Kredit foto: Instagram Tam Suhaimi

Aktor Tam Suhaimi, 38, mengakui minat untuk kembali berlakon masih membara, namun cabang seni yang disertai sejak tahun 1986 itu tidak lagi menjadi keutamaannya.

Pelakon yang namanya melonjak menerusi drama bersiri Cili Padi awal 1990-an dahulu berkata, dia rindu kembali ke set penggambaran tetapi menghadapi masalah apabila watak yang ditawarkan tidak mencabar aras kemampuannya.

Susulan itu, katanya, keinginan berlakon terpaksa disalurkan ke kerja-kerja belakang tabir termasuk tugas mengarah.

Sehingga kini, sebanyak lebih 15 drama dan telefilem telah digarap anak kelahiran ibu kota ini.

lama menghilang ini kisah terkini tam cili padi 2

Kredit foto: Instagram Tam Suhaimi

"Tawaran berlakon masih diterima, tetapi kebanyakannya mahu saya membawa watak remaja. Jika watak yang diberikan sama seperti 20 tahun lalu, di mana lagi cabarannya? Mungkin tubuh kecil membataskan saya untuk mendapat watak matang dan menguji.

"Kali terakhir saya muncul dalam telefilem Mama Zumba, dua tahun lalu. Itupun selepas dipaksa Liyana Jasmay. Dia juga mempelawa saya untuk berlakon dalam filem sulung terbitan syarikat produksinya, Mermaid Studios berjudul Bella & Jamie," katanya memetik laporan portal BH Online.

Kongsi Tam, dia mula aktif dalam bidang pengarahan sejak tahun 2013.

"Berada di balik tabir bukan perkara asing kerana saya sudah melakukannya sejak usia 16 tahun. Saya pernah diberi kepercayaan sebagai penolong pengarah untuk produksi terbitan Erma Fatima, Bade, Aziz M Osman dan Melissa Saila.

"Aziz juga pernah mencabar saya untuk menulis skrip, namun hanya pada tahun 2013, baru saya berani melangkah ke dunia pengarahan," katanya.

Enggan berasa kecewa, Tam tetap bersyukur dengan pencapaian telefilem arahannya, Menantu Material yang tersenarai di Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) menerusi kategori Drama Terbaik, walaupun tewas di tangan karya garapan Erma, Pesan Dari Tuhan.

"Secara peribadi, ia pencapaian terbesar kerana saya bersaing dengan nama berpengaruh dan jauh lebih berpengalaman. Sudah lama saya tidak menerima undangan ke acara itu, membuatkan saya tidak menyangka mampu melangkah sejauh itu.

"Bukan mudah kerana Menantu Material yang menampilkan Janna Nick dan Nazim Othman sebagai pelakon utama terpaksa bersaing dengan senarai panjang untuk memasuki Top 5. Pencalonan itu memberikan saya semangat untuk terus menghasilkan karya terbaik," katanya.

Terdahulu, Tam dinobatkan sebagai Pengarah Komedi Terbaik TV menerusi telefilem Pengancam Perkahwinan di Anugerah Lawak Warna 2014.

Sementara itu, telefilem terkini di bawah arahannya, Cinta Tanpa Syarat yang menampilkan Elfira Loy dan Harris Baba sedang menunggu waktu tayangan.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)