Kredit foto: Twitter New Straits Times
Video parodi trailer Avengers: Infinity War yang dihasilkan oleh sekumpulan pelajar kolej Malaysia mendapat perhatian seluruh dunia kerana bukan sahaja tular, malah menerima maklum balas pengarah filem Avengers sendiri iaitu Anthony dan Joe Russo.
Lebih menarik apabila pengarah itu menerusi laman Twitter menawarkan kumpulan anak muda berkenaan untuk mengarahkan filem Avengers 5.
Beliau melabelkan pelajar tempatan itu dengan gelaran 'genius'.
"Aiman. Anda semua adalah genius. Sudi tak mengarahkan Avengers 5?" tulis pengarah popular itu dalam sebuah kiriman tweet.
Kredit foto: Twitter Russo Brothers
Namun ia tidak lebih daripada sekadar jenaka yang dilontarkan sebagai penghargaan buat mereka yang kreatif menghasilkan video parodi berkenaan.
Terdahulu, Aiman Sany menerusi laman mikro itu berkongsi video tersebut berserta mesej ditujukan buat @MarvelStudios menggunakan 'tag'.
Tulis Aiman, “Who did it better?” (Siapa hasilkannya dengan lebih baik?).
Parodi trailer Avengers: Infinity War itu mengundang lucu kerana dibuat hanya menggunakan prop dalam dorm seperti pinggan, penyepit kain dan bijirin Koko Krunch, serta berlatarkan petikan bunyi daripada video asal.
Anthony dan Joe Russo dikenali dengan beberapa filem komik Marvel yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia seperti Captain America: Winter Soldier, Captain America: Civil War dan Infinity War (bakal memasuki pawagam).
Sehingga kini, video parodi yang menjadi bualan hangat itu meraih lebih 2.8 juta tontonan dan 'retweet' sebanyak lebih 80,000 kali. Ia dimuatnaik pada 18 Mac lalu.