Aktor berpengalaman, Faizal Hussein sedia dikecam netizen kerana melakonkan watak pelumba kereta 'kaki mabuk' dalam filem terbaharunya, KL Wangan.
Faizal atau nama lengkapnya, Mohd Faizal Hussin berkata, dia tidak kisah membawa peranan sedemikian demi memenuhi tuntutan watak.
"Saya dapat rasakan pasti ada yang akan mengecam karakter 'kaki mabuk' itu. Saya tak kisah kerana memang watak Yudi itu begitu.
"Apabila kita buat cerita sebegini lebih elok jika ditonjolkan perkara-perkara yang kita tak boleh tunjuk dalam karya biasa.
"Sebagai pelakon saya tambahkan watak ini dengan warna yang lebih menarik dan terapkan unsur-unsur tersebut," katanya menurut portal Mstar Online.
Dalam KL Wangan, Faizal memegang watak sebagai Yudi, lelaki berumur lewat 40-an yang gilakan perlumbaan kereta serta kaki botol.
Filem itu antara lain turut dilakonkan Pekin Ibrahim, Emily Lim, dan Kazuto San.
Dalam pada itu, Faizal menasihatkan agar penonton tidak terpengaruh dengan perlakuan negatif dalam watak yang dibawakannya.
Namun dia pasti filem itu tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat kerana penonton hari ini sudah bijak menilai.
"Saya yakin penonton sudah bijak menilai antara lakonan dan realiti.
"Apa disaksikan itu hanyalah babak dalam filem dan menjadi tugas kami sebagai pelakon untuk menghidupkan watak yang diberi," katanya.
Mengenai isu yang sama, pengarah filem tersebut, Pekin Ibrahim turut sependapat dengan Faizal.
Katanya, masyarakat boleh menjadikan gejala negatif dalam filem itu sebagai teladan untuk dijauhi.
"Saya tak rasa ia beri impak buruk kepada masyarakat pun. Bukan filem yang akan beri pengaruh kepada penonton, banyak benda lain lagi.
"Ini cuma hiburan semata-mata. Apa yang boleh saya kata, Faizal bawa watak ini dengan begitu baik sekali," ujarnya.
KL Wangan yang menelan RM5 juta kos pembikinan, sudah berada di pawagam seluruh Malaysia sejak 21 Disember lalu.
Kredit foto: Instagram Faizal Hussein
Sumber berita: Mstar