Sekiranya anda berjalan-jalan anda di beberapa negara tertentu, ada kemungkinan yang sangat tipis akan terlihat seakan syiling lama terbenam di dalam tanah.
Syiling itu pula kelihatan menarik, lengkap dengan ukiran cantik yang boleh membuatkan anda merasa syiling tersebut mempunyai harga yang tinggi. Bagaimanapun, berhati-hatilah - ini kerana ada peluang apabila anda cuba mengutipnya dari tanah, anda akan terkena racun labah-labah unik; dikenali dengan nama 'labah-labah penjerat ravine' atau 'ravine trapdoor spider.'
BESARKAN TEKS A- A+
Keunikan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada labah-labah ini, adalah bentuk tubuhnya yang agak jauh berbeza berbanding dengan labah-labah yang biasa kita jumpai. Bahagian belakang badannya yang kelihatan seperti alatan cop berukir mirip sekeping bisket Oreo merupakan satu bentuk sistem pertahanan yang jarang ada pada serangga lain.
Keluarga labah-labah yang unik
Pada mulanya, kelearga labah-labah penjerat ravine diletakkan dalam satu spesis dengan sejenis lagi jenis labah-labah, dalam keluarga yang dilabelkan sebagai 'ctenizidae', namun berlaku perubahan pada pengkategorian labah-labah ini - mula dikelaskan dalam kumpulan genus 'cyclocosmia' bermula tahun 2018.
Nama kumpulan genus itu yang diambil daripada gabungan dua perkataan Greek iaitu 'kyklos' yang membawa makna bulatan dan 'kosmeo' yang bererti 'menghiasi' dirasakan lebih sesuai, kerana bentuk badan serangga ini yang sangat unik.
Wujud beberapa spesis dalam keluarga cyclocosmia yang mempunyai bentuk berbeza, tetapi kesemuanya mempunyai satu persamaan yang serupa - kesemua spesis labah-labah cyclocosmia mempunyai bahagian belakang badan yang berbentuk bulat yang hampir rata dipenghujungnya.
Cyclocosmia ricketti - spesis paling ganjil antara semua
Ada beberapa jenis spesis cyclocosmia yang ada seperti cyclocosmia ausserer, liui, latusicosta dan ricketti, serta lebih 100 jenis lain.
Berbeza dengan adik-beradiknya yang lain, satu jenis cyclocosmia iaitu cyclocosmia ricketti mempunyai keunikan tersendiri kerana bahagian belakang badannya mempunyai ukiran yang menyerupai simbol dewa matahari orang Meso-Amerika.
Berbeza dengan spesis cyclocosmia lain, spesis ricketti agak kurang ditemui, hanya ditemui kali pertama di Asia Tenggara pada tahun 1901. Penemuannya jarang berlaku mengakibatkan kisah bagaimana seorang petani di Sichuan, China yang menemui labah-labah tersebut agak sensasi.
Semasa mengerjakan ladangnya pada tahun 2016, petani itu yang bernama Li Wenhua merasa pelik tentang kewujudan objek berbentuk syiling terbenam di dalam tanah. Pada mulanya, petani itu merasa penemuan itu sesuatu yang penting kerana bentuk syiling itu seakan bentuk syiling yang digunakan pada zaman dahulu kala, mungkin cop mohor kerajaan satu masa dahulu.
Bagaimanapun, cubaan beliau mengambil cop itu daripada tanah bertukar menjadi satu insiden mengejutkan - selepas 'cop mohor' itu mula bergerak menampakkan badannya yang ganjil. Dia berjaya memerangkap labah-labah tersebut di dalam botol dan membawanya pulang.
Haiwan unik yang agak menyeramkan
Penemuan itu mengejutkan penyelidik di China, kerana penemuan Wenhua hanyalah penemuan ketujuh spesis labah-labah tersebut di negara itu - menjadikan sesiapa yang menemuinya, mampu mendapat habuan yang agak tinggi.
Selepas diberitahu tentang kesukaran penyelidik bagi mendapatkan spesis tersebut di negara mereka serta berjaya mengenalpasti nilai sebenar labah-labah tersebut di pasaran sekitar RM7,200 seekor - Li Wenhua memilih untuk menjual labah-labah itu.
Walaupun kelihatan agak menakutkan, labah-labah cyclocosmia kerap kali dijadikan haiwan peliharaan pencinta-pencinta haiwan. Bagaimanapun, sebelum anda teringin hendak membelanya - pastikan anda faham bagaimana labah-labah ini memerangkap mangsanya.
Berbeza dengan labah-labah lain yang membina sarang sebagai perangkap, cyclocosmia akan menggali lubang lalu menyorok di dalamnya dengan permukaan lubang itu akan ditutup. Ada spesis yang menutupnya dengan daun, ada yang menggunakan rumput - tetapi bagi cyclocosmia ricketti, punggung mereka sendiri akan digunakan sebagai penutup kepada lubang itu.
Supaya ada mangsa yang tertarik, tak kiralah serangga kecil lain ataupun manusia, cuba mendekatinya.