan menubuhkan the Muslim Mosque, Inc. kerana baginya, dia tidak boleh duduk berdiam diri dan mengabaikan penipuan serta kesesatan Elijah Muhammad.
Dalam tahun yang sama, Malcolm menunaikan haji di Mekah yang telah menjadi penyuntik semangat dan mengubah kehidupannya serta-merta. Beliau yang kini mengikuti ajaran Sunni mula menggunakan nama Islam iaitu el-Hajj Malik el-Shabazz dan buat pertama kalinya di Mekah, Malcolm berkongsi pendapat dan kepercayaannya dengan orang yang berlainan budaya dan mendapati respon yang diberikan adalah sangat positif serta memberangsangkan. Di sana, dia telah bertemu dengan ramai orang berkulit putih, berambut kuning, bermata biru dan sebagainya yang boleh digelar saudara.
Sekembalinya ke Amerika Syarikat, Malcolm mempunyai pandangan baru mengenai integrasi antara kaum dan harapan baru untuk masa depan. Keseimbangan serta keharmonian ini semuanya terletak pada ajaran agama Islam sebenar yang tidak mengenal bangsa, warna kulit dan perbezaan. Kali ini, setiap kali Malcolm membuka mulut, dia bukan hanya bersuara kepada warga Afrika-Amerika, malah mesej yang disampaikan merangkumi semua bangsa dan warna kulit.
Diburu sampai mati
Selepas Malcolm meletakkan jawatannya dalam Nation of Islam dan meninggalkan Elijah Muhammad, hubungan antara kedua-duanya menjadi tegang. Pemberi maklumat FBI yang sedang menyamar di NOI telah memberi amaran kepada pegawai atasan mereka bahawa Malcolm telah menjadi sasaran untuk dibunuh. Salah seorang ejen pengintip juga telah diarahkan untuk memasang bom di kereta Malcolm.
Selepas beberapa percubaan untuk membunuh Malcolm, dia jarang bergerak sendirian tanpa pengawal peribadi. Pada 14 Februari 1965, rumah kediaman Malcolm bersama isterinya, Betty dan empat anak perempuan mereka di East Elmhurts telah dibom. Namun, mereka terselamat daripada sebarang kecederaan fizikal. Walau bagaimanapun, hanya seminggu selepas itu, iaitu pada 21 Februari 1965, akhirnya musuh-musuh Malcolm berjaya juga membuat serangan sehingga mengorbankan nyawanya.
Ketika kejadian tersebut yang berlaku semasa perhimpunan persidangan di Dewan Audubon Manhattan, tiga orang lelaki telah naik ke pentas dan menembak Malcolm yang sedang menyampaikan ceramah dari jarak dekat sebanyak 15 kali. Malcolm ketika itu hanya berusia 39 tahun telah disahkan meninggalkan dunia sebelum tiba di Hospital Presbyterian Columbia New York.
Ribuan penyokong dan pengikut Malcolm membanjiri pengebumiannya. Malah, rakan-rakannya sendiri mengambil alih tugas penggali kubur dan memilih untuk menyimpan jenazah sahabat mereka sendiri.
Paling menyedihkan, tidak berapa lama selepas pemergian Malcolm, Betty selamat melahirkan dua orang lagi anak perempuan kembar mereka.
Pembunuh Malcolm yang kesemuanya ahli NOI iaitu Talmadge Hayer, Norman 3X Butler dan Thomas 15X Johnson dijatuhkan hukuman atas kesalahan membunuh darjah pertama pada bulan Mac 1966.
Legasi Malcolm X terus disebarkan dari satu generasi ke generasi yang lain sebagai subjek pelbagai dokumentari, buku dan filem. Minat orang ramai terhadap perjuangan Malcolm memuncak pada tahun 1992 setelah pengarah terkemuka Spike Lee menghasilkan filem bertajuk "Malcolm X" yang berkisarkan dirinya. Filem yang dibintangi Denzel Washington itu telah berjaya mendapat dua pencalonan dalam Anugerah Oscar.
Jenazah Malcolm X dikebumikan di Tanah Perkuburan Ferncliff di Hartsdale, New York.
Rujukan:
1. History
2. Biography
3. Britannica